Isnin, 24 Mei 2021 | 10:22am
Tanpa mengira keadaan cuaca, berhujan sudah jadi perkara biasa lunaskan tugas memeriksa kenderaan. - Foto NSTP
Tanpa mengira keadaan cuaca, berhujan sudah jadi perkara biasa lunaskan tugas memeriksa kenderaan. - Foto NSTP

Berpanas, berhujan dek COVID-19

BERPANAS dan berhujan selain berembun daripada senja ke dinihari sudah menjadi asam garam serta rutin tugas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sejak negara ini dilanda wabak COVID-19.

Kini selepas lebih setahun, situasi naik turun jangkitan COVID-19 terus mendesak kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan terbaharu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terpaksa dikuatkuasakan untuk mengekang penularan.

PDRM sebagai pasukan barisan hadapan terus bersiap siaga melaksanakan kawalan termasuk mendirikan lebih banyak SJR untuk mengawal pergerakan rentas daerah dan negeri.

Situasi ini jelas menuntut pengorbanan tinggi dalam kalangan anggota dan pegawainya di seluruh negara untuk bertugas di SJR yang dilaksanakan sepanjang 24 jam, tujuh hari seminggu.

Hujan panas 'mainan' polis

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa dokumen perjalanan pemandu yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Setia Alam - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa dokumen perjalanan pemandu yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Setia Alam - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, mengakui panas dan hujan sudah menjadi 'mainan' anak buahnya yang melaksanakan SJR di laluan keluar Plaza Tol Sungai Besi arah ke ibu negara.

"Mereka sudah lali dengan panas dan hujan. Terpaksa berdiri lama di bawah terik matahari, itu sudah menjadi kebiasaan.

"Lebih-lebih lagi pada waktu puncak antara jam 7 pagi hingga 9 pagi dan jam 4 petang hingga 7 malam, semua 10 pegawai dan anggota bertugas akan berada di atas jalan, tidak kira panas atau hujan untuk jalankan pemeriksaan," katanya.

 Zulkifli (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang bekas tentera sambil disaksikan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Negeri Sembilan, Pegawai Waran 1 (B) Adnan Ahmad (kanan), hari ini. - Foto Bernama
Zulkifli (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang bekas tentera sambil disaksikan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Negeri Sembilan, Pegawai Waran 1 (B) Adnan Ahmad (kanan), hari ini. - Foto Bernama

Selepas waktu puncak berakhir, empat anggota akan ditugaskan secara bergilir di atas jalan untuk membuat pemeriksaan selang sejam dengan dipantau pegawai bertugas.

Katanya, seramai 30 anggota dan pegawai ditugaskan di lokasi SJR menerusi tiga syif setiap hari dengan menempatkan lapan anggota, seorang sarjan dan seorang inspektor untuk setiap syif.

Beri pelbagai alasan

Berkongsi perkara sama, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata berhadapan dengan keadaan cuaca tidak menentu menjadi satu antara cabaran yang dihadapi anggota dan pegawainya yang bertugas di SJR Pantai dan SJR Petaling.

 Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar. - Foto fail NSTP

"Cabaran lain yang dihadapi mereka apabila berhadapan kerenah pengguna jalan raya yang memberikan macam-macam alasan tidak munasabah ketika mahu melalui SJR.

"Umum tahu, SOP PKP 3.0 tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas daerah dan negeri kecuali untuk perkhidmatan perlu, hal kecemasan, urusan bekerja dan hal-hal lain yang dibenarkan dengan kebenaran polis.

"Namun, masih ada pengguna jalan raya beri alasan nak jumpa kawan, nak beli makanan, nak hantar barang, justeru anggota kita akan keluarkan kompaun dan arahkan mereka berpatah balik," katanya.

Kawal emosi

Namun, di sebalik segala cabaran yang terpaksa ditelan anak buahnya, pihaknya berterima kasih kerana ada orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bermurah hati datang ke khemah SJR memberi makanan dan minuman sebagai tanda penghargaan.

Selain cabaran cuaca, anggota polis bertugas di SJR juga terpaksa mengawal emosi masing-masing apabila berhadapan dengan pengguna jalan raya yang bersikap kurang sopan dan melemparkan kemarahan kepada anggota polis.

Periksa 36,000 kenderaan sehari

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berhadapan dengan pelbagai ragam pengguna jalan raya yang melalui SJR bukan tugas mudah.

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

"Ada yang marah-marah namun, kita faham mereka pun berhadapan tekanan apabila terperangkap lama dalam kesesakan tetapi anggota kita di SJR akan terus bersikap profesional.

"Kesesakan adalah perkara yang biasa berlaku di enam SJR yang didirikan oleh Polis Petaling Jaya dan ia menuntut kesabaran di kedua-dua belah pihak antara petugas SJR dan pengguna jalan raya.

"Bayangkan berapa banyak jumlah kenderaan yang melalui SJR setiap hari. Sebagai contoh, SJR Plaza Tol Subang sahaja mencecah 32,000 hingga 36,000 kenderaan pada setiap hari bekerja, semua perlu diperiksa dengan teliti," katanya.

Beri motivasi

Jelasnya lagi, panas terik, hujan lebat, khemah hampir terbang akibat ribut juga situasi yang terpaksa 'dihadap' anak buahnya, namun sebagai ketua, beliau sedaya upaya memberi nasihat dan motivasi untuk mereka terus cekal menjalankan tugas.

Selain itu, bagi mengelak anggota dan pegawainya mengalami kepenatan, katanya penugasan anggota SJR dibuat secara penggiliran iaitu tiga hari bertugas di SJR, dan selebihnya bertugas di pejabat selain cuti rehat.

Berita Harian X