Sabtu, 28 November 2020 | 11:01am
BAGI membendung penularan penyakit berjangkit dilaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), dengan penambahan vaksin 6-Dalam-1 termasuk kepada bayi mengikut peringkat usia, bakal disediakan tidak lama lagi.-Gambar hiasan
BAGI membendung penularan penyakit berjangkit dilaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), dengan penambahan vaksin 6-Dalam-1 termasuk kepada bayi mengikut peringkat usia, bakal disediakan tidak lama lagi.-Gambar hiasan

Vaksin cegah penularan penyakit

Penyakit berjangkit berpunca daripada mikroorganisma patogen penyebab kepada penularan bakteria, virus, parasit atau kulat.

Ia boleh merebak ke manusia melalui pelbagai cara termasuk menerusi sentuhan terus, bawaan air, makanan dan penyebaran zarah jangkitan di udara atau melalui serangga seperti nyamuk.

Justeru, bagi membendung penularan penyakit berjangkit dilaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan NIP sejak 1950-an dengan memberikan suntikan vaksin percuma kepada kanak-kanak.

NIP bertujuan melindungi kanak-kanak daripada 12 penyakit cegahan vaksin termasuk tuberkulosis, Hepatitis B, difteria, tetanus, batuk kokol (pertusis), polio, Haemophilus influenzae type b, campak, beguk, rubella, ensefalitis Jepun (JE) dan kanser yang disebabkan oleh virus papilloma manusia (HPV).

Mereka akan menerima vaksin ini dalam tempoh dua tahun pertama kelahiran, kecuali vaksin HPV untuk remaja perempuan, pada usia 13 tahun.

Dos penggalak bagi beberapa vaksin turut diberikan ketika umur persekolahan. Sejak NIP diperkenalkan, penambahbaikan dilakukan dari masa ke semasa, antaranya pengenalan vaksin Hepatitis B, pada 1989, vaksin Haemophilus influenzae type b (Hib) serta Campak-Beguk-Rubella (MMR), pada 2002 dan vaksin kombinasi 5-dalam-1, pada 2008, bagi memastikan pelaksanaan selari dengan perkembangan saintifik dan teknologi vaksin.

Suntikan itu juga selari dengan saranan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan imunisasi dapat memberikan perlindungan yang lengkap dan optimum kepada kanak-kanak.

Vaksin 6-Dalam-1

Tahun ini, KKM membuat penambahbaikan kepada NIP dengan memperkenalkan vaksin 6-Dalam-1 dan mengumumkan jadual imunisasi baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini dilaporkan berkata, pengenalan vaksin ini dan perubahan jadual imunisasi baharu bagi kanak-kanak mendapatkan imunisasi di klinik Kesihatan KKM, dimulakan seawal November ini apabila bekalan vaksin ini tersedia di fasiliti kesihatan.

Pertukaran jadual imunisasi dilaksanakan susulan pertukaran jenis vaksin digunakan, iaitu vaksin kombinasi 5-dalam-1, ditukar kepada vaksin kombinasi 6-dalam-1, di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak.

Kebaikan vaksin 6-Dalam-1

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Jamiatul Aida Md Sani, berkata pengenalan vaksin 6-dalam-1 itu dibuat secara oleh Jawatankuasa Dasar dan Amalan Imunisasi Kebangsaan.

Penggunaan vaksin itu NIP turut dilakukan di 49 negara di dunia. Sejajar perkembangan di negara maju lain, pertukaran vaksin 6-dalam-1 adalah langkah ke hadapan yang baik.

Sebelum ini, vaksin 5 serangkai (5-dalam-1) yang mencegah penyakit difteria, tetanus, pertusis, polio dan Haemophilus influenzae type b (Hib) diberikan empat dos kepada setiap kanak-kanak berusia dua, tiga, lima tahun dan 18 bulan.

Vaksin Hepatitis B pula, tiga dos kepada setiap kanak-kanak diberi berasingan selepas lahir dan berusia satu dan enam bulan.

"Ini bermakna tujuh suntikan diperlukan untuk mencegah enam penyakit ini.

"Pertukaran kepada vaksin enam serangkai itu membantu mencegah penyakit difteria, tetanus, pertusis, polio, Haemophilus influenzae type b (Hib) dan Hepatitis B memberi manfaat kepada kanak-kanak, iaitu hanya empat dos vaksin diperlukan bagi setiap kanak-kanak berkenaan.

"Vaksin Hepatitis B secara berasingan hanya perlu diberi sebanyak satu suntikan selepas lahir. Ini bermakna, bilangan suntikan berkurang kepada lima suntikan untuk mencegah enam penyakit."

Pengerusi program Immunise4Life yang juga Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata sepanjang pengalamannya memberikan vaksin kepada bayi, tiada laporan kesan buruk dialami bayi.

"Hanya kesan sampingan ringan seperti kerengsaan, sakit dan kemerahan pada tempat suntikan," katanya.

Berita Harian X