Sabtu, 2 Januari 2021 | 11:46am

Terapi sel kaedah alternatif rawat limfoma

'SERANGAN' kanser tidak memilih umur mahupun jantina. Ternyata, masing-masing berdepan risiko menghidap penyakit itu.

Dalam buku bertajuk Terapi Sel: Inovasi Rawatan Kanser Darah tulisan Ketua Pusat Terapi Sel Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr S Fadilah Abdul Wahid, menjelaskan individu berumur 15 hingga 24 tahun adalah golongan muda paling kerap berdepan risiko menghidap kanser.

Tiga kanser paling kerap dihidapi lelaki adalah leukemia (23 peratus), diikuti limfoma (20.9 peratus) dan kanser tulang (9.4 peratus).

Limfoma dan leukemia termasuk dalam senarai 10 kanser paling lazim di Malaysia. Ini menunjukkan kanser darah adalah beban kesihatan utama bagi golongan muda.

Leukemia terjadi disebabkan penghasilan sel darah putih tidak normal pada kadar yang tidak terkawal atau terlampau banyak sehingga akan menghalang sum-sum tulang daripada menghasilkan sel darah normal.

Keadaan ini menyebabkan pesakit mudah mengalami jangkitan kuman dan pendarahan serius.

Limfoma adalah kanser kanak-kanak yang paling kerap berlaku di negara ini. Bagi pesakit di bawah umur 14 tahun, ia adalah kanser utama bagi kedua-dua jantina iaitu 47.1 peratus bagi lelaki, manakala 45.5 peratus merangkumi perempuan.

Limfoma adalah kanser membabitkan tisu limfatik. Sistem limfa penting untuk menyingkirkan lebih cairan dalam badan serta menghasilkan sel imun, iaitu sel pertahanan dalam badan.

Limfosit adalah sejenis sel darah putih berfungsi melawan jangkitan. Limfosit yang abnormal akan membahagi dalam nodal linfa iaitu struktur berbentuk seakan ginjal dalam sistem limfatik dan akan merosakkan sistem pertahanan awam.

Lelaki menghidap limfoma bersamaan 11.3 peratus, manakala perempuan adalah 8.4 peratus.

Limfoma kekal sebagai kanser yang lazim berlaku pada lelaki dewasa dan berusia lanjut, iaitu keempat berusia 25 hingga 29 tahun dan kelima membabitkan usia 60 hingga 74 tahun.

Dr S Fadilah berkata, ada beberapa rawatan konvensional bagi merawat pesakit kanser darah, selain rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Inovasi dalam rawatan kanser darah, jelasnya boleh dilakukan selepas kegagalan rawatan dan kesan sampingan berbahaya merangkumi rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Terapi sel adalah kaedah alternatif berpotensi tinggi merawat kanser darah meliputi dua bidang utama iaitu transplantasi sel stem hematopoetik dan imunoterapi berasaskan sel dikenali Cellular Immunotheraphy membabitkan sel imun iaitu sel dendritik serta sel T.

"Transplantasi sel stem hematopoetik (TSSH) adalah rawatan piawai untuk pelbagai penyakit kanser dan penyakit genetik darah serta kegagalan sum-sum tulang.

"Rawatan ini membabitkan infusi sel stem hematopoetik (SSH) yang membolehkan pertumbuhan semula sel darah normal dalam tubuh pesakit. SSH diperoleh daripada sum-sum tulang, salur darah periferi dan darah tali pusat.

"SSH berkeupayaan membiak, berganda dan menjana diri dalam sistem limfohematopoetik. Ia juga berkemampuan untuk kekal hidup selepas proses krioawetan sebelum diinfusi kepada pesakit selain berkebolehan berpindah ke ruang sum-sum tulang apabila sel darah ini diinfusi melalui saluran darah vena," katanya.

Kaedah rawatan CAR-T

Rawatan inovasi lain yang dibangunkan adalah terapi Chimeric Antigen Receptor atau CAR-T menjadi satu lagi strategi baharu dan tonggak yang signifikan dalam sejarah bidang imunoterapi sel untuk kanser.

Ia gabungan protein yang diubah suai untuk mengenal dan memusnahkan antigen pada permukaan sel kanser.

"Kajian menunjukkan CAR-T memberi manfaat kepada pesakit 'relaps' atau refraktori B-ALL dengan respon melebihi 90 peratus.

"Meta analisis ke atas 18 kajian klinikal membabitkan 185 pesakit menunjukkan CD19 CAR-T menghasilkan kadar 'relaps' balas yang tinggi dan kesan sampingan boleh dirawat.

"Terapi CAR-T menunjukkan kadar respons yang tinggi untuk kes berulang atau refraktori B -NHL walaupun pesakit ada tahap lanjut , berbanding dengan kemoterapi menghasilkan respons rendah," katanya.

Pusat Terapi Sel (PTS) diterajuinya sehingga kini mempelopori bidang perubatan regeneratif membabitkan saintis, penyelidik dan pakar perunding daripada pelbagai disiplin perubatan.

Katanya, PTS adalah antara institusi perubatan terawal bagi terapi berasaskan sel untuk pesakit kanser di di rantau ini dan beberapa strategi dibangunkan untuk memperbaiki keputusan transplan

"Pertama untuk menurunkan risiko relaps. Dengan melakukan ujian STR multipleks dan memberi pesakit regimen conditioning thiotepa, terapi novel dan Infusi sel limfosit penderma.

"Kedua, meningkatkan bilangan pesakit yang boleh menerima tranplan dengan mempelbagaikan sumber SSH seperti penderma bukan bersaudara dan haploidentikal serta pemberian mozobil untuk tingkat pungutan sel stem

"Ketiga, merawat GvHD refraktori dengan rawatan berasaskan sel.

"Keempat, membangunkan imunoterapi berasaskan sel (IBS) untuk merawat pesakit yang tidak sesuai untuk transplan dan yang relaps selepas transplan, di mana UKM adalah institusi terawal di negara ini yang menjalankan terapi sel denditik dan terapi CAR-T untuk merawat kanser darah," katanya.

Berita Harian X