Sabtu, 28 November 2020 | 10:22am
Pemahaman masyarakat tindak balas sistem imun badan terhadap jangkitan virus dapat membantu rawatan sesuai.- Gambar hiasan
Pemahaman masyarakat tindak balas sistem imun badan terhadap jangkitan virus dapat membantu rawatan sesuai.- Gambar hiasan

Sistem imun lawan COVID-19

Jangkitan COVID-19 disebabkan oleh beta-coronavirus dikenali sebagai Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus-2 (SARS-CoV-2) mengakibatkan lebih sejuta kematian di seluruh dunia.

Malaysia memasuki gelombang ketiga jangkitan COVID-19 dengan peningkatan kes harian tertinggi mencapai jumlah yang semakin membimbangkan.

Kini tiada rawatan khusus untuk jangkitan COVID-19 termasuk mengkaji kesan jangkitan SARS-CoV-2 terhadap sistem imun badan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Dr Seri Narti Edayu Sarchio, berkata pemahaman tindak balas sistem imun badan terhadap jangkitan virus ini dapat membantu rawatan sesuai sebagai alternatif.

"Tubuh manusia memiliki daya tahan yang unik. Ia bertindak balas mengikut keperluan sekiranya berlaku jangkitan. Kebanyakan daripada kita mampu melawan jangkitan virus dan sembuh seperti sedia kala.

"SARS-CoV-2 memiliki empat struktur glikoprotein utama yang dikenali sebagai spik, membran, envelop, dan nukleokapsid.

"Spik berfungsi untuk menghubungkan virus dan sel perumah yang dijangkiti melalui reseptor yang wujud pada permukaan sel mereka.

"Setakat ini, saintis mengenal pasti angiotensin converting enzyme 2 (ACE2) sebagai reseptor yang bertanggungjawab membantu jangkitan SARS-CoV-2," katanya.

Fasa awal SARS-CoV-2

Sel paru-paru memilik reseptor ACE2 yang tinggi, secara tidak langsung menjelaskan mengapa jangkitan COVID-19 menyebabkan komplikasi teruk pada paru-paru pesakit.

Selain paru-paru, reseptor ACE2 turut terdapat pada beberapa tisu lain dalam tubuh seperti jantung, buah pinggang, pundi kencing, tirod dan usus kecil.

Justeru, wujud kemungkinan untuk jangkitan SARS-CoV-2 berlaku secara langsung pada organ itu.

SARS-CoV-2 menjangkiti sel perumah akan mengawal dan mengarah sel perumah supaya memproses kod genetik mereka. Seterusnya menghasilkan lebih banyak replikasi virus baru.

Pada peringkat awal jangkitan, sistem pertahanan badan akan mengaktifkan sel-sel imun seperti sel makrofaj dan sel dendritik untuk memusnahkan sel dijangkiti. Peringkat ini dikenali sebagai fasa kawalan awal.

Sekiranya fasa kawalan awal tidak berupaya mengawal jangkitan, fasa kawalan lanjutan akan mengambilalih dengan mengaktifkan sel limfosit.

"Sel limfosit berperanan penting mengawal atur sistem imun badan kerana ia bertindak dengan lebih spesifik, terancang dan berkesan melalui pengeluaran molekul dikenali sebagai sitokin.

Ia adalah molekul isyarat dikeluarkan sel imun dan berfungsi sebagai pengantara mengawal sistem imuniti, keradangan dan hematopoiesis dalam tubuh.

Peningkatan kes melampau

Untuk kes jangkitan teruk dan tidak terkawal, sistem imun badan sesetengah pesakit COVID-19 akan bertindak balas secara melampau terhadap jangkitan virus seterusnya menyebabkan kesihatan pesakit merosot.

Pengeluaran sitokin melampau antara indikasi penting berkait rapat dengan tahap keparahan jangkitan COVID-19 pada pesakit. Situasi ini dikenali sebagai cytokine storm atau 'ribut sitokin'.

Katanya, 'ribut sitokin' terjadi apabila berlaku peningkatan melampau pada kadar pengeluaran sitokin dalam tempoh singkat.

"Ini menyebabkan pelbagai komplikasi buruk pada pesakit COVID-19 kerana sel-sel imun mereka beroperasi tanpa henti dan tidak terkawal," katanya.

Kajian turut melaporkan peningkatan jumlah neutrofil berlebihan, serta penurunan jumlah serta kebolehfungsian limfosit pada pesakit COVID-19.

Indikasi ini berkait rapat dengan tahap jangkitan dan hasil klinikal yang buruk babitkan pesakit COVID-19.

Keadaan ini menjurus pada kerosakan dan kegagalan fungsi paru-paru, dan membabitkan kegagalan fungsi pada organ lain.

Sistem kekebalan tubuh.- Gambar hiasan
Sistem kekebalan tubuh.- Gambar hiasan

Komplikasi pesakit

Antara komplikasi dilaporkan ialah kerosakan kardiovaskular, kecederaan dan kegagalan fungsi buah pinggang serta gangguan pada sistem hepatik dan pankreas.

Terdapat juga kajian menunjukkan gangguan pada sistem neurologi pesakit seperti kehilangan deria rasa dan bau.

Jangkitan COVID-19 beri kesan berbeza mengikut ketahanan sistem imun pesakit dijangkiti. Antara gejala dialami ialah demam, sakit tekak, batuk, kesukaran bernafas, sakit kepala, mual atau muntah dan cirit-birit.

Antara gejala dialami ialah demam, sakit tekak, batuk, kesukaran bernafas, sakit kepala, mual atau muntah dan cirit-birit.

"Dilaporkan 80 peratus daripada pesakit sembuh sekiranya sistem imun mereka bertindak balas secara normal.

"Ada golongan dikategorikan sebagai berisiko terhadap jangkitan COVID-19, iaitu mereka ada sejarah penyakit kronik, daya tahan imun rendah dan warga tua yang terdedah kepada komplikasi lebih parah dengan kadar mortaliti tinggi," katanya.

Kebiasaannya masyarakat kurang mengetahui bagaimana imun sistem badan bertindak balas terhadap jangkitan virus, khususnya COVID-19.

Kesihatan dan kebolehtahanan sistem imun badan baik amat diperlukan untuk melawan jangkitan virus. Justeru, amalkan cara hidup sihat dan sentiasa ikut garis panduan ditetapkan.

Berita Harian X