Isnin, 13 September 2021 | 10:31am
Gajah beri faedah kepada hidupan liar kecil, bantu dapatkan makanan.- Foto Ihsan/Tabung Hidupan Liar.
Gajah beri faedah kepada hidupan liar kecil, bantu dapatkan makanan.- Foto Ihsan/Tabung Hidupan Liar.

'Pak belalai' payungi haiwan lain

Gajah memerlukan ruang luas untuk bergerak, ada kalanya berkeliaran di luar kawasan habitatnya mencari air dan makanan, selain menjadi 'spesies payung' kepada haiwan lain untuk terus hidup.

Namun, penerokaan hutan untuk pertanian, pemburuan, pembalakan, pembukaan tanah dan pembinaan infrastruktur berskala besar bagi pelbagai tujuan bukan sahaja mengurangkan habitat gajah, malah turut mengacau 'keamanan' dunianya.

Penebangan hutan mengganggu laluan tradisi gajah ini, lantas membuatkan 'pak belalai' ini mengamuk.

Walau apa juga situasi, spesies hidupan liar ini amat penting kerana ia menjadi warisan negara.

Kini populasinya hanya di antara 1,220 hingga 1,680 ekor di tujuh negeri di Semenanjung.

Manakala 1,000 hingga 1,500 ekor di Kinabatangan, Tabin, Ulu Kelumpang, di Sabah menjadikan haiwan ini perlu terus dipulihara bagi mengelak pupus.

Kepentingan gajah

Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata gajah mempunyai kepentingannya yang tersendiri

Pemuliharaan spesies gajah penting kerana ia warisan negara.
Pemuliharaan spesies gajah penting kerana ia warisan negara.

Katanya, Pahang contohnya, menjadikan gading gajah sebagai lambang pada logo negeri dan banyak nama tempat lain di negara ini menggunakan nama gajah.

Malah, sudah tidak asing turut diabadikan namanya seperti Alor Gajah, Kampung Gajah, Kampung Gajah Mati, Batu Gajah dan sebagainya.

Spesies gajah juga dijadikan sebagai tarikan bagi aktiviti ekopelancongan seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Lanchang, Pahang serta Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Hulu Terengganu, Terengganu.

Spesies gajah adalah mamalia daratan terbesar negara, secara tidak langsung memerlukan pemuliharaan habitat yang akan digunakan oleh spesies hidupan liar lain.

"Gajah adalah 'umbrella species' kehadirannya akan memberikan manfaat kepada spesies yang lain," katanya.

Menyebarkan biji benih

Beliau berkata, gajah juga dikenali sebagai hidupan liar yang penting dalam penyebaran biji benih buah-buahan hutan apabila buah dimakan dan ditelan akan dikumuhkan kembali berserta biji benih tumbuhan itu.

Pergerakan gajah yang luas di dalam hutan akan menyebarkan biji benih ini di serata kawasan keliarannya.

"Gajah juga memerlukan garam galian sebagai pelengkap (supplement) di dalam dietnya.

"Untuk mendapatkan garam galian itu gajah akan menggunakan gading dan kakinya yang kuat untuk mengorek tanah serta mewujudkan kawasan jenut (saltlick) juga akan digunakan oleh hidupan liar lain," katanya.

Baja tumbuhan hutan

Ketinggian gajah dan kekuatannya mendapatkan makanan akan membolehkan mematahkan dahan tinggi serta menumbangkan pokok buah-buahan hutan.

Abdul Kadir Abu Hashim
Abdul Kadir Abu Hashim

Malah, gajah memberikan faedah kepada hidupan liar kecil lain seperti kijang, pelanduk dan sebagainya untuk mendapatkan makanan itu.

Najis dikeluarkan gajah, iaitu sebanyak 17 hingga 18 kali sehari akan menjadi baja kepada tumbuh-tumbuhan hutan di sepanjang laluannya.

Justeru, pemuliharaan spesies gajah adalah usaha konservasi amat penting di negara ini kerana memulihara haiwan itu bermaksud juga memulihara spesies hidupan liar lain.

Populasi gajah stabil

Situasi terkini populasi gajah di negara ini stabil di kawasan habitat.

Dengan adanya kecanggihan telefon pintar dan kemajuan teknologi maklumat, banyak sebaran video atau gambar kumpulan gajah dibuat orang ramai terutama apabila menemui sekumpulan gajah sedang melintas jalan atau bergerak merentasi kawasan ladang.

Ini menggambarkan populasi gajah masih banyak walaupun perlu dibuktikan dengan kajian saintifik.

Kini, Perhilitan sedang mengumpulkan maklumat berkaitan bagi mengeluarkan anggaran populasi gajah.

Kehilangan habitat dan ancaman

Namun, kehilangan habitat adalah ancaman utama kepada gajah perlu diberi perhatian. Kajian pada 2016, mendapati 65 peratus habitat asal gajah hilang sejak 40 tahun lalu disebabkan pembangunan guna tanah.

"Keadaan ini menyebabkan kebanyakan habitat utama gajah hilang, antara lain pembukaan kawasan pertanian secara besar-besaran menyebabkan konflik manusia-gajah.

"Permintaan tinggi penggunaan gading untuk menaikkan status sosial dan industri berasaskan gading di negara jiran menyebabkan kegiatan pemburuan haram gajah masih berlaku," katanya.

Justeru, penguatkuasaan pemburuan haram berjaya menumpaskan sindiket terbabit terutama di Kelantan, Pahang dan Perak sejak sejak akhir-akhir ini.

Kehilangan habitat menjadi ancaman utama kepada gajah yang perlu diberi perhatian.
Kehilangan habitat menjadi ancaman utama kepada gajah yang perlu diberi perhatian.

Sepanjang 2017 hingga tahun lalu, sebanyak 12 kes tangkapan ke atas pemburu haram dan sindiket dengan 25 ditahan atas kesalahan itu.

Sebahagian kes didakwa dan dijatuhkan hukuman mahkamah manakala ada kes masih dalam siasatan.

Info:

Mengenai gajah

* Hanya satu spesies gajah di Malaysia, iaitu Elephas Maximus

* Populasi gajah ada di 7 negeri di Semenanjung dan Sabah

* Kurun ke-19, populasi gajah ada di Semenanjung kecuali di Pulau Pinang

* 1940an populasi gajah hilang di sebelah pantai barat Semenanjung

Berita Harian X