Sabtu, 9 Januari 2021 | 11:24am
Air banjir yang kotor dan bercampur sampah-sarap dan najis boleh menyebabkan jangkitan penyakit.- Gambar fail/NSTP
Air banjir yang kotor dan bercampur sampah-sarap dan najis boleh menyebabkan jangkitan penyakit.- Gambar fail/NSTP

'Pesta' redah banjir undang penyakit

Setiap tahun banjir besar melanda negara dan sejak penghujung tahun lalu hingga sekarang enam negeri terjejas teruk dengan sesetengah daerah semakin beransur pulih membabitkan kawasan Pantai Timur, di Johor dan Perak.

Situasi itu menyebabkan kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa dan menjejaskan aktiviti masyarakat, selain boleh persekitaran yang kotor terutama ketika dan selepas banjir.

Natijahnya, banjir dan keadaan tidak menentu ini bakal mengundang pelbagai penyakit berjangkit yang menggusarkan kebanyakan pihak.

Pengamal Perubatan Am dan Ahli Jawatan Kuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad, berkata mungkin ramai kanak-kanak seakan 'berpesta' meredah air banjir, bagaimanapun tanpa sedar air kotor dan sudah tercemar yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit.

"Banjir boleh mengundang kematian secara langsung dan apabila arus deras mengakibatkan rumah roboh, tanah runtuh dan aliran banjir mengalir ke kandang haiwan, tempat pembuangan sampah, tandas dan tangki najis.

Penyakit bawaan air seperti cirit-birit (gastroenteritis akut), kolera, tifoid dan disentri akibat bekalan air serta sumber makanan yang tercemar.- Gambar hiasan
Penyakit bawaan air seperti cirit-birit (gastroenteritis akut), kolera, tifoid dan disentri akibat bekalan air serta sumber makanan yang tercemar.- Gambar hiasan

"Ini secara langsung membawa bersama sisa sampah, najis yang ada pelbagai jenis kuman sekali gus membawa penyakit berbahaya dan menyerang sistem penghadaman manusia," katanya.

Golongan berisiko jangkitan akibat banjir

Beliau berkata, antara penyakit yang dikesan itu termasuk keracunan makanan, taun, demam kepialu dan Hepatitis A.

Begitu juga dengan penyakit bawaan air seperti cirit-birit (gastroenteritis akut), kolera, tifoid dan disentri akibat bekalan air serta sumber makanan yang tercemar.

Air banjir yang bercampur dengan sampah-sarap dan najis menyebabkan ia tercemar dengan pelbagai jenis bakteria berbahaya.

Dr Zubaidi berkata, bayi, kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit kronik terutama yang mengambil ubat steriod, pesakit kencing manis yang gula tidak terkawal, pesakit kanser yang sedang menjalani kemoterapi dan hemodialisis antara golongan paling berisiko dijangkiti penyakit berjangkit akibat banjir.

Kebiasaan gejala yang ditunjukkan mereka dijangkiti penyakit bawaan air adalah demam, sakit badan, sakit kepala, sakit perut, muntah, cirit-birit atau kekuningan (jaundice).

"Dalam kes lebih serius, penyakit ini boleh membawa maut apabila seseorang itu mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, hati, pendarahan bahagian paru-paru atau otak serta kegagalan organ lain.

"Keadaan ini boleh berlaku dengan pantas akibat kehilangan banyak air menyebabkan kurangnya bekalan darah ke buah pinggang dan akhirnya boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang.

"Kita perlu langkah khususnya dari segi penjagaan kesihatan. Mungkin ramai memandang remeh dan menjalani rutin biasa apabila banjir surut serta kembali ke rumah masing-masing, namun hakikatnya banyak perkara berkaitan kesihatan perlu dititikberatkan," katanya.

Langkah pencegahan

Justeru, langkah pencegahan sangat penting dan perlu diberikan perhatian ketika di pusat pengumpulan mangsa banjir adalah bekalan air yang bersih.

"Air bersih sangat diperlukan untuk sediakan makanan dan minuman kepada mangsa, selain . Air bersih juga diperlukan untuk keperluan membasuh anggota yang terkena banjir.

"Basuh bahagian tersentuh dengan menggunakan air bersih dan sabun.

"Penyediaan tandas yang bersih atau sekurang kurangnya dapat berfungsi dengan baik adalah penting. Ini berikutan di PPS kerana bilangan tandas terhad dan ramai ingin menggunakannya pada satu-satu masa," katanya.

Kawasan PPS perlu bersih dan teratur

Dr Zubaidi Ahmad. NSTP/E-MEL
Dr Zubaidi Ahmad. NSTP/E-MEL

Beliau berkata, tandas kotor menyebabkan kuman mudah tersebar selepas seseorang menggunakannya.

"Begitu juga penempatan wanita, perlu diberikan privasi bagi memudahkan mereka menukarkan pakaian, menyusukan bayi dan tidur pada waktu malam.

"Kemudahan itu tidak sama seperti berada di rumah sendiri tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan emosi pada mangsa," katanya.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata dalam krisis menangani banjir, soal pemindahan ke PPS penting bagi memberi perlindungan sementara kepada penduduk dan keluarga terjejas akibat banjir.

"Malangnya, tidak semua pusat pemindahan ini terancang dan ada yang terpaksa dibuka untuk perpindahan akibat darurat atau kecemasan terutama jika banjir besar dan berlaku dalam keadaan tidak disangka-sangka.

"Bagi pusat perpindahan banjir terancang, selalunya pusat ini adalah terjaga dengan baik dan mempunyai kelengkapan kebersihan dan sanitasi yang memuaskan," katanya.

"Tidak semua pusat adalah berlaku sedemikian. Dalam keadaan banjir dan pandemik wabak berlaku serentak, pusat perpindahan banjir ini memainkan dua peranan utama.

"Pertama ia berperanan meletakkan mangsa banjir untuk sementara, dan kedua meletakkan mangsa banjir berkemungkinan dijangkiti COVID-19 terutama di kawasan Zon Merah dan Zon Jingga.

"Jadi saringan penting supaya kes positif atau berkemungkinan tinggi jangkitan berlaku tidak berlaku dan ditempatkan berasingan jangkitan COVID-19 tidak terjadi," katanya..

Info:

Jaga kesihatan:

• Pastikan air diminum bersih dan dimasak sempurna atau minum air dibotolkan.

• Makanan masih panas, kupas kulit buah dan elakkan makan makanan mentah.

• Jaga kebersihan diri dan persekitaran

* Cuci tangan dengan sabun dan air bersih, gunakan tandas yang sempurna dan buang sampah di tempat betul.

• Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan sebagainya.

• Patuhi nasihat yang diberikan oleh petugas kesihatan.

Berita Harian X