Isnin, 24 Mei 2021 | 12:14pm
Anggota polis yang bertugas memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor. Foto/Nur Aisyah Mazalan
Anggota polis yang bertugas memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor. Foto/Nur Aisyah Mazalan

Beraya di sekatan jalan raya

TIADA istilah penat dalam diari tugasan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dalam apa juga situasi ia bukan halangan, sebaliknya kebal mental dan fizikal melunaskan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.

Antara tugas dilakukan seperti melakukan sekatan jalan raya (SJR), selain mengesan penyeludupan barang terlarang dan kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berisiko menyebarkan wabak COVID-19.

Alah bisa tegal biasa. Itulah dilalui Koperal Afizal Amin, 33, yang bertugas di Balai Polis Gelang Patah, rutin harian termasuk terbabit dalam SJR di Jalan Gelang Patah - Tanjung Kupang, Johor Bahru, tanpa banyak soal galas tanggungjawab dengan berdedikasi tanpa mengenal penat-lelah dalam apa juga keadaan.

Katanya, anggota polis dikerah membuat SJR di lokasi tertentu di sekitar Johor Bahru yang kes COVID-19 adalah tinggi.

Dalam apa saja keadaan tugas dilakukan dengan berdedikasi.- Foto/Nur Aisyah Mazalan
Dalam apa saja keadaan tugas dilakukan dengan berdedikasi.- Foto/Nur Aisyah Mazalan

"Pelbagai ragam pengguna jalan raya. Saya faham semua orang tidak mahu PKP dan SJR. Mereka mahu keadaan negara kembali seperti biasa.

"Tapi jika mereka berdegil tak patuh SOP, malas pakai pelitup mulut, imbas suhu dan Aplikasi MySejahtera, bagaimana kita dapat mengekang pandemik ini.

"Berdasarkan SRJ, memang ada tidak menghiraukan SOP. Kita tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun", katanya ketika ditemui di SJR Jalan Gelang Patah - Tanjung Kupang di sini.

Ingkar keluarkan kompaun

Bagi kawasan tugasannya, kebanyakan pemandu sama setiap hari untuk keluar bekerja.

Namun, ada juga pengguna jalan raya keluar rumah sesuka hati.

"Kami anggota polis ada budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun. Tetapi jika berdegil juga kita tiada pilihan," katanya.

Koperal Afizal Amin.- Foto/Nur Aisyah Mazalan
Koperal Afizal Amin.- Foto/Nur Aisyah Mazalan

"Kesalahan itu dianggap disengajakan. Kita tidak mahu bermusuh dengan masyarakat, tetapi masyarakat perlu membantu kami agar mematuhi SOP," katanya.

Mengenai sambutan raya, katanya, ini tahun adalah tahun ketiga tidak dapat pulang ke Sabah bertemu keluarga kerana tugasan.

"Tipulah kalau saya cakap tidak sedih. Tetapi ini tidak menjadi masalah kerana sebagai anggota polis juga perlu memberikan contoh terbaik dalam pematuhan SOP.

Bertugas sebagai anggota polis memerlukan kekuatan mental dan emosi meskipun mungkin tidak sehebat petugas kesihatan, namun sokongan moral amat diperlukan.

Afizal berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pemilik kedai, ada pelanggannya enggan memakai pelitup muka dan mengimbas suhu walaupun sudah ditegur.

Namun, hati menjadi lega, apabila ada insan prihatin berkongsi juadah seperti ketupat, kuah kacang, rendang dan lemang untuk santapan mereka.

"Jadi dapat kami merasai suasana raya walaupun sedang bertugas. Sedih juga tidak dapat ibu bapa dan keluarga, tugas perlu diberi keutamaan," katanya 11 tahun berkhidmat dalam PDRM.

Selain sokongan keluarga dan rakan sekerja, Ketua Balai Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar kerap memberi sokongan moral dan mengambil tahu kebajikan anggota bertugas.

Bagi Dzulkhairi beliau sentiasa mengingatkan semua anggota utamakan tanggungjawab dan amanah diberi.

"Kita galakkan ketua bahagian dan ketua balai melawat SJR dan ingatkan petugas mengenai tanggungjawab mereka. Tindakan disiplin dikenakan mereka ingkar atau cuai ketika bertugas," katanya.

Berita Harian X