Rabu, 4 November 2020 | 2:47pm
KANSER kolorektal paling kerap menyerang golongan lelaki.- Gambar hiasan
KANSER kolorektal paling kerap menyerang golongan lelaki.- Gambar hiasan

Kanser kolorektal sering dikesan lewat

MENGIKUT statistik seramai 26,395 penduduk Malaysia maut akibat kanser pada 2018 dan jumlah itu semakin meningkat tahun demi tahun.

Menurut Pendaftaran Kanser Nasional Malaysia (2012-2016) pula, kanser kolorektal adalah jenis kedua yang paling kerap berlaku, dan menyumbang kepada 13.5 peratus daripada keseluruhan 115,238 kes didaftarkan dalam tahun terbabit.

Kanser jenis itu juga disahkan sebagai kanser paling kerap menyerang lelaki tempatan iaitu 16.9 peratus, berbanding 10.7 peratus membabitkan wanita.

Pakar Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Max Hu Chuen Wei, berkata kolorektal pada dasarnya adalah bahagian sistem pencernaan terdiri daripada usus besar dan rektum yang berfungsi untuk menyerap air dan garam pada makanan diambil.

Sistem ini katanya, dianggap tidak normal apabila wujud ketumbuhan dikenali sebagai polip yang terbentuk di lapisan usus besar atau rektum.

"Jika polip tidak dikesan dan dikeluarkan, potensinya untuk membesar dan menjadi kanser amat tinggi, khususnya kanser kolorektal iaitu barah yang berlaku di usus besar atau rektum.

"Kaedah terbaik untuk mencari dan mengeluarkan polip dari usus besar adalah dengan menggunakan kaedah kolonoskopi," katanya ketika ditemui BH.

KIRA-KIRA 60 peratus kes kanser kolorektal di Malaysia didiagnos pada individu berusia lebih 50 tahun. - Gambar hiasan
KIRA-KIRA 60 peratus kes kanser kolorektal di Malaysia didiagnos pada individu berusia lebih 50 tahun. - Gambar hiasan

Kolonoskopi dilakukan dengan menggunakan tiub nipis yang fleksibel, dilengkapi lensa kecil dan cahaya pada hujung bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan pada bahagian dalam usus besar.

Perkembangan kanser berkenaan di Malaysia boleh dianggap membimbangkan, apabila kadar mortaliti atau (kematian) semakin meningkat, malah kolorektal adalah penyebab kematian keempat tertinggi seluruh dunia.

"Kira-kira 90 peratus kes kanser kolorektal di Malaysia didiagnos pada individu berusia lebih 50 tahun, dan populasi penuaan mendorong peningkatan prevalensi itu berlaku.

"Individu yang mengalami kanser jenis ini mempunyai kadar survival selama lima tahun antara 70 hingga 90 peratus jika di diagnosis pada peringkat awalm walaupun tidak boleh pulih sepenuhnya, namun masih boleh dirawat, apatah lagi jika dikesan pada peringkat awal," katanya.

Pengesanan pada peringkat awal membantu pesakit menjalani rawatan dengan berkesan, sekali gus meningkatkan peluang untuk mereka menjalani kehidupan lebih berkualiti.

"Ujian pada peringkat awal amat disyorkan untuk pesakit yang tidak memiliki sebarang sejarah genetik dan simptom, kerana lazimnya, kanser sudah berada pada peringkat serius jika pesakit mula mengalami simptom," katanya.

Saringan kesihatan bukan hanya penting untuk mengesan kewujudan polip, tetapi turut mengesan kanser kolorektal pada tahap awal.

"Kajian membuktikan lebih 70 peratus kes kanser kolorektal di Malaysia hanya dikesan pada peringkat akhir, iaitu Tahap 3 dan 4.

"Anda harus menjalani saringan sebaik mencecah usia 50 tahun secara berkala, dan mungkin perlu menjalani ujian lebih awal atau lebih kerap jika memiliki risiko tertentu, misalnya sejarah peribadi atau atau keluarga yang menghidap polip dan kanser kolorektal," katanya.

Dr Chong Hoong Yin
Dr Chong Hoong Yin

Perunding Bedah Kolorektal Pusat Perubatan Sunway, Dr Chong Hoong Yin, berkata gaya hidup sering dikaitkan sebagai punca serangan kanser dan perkara itu tidak dapat dinafikan.

Faktor risiko katanya, ditakrifkan sebagai sesuatu yang meningkatkan peluang untuk memperoleh kanser, dan dalam hal ini terdapat dua jenis faktor risiko iaitu boleh diubah serta tidak dapat diubah.

"Ia boleh diubah berkait rapat dengan tabiat harian seperti merokok, pengambilan minuman keras berlebihan dan diet yang tidak sihat.

"Pesakit dinasihatkan mengubah gaya hidup, dan mengelakkan segala tabiat tidak sihat bagi mengurangkan risiko penyakit," katanya.

Berbeza untuk risiko tidak dapat diubah, seperti jantina, umur atau sejarah keluarga.

Dr Chong berkata, walaupun sebahagian besar pesakit kanser kolorektal tidak memiliki sejarah keluarga, hampir 1 daripada 3 pesakit memiliki ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan.

"Risiko menghidap kanser kolorektal akan meningkat jika individu terbabit mempunyai sejarah kanser kolorektal pada ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, saudara kandung atau anak," katanya.

C.H.A.T bantu nilai risiko

Atas kesedaran mengenai peratusan kes kanser kolorektal yang semakin meningkat, pusat perubatan itu mengambil inisiatif melancarkan Alat Penilaian Kesihatan Komprehensif SunMed (C.H.A.T) yang dapat membantu menilai risiko setiap individu.

Dibentuk berdasarkan garis panduan rasmi Kementerian Kesihatan, C.H.A.T adalah alat dalam talian yang berupaya membantu mana-mana individu menilai risiko kanser kolorektal ke atas diri masing-masing, sebelum mengadakan pertemuan dengan pakar perunding untuk pemeriksaan lanjut.

C.H.A.T juga akan membekalkan cadangan dan nasihat untuk perubahan gaya hidup tertentu bagi mengurangkan risiko kanser.

Soal selidik C.H.A.T boleh dilayari di alamat https://ww.sunmedchat.com/colorectal-cancer/

Berita Harian X