Sabtu, 21 November 2020 | 10:31am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Diabetes jangan ambil mudah

Masyarakat sering menyangka penyakit diabetes atau kencing manis hanya dikesan dan dihidapi oleh golongan tua atau individu gemuk.

Namun, sejak tahun 2000, didapati peningkatan kes diabetes adalah dalam kalangan golongan muda. Tahun lalu sebanyak 17.6 peratus golongan berumur 40 tahun dan ke bawah menghidap kencing manis.

Jadi apa sebenarnya diabetes? Diabetes adalah keadaan apabila paras gula atau glukosa dalam darah lebih tinggi daripada paras normal, disebabkan kekurangan hormon insulin dalam badan atau peningkatan rintangan badan terhadap insulin.

Ada dua jenis diabetes iaitu, jenis satu dan jenis dua. Diabetes jenis satu selalunya membabitkan kegagalan organ pankreas untuk menghasilkan insulin. Penyakit ini memerlukan rawatan suntikan insulin.

Diabetes jenis dua pula, disebabkan oleh peningkatan rintangan insulin, menyebabkan wujudnya kekurangan insulin berkesan yang relatif dalam badan.

Berbanding dengan diabetes jenis satu, diabetes jenis dua boleh dirawat dengan ubatubatan dalam bentuk pil atau gabungan dengan rawatan insulin.

Diabetes jenis dua paling biasa ditemui dan lebih 90 peratus daripadanya adalah penghidap jenis berkenaan.

Buat ujian saringan

Pakar Perunding Perubatan dan Endokrinologi Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Shalini C Sree Dharan, berkata diabetes boleh didiagnosa dengan pengukuran gula dalam darah seperti glukosa darah selepas berpuasa semalaman (FBS), melalui ujian toleransi glucose (OGTT) atau glycosylated hemoglobin (HBA1c).

Pakar Perunding Perubatan dan Endokrinologi Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr ShaliniCSree Dharan.
Pakar Perunding Perubatan dan Endokrinologi Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr ShaliniCSree Dharan.

"Ramai individu dikesan mempunyai kencing manis tidak sedar akan kewujudan penyakit ini kerana majoriti mereka tidak menunjukkan tanda-tanda seperti kerap kencing, dahaga, lapar, kelesuan dan penurunan berat badan.

"Oleh itu, masyarakat digalakkan menjalani ujian saringan darah untuk kencing manis terutama jika mereka mempunyai faktor seperti sejarah keluarga yang menghidap penyakit itu, berat badan berlebihan, pernah didiagnosa kencing manis semasa mengandung, mempunyai tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

"MasyarakatAsia mempunyai risiko kencing manis yang lebih tinggi. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Keempat (IV NHMS) 2011, sebanyak 24.9 peratus dideritai masyarakat India, Melayu (16.9 peratus) serta Cina (13.8 peratus) menghidap diabetes.

Selain itu, gaya hidup kurang aktif dari segi senaman dan aktiviti fizikal juga menyumbang pada peningkatan penyakit diabetes.

Di Malaysia, seorang daripada empat individu yang berusia 16 tahun ke atas didapati tidak aktif secara fizikal, manakala kira-kira 50 peratus orang dewasa mengalami berat badan berlebihan dan obesiti.

Tinjauan Kebangsaan Morbiditi (NHSM) 2019, bilangan diabetes di negara ini, meningkat kepada 18.3 peratus, pada 2019, berbanding 13.4 peratus pada 2015.

Peningkatan itu dilihat semakin membimbangkan, tambahan pula sebanyak 49 peratus daripada penghidap diabetes di negara ini tidak sedar menghidap penyakit ini.

Pelbagai pihak terutama Kementerian Kesihatan mengambil langkah untuk meningkatkan kesedaran, mempromosikan gaya hidup sihat dan program menggalakkan pemeriksaan kesihatan.

Namun, peningkatan kes terus berlaku setiap tahun. Rakyat digalakkan menjalankan pemeriksaan berkala dan mengambil langkah pencegahan bagi menghindari kesan diabetes.

Kesan jangka panjang diabetes

Diabetes tidak boleh dipandang ringan kerana ia dikategorikan sebagai antara penyakit kronik paling kerap dihidapi pelbagai peringkat usia selepas darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Diabetes boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan dalam tempoh jangka panjang seperti penyakit mata, kerosakan buah pinggang, kerosakan saraf, penyumbang kepada kejadian angin ahmar dan serangan sakit jantung.

Ia juga menyebabkan luka kaki tidak dapat sembuh dan sering menyebabkan jangkitan kuman yang parah sehingga perlu diamputasi.

Risiko pendek usia

Dr Shalini berkata, satu daripada lima orang dewasa atau bersamaan 3.9 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas adalah pesakit diabetes dengan 8.9 peratus daripadanya tidak mengetahui menghidap penyakit itu.

"Lebih membimbangkan apabila jangka hayat pesakit diabetes didapati lebih pendek berbanding individu tanpa penyakit ini.

"Usia seseorang mendapat penyakit diabetes juga mempengaruhi jangka hayatnya. Ini kerana komplikasi diabetes mungkin akan berlaku seperti kerosakan buah pinggang, masalah jantung dan risiko strok yang boleh menyebabkan kematian.

"Menurut kajian, contohnya jika seseorang menghidap diabetes pada usia 15 tahun, jangka hayat berkurang sebanyak 12 tahun.

"Bagi individu yang menghidap diabetes pada usia 45 tahun, jangka hayatnya kurang enam tahun.

"Jangka hayat pesakit diabetes berusia 65 tahun pula akan berkurangan selama dua tahun, manakala individu berusia 80 tahun yang menghidap penyakit ini tidak berdepan risiko terbabit," katanya.

Dengan erti kata lain, golongan muda menghidap penyakit diabetes perlu dirawat lebih agresif untuk mengelakkan komplikasi diabetes.

Rawatan diabetes

Mengenai peningkatan tahap glukosa darah (hiperglisemia) melebihi tahap jangkauan biasa, tetapi kurang daripada had diagnosis kencing manis, beliau mencadangkan ini adalah keadaan pra-diabetes.

Pentakrifan pra-diabetes katanya, mempunyai kesan penting dalam kesihatan awam kerana pada peringkat ini, jika langkah seperti penjagaan makanan dan amalan gaya hidup sihat dan penurunan berat badan berlebihan dapat dibuat, mereka yang pradiabetes boleh kembali ke paras gula darah normal.

Sesetengah individu juga boleh diberikan ubat-ubatan seperti metformin beserta preskipsi diet dan senaman yang perlu diamalkan setiap hari bagi menghindari penyakit itu.

Akhir sekali, beliau ingin menekankan ubat-ubatan diabetes yang biasanya diberi kepada pesakit tidak akan merosakkan organ badan, malah ada antaranya melindungi organ badan daripada rosak disebabkan diabetes.

Berita Harian X