Sabtu, 9 Januari 2021 | 12:33pm
Tahap kemajuan komunikasi individu yang mengalami Aphasia bergantung kepada keadaan strok dihidapi.- Foto/Ihsan Marlienza Siti
Tahap kemajuan komunikasi individu yang mengalami Aphasia bergantung kepada keadaan strok dihidapi.- Foto/Ihsan Marlienza Siti

Terapi pertuturan pesakit strok

Strok atau angin ahmar adalah penyakit kronik yang menjadi salah satu penyebab utama kematian dan ketidakupayaan berfungsi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penghidap strok mungkin akan mengalami komplikasi seperti kehilangan keupayaan untuk mengurus diri, berfikir, berjalan, makan, menelan, bercakap dan bertutur.

Disebabkan komplikasi itu, mereka perlu menjalani sesi rawatan pemulihan yang bersesuaian untuk mengoptimumkan fungsi kehidupan seharian mereka.

Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan atau juruterapi pertuturan bahasa antara ahli profesional klinikal terbabit memberi rawatan pemulihan kepada penghidap strok.

Peranan pegawai ini adalah untuk menjalankan penilaian dan terapi penelanan, bahasa, pertuturan dan suara. Untuk komplikasi yang membabitkan bahasa dan pertuturan, ia boleh dibahagikan kepada tiga masalah utama, iaitu Aphasia, Dysarthia dan Apraxia of Speech.

Marlienza Siti (kiri) menggunakan alat komunikasi berteknologi tinggi adalah seperti alat penjana pertuturan yang mempunyai pengeluaran suara seperti nya DynaVox untuk merawat pesakit.-Foto/Ihsan Marlienza Siti
Marlienza Siti (kiri) menggunakan alat komunikasi berteknologi tinggi adalah seperti alat penjana pertuturan yang mempunyai pengeluaran suara seperti nya DynaVox untuk merawat pesakit.-Foto/Ihsan Marlienza Siti

Aphasia adalah kecelaruan bahasa di mana seseorang hilang keupayaan dan kemahiran memahami bahasa, menggunakan bahasa untuk berkomunikasi, menulis atau membaca.

Aphasia boleh disebabkan oleh strok, jangkitan kuman, penyakit saraf, kecederaan atau ketumbuhan pada bahagian otak yang mengawal fungsi bahasa.

Memetik data MyHealth, sebuah portal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 25 hingga 40 peratus penghidap strok akan mengalami Aphasia. Data MyHealth menunjukkan 15 peratus individu dewasa berumur kurang daripada 65 tahun dilapor mengalami Aphasia dan peratusan meningkat 43 peratus bagi individu berumur 85 tahun ke atas.

Bagaimanapun, semua penghidap strok mempunyai risiko untuk mengalami masalah Aphasia tanpa mengira umur, bangsa, warganegara dan jantina.

Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Marlienza Siti Tajarudin, menjelaskan ada beberapa jenis Aphasia selepas strok seperti mempunyai masalah kesukaran memahami arahan, pertuturan tidak lancar, kesukaran mencari perkataan yang sesuai, kesukaran membentuk ayat, serta masalah membaca, mengeja atau menulis.

"Untuk pesakit ada masalah Aphasia Broca, bahasa pertuturan mereka tidak lancar, cakap tersekat-sekat atau tidak mampu mengikuti perbualan.

"Ada yang hidapi masalah Aphasia Wernicke, di mana mereka mempunyai masalah memahami arahan termasuk arahan kompleks atau penggunaan ayat yang panjang. Mereka juga tak faham apa yang dibaca. Kita boleh cuba bagi arahan ringkas dan mudah difahami.

"Ada yang boleh menulis nama tetapi tidak mampu menulis dalam bentuk ayat. Ada yang tidak mampu mengeja langsung. Ada yang memerlukan masa kerana perlu mencari perkataan ingin disebut. Ada yang selalu mengulangi perkataan kerana perbendaharaan kata menjadi semakin kecil...sudah mula lupa perkataan, termasuk ada tak boleh guna kata nama atau kata kerja," jelasnya.

Kaedah terapi

Penilaian perlu dijalankan dahulu merangkumi mengambil sejarah perubatan dan membuat penilaian terperinci terhadap masalah dan jenis Aphasia.

Pelan rawatan dan terapi akan dirangka berdasarkan hasil penilaian, diagnosis dan keperluan individu berkenaan serta mengambil kira faktor lain seperti harapan penghidap strok dan peluang pekerjaan selepas strok.

Terapi pertuturan bahasa selepas Aphasia mempunyai matlamat membantu individu memulihkan kemahiran komunikasi supaya mampu berkomunikasi dengan cara mudah melalui teknik tertentu.

Bagaimanapun, tahap kemajuan komunikasi individu yang mengalami Aphasia bergantung kepada keadaan strok dan sebagainya.

"Pastikan supaya penghidap strok mendapatkan pemulihan dengan segera jika perasan ada masalah bahasa dan pertuturan. Dalam tempoh tiga hingga enam bulan pertama, bahagian otak yang rosak mempunyai potensi yang tinggi untuk pulih. Sepanjang tempoh itu, rawatan pemulihan sangat penting.

"Penghidap strok dan penjaga, perlu belajar terapi pemulihan dan melakukan latihan di rumah secara berterusan. Tempoh 12 bulan pertama amat penting.

Pesakit ada masalah Aphasia Broca, pertuturan mereka tidak lancar, cakap tersekat-sekat atau tidak mampu mengikuti perbualan.- Foto hiasan
Pesakit ada masalah Aphasia Broca, pertuturan mereka tidak lancar, cakap tersekat-sekat atau tidak mampu mengikuti perbualan.- Foto hiasan

"Mereka berpotensi sembuh, namun bergantung pada tahap keterukan strok, umur dan masalah kesihatan lain. Ada yang berjaya pulih sepenuhnya dan ada pulih secara separuh.

Justeru, terapi mengikut keperluan dan fungsi komunikasi penghidap strok seperti terapi Semantic Feature Analysis, latihan skripd dan lain-lain.

Penghidap strok boleh mengalami Aphasia, selain kecelaruan pertuturan motor iaitu Dysarthria atau Apraxia of Speech.

Dysarthria adalah masalah pertuturan disebabkan kemerosotan keupayaan sistem neuromuskular. Dysarthria menunjukkan kesukaran menyebut perkataan dengan jelas, membuat kesalahan sebutan, suara monotone (suara senada), bertutur dengan sengau, kadar bertutur terlalu perlahan dan banyak lagi.

Antara terapi Dysarthria adalah senaman oromotor seperti senaman lidah, bibir dan pipi bertujuan membantu merangsang otot supaya menyebut perkataan lebih jelas.

"Apraxia of Speech adalah gangguan ketika merancang dan memprogram kelakuan pertuturan motor tanpa mempunyai kelemahan neuromuskular. Penghidap Apraxia of Speech menunjukkan kadar pertuturan yang berkurang secara keseluruhan, sukar bertutur dan membuat ayat panjang.

"Terdapat beberapa pendekatan terapi untuk penghidap strok yang mempunyai Apraxia of Speech sebagai contoh pendekatan articulatory-kinematic, sensory cueing, rate and rhythm control dan lain-lain.

"Aphasia, Dysarthria dan Apraxia of Speech boleh berlaku secara berasingan atau secara serentak. Bagi penghidap strok yang ada masalah komunikasi, alternative and augmentative communication (AAC) akan disarankan.

"AAC adalah pendekatan komunikasi dijalankan secara bantuan atau gantian. AAC tanpa bantuan seperti menggunakan gerak isyarat, bahasa badan, ekspresi wajah dan bahasa isyarat manakala AAC bantuan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu bantuan sistem asas dan berteknologi tinggi," katanya.

Bantuan sistem asas ialah seperti buku komunikasi, penggunaan pen dan kertas dan menunjuk kepada huruf atau gambar.

Katanya, alat komunikasi berteknologi tinggi adalah seperti alat penjana pertuturan (speech generating device) yang mempunyai pengeluaran suara, misalnya DynaVox, tablet, iPad, Tobii dan sebagainya.

Marlienza Siti Tajarudin
Marlienza Siti Tajarudin

Kunci utama kadar dan tahap pemulihan adalah terapi latihan pertuturan bahasa yang konsisten dan sistem sokongan berterusan daripada penjaga dan ahli keluarga semasa proses pemulihan.

Mengenai peluang pesakit kembali bekerja selepas strok, Marlienza berkata, ada yang masih mampu kembali bekerja, tetapi ia bergantung kepada tahap pemulihan bahasa dan pertuturan itu sendiri.

Berita Harian X