Sabtu, 28 Julai 2018 | 12:31pm
DR Nor Fadhlina Zakaria
DR Nor Fadhlina Zakaria

Silap ambil 'suntikan' umpama bunuh diri

HANYA mahu tampil sasa dan kononnya tampak 'macho', ramai lelaki taasub mendapatkan suntikan steroid dan protein sehingga menyebabkan kegagalan buah pinggang dan penyakit berbahaya lain.

Pakar Perunding Nefrologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Fadhlina Zakaria, berkata situasi ini memang berlaku walaupun tiada statistik pesakit dicatatkan memandangkan makanan tambahan boleh didapati dengan mudah di pasaran negara ini.

Selain itu, tidak semua pesakit mahu tampil memberikan keterangan manakala kesedaran terhadap kepenggunaan produk amat rendah di negara ini.

Kata beliau, situasi ini menjadi aliran semasa terutama golongan lelaki yang mahu tampil sasa dengan sekelip mata

tanpa perlu bersusah payah.

Beliau berkata, banyak kes sudah ditangani setakat ini membabitkan masalah berkenaan.

Walau bagai manapun, kebanyakan pengguna bernasib baik kerana kerosakan buah pinggang adalah bersifat sementara memandangkan mereka masih muda dan merujuk masalah ke hospital untuk menerima rawatan.

"Sesiapa saja boleh cantik dan memiliki tubuh sasa tetapi sekiranya terpaksa menggunakan suntikan steroid dan pengambilan makanan tambahan seperti protein secara berlebihan, ia berisiko kepada kesihatan masa depan.

"Ia umpama 'membunuh diri' tanpa disedari. Ini kerana tubuh sasa dan cantik adalah bersifat sementara jika dibandingkan dengan kerosakan buah pinggang, hati dan kesan jangka panjang lain yang memudaratkan pengguna.

"Manusia amat memerlukan organ ini dan ia mesti berfungsi dengan baik untuk kesejahteraan kesihatan," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Dr Nor Fadhlina, berkata, penggunaan apa saja bahan yang boleh menggugat fungsi badan adalah tidak berfaedah, membazir dan berisiko kepada kematian.

Beliau berkata, antara risiko dihadapi pengguna dalam jangka masa panjang dan pendek menerusi penggunaan makanan tambahan seperti protein adalah mengganggu fungsi pencernaan.

Golongan ini turut berisiko mendapat osteoporosis apabila kandungan protein dan steroid tinggi menggalakkan pengeluaran kalsium dari tulang dan menyebabkan tulang rapuh.

"Sesetengah protein yang diminum atau dimakan akan mengakibatkan pertukaran pada organisma baik dalam usus dan boleh mengakibatkan pengguna terdedah kepada tiada toleransi kepada laktosa dalam protein susu, cirit-birit, sembelit, kembung dan perut tidak selesa.

" Ia juga mengakibatkan masalah lain seperti kegemukan dan kencing manis kerana produk makanan tambahan seumpama ini didatangkan dengan pelbagai perasa untuk menambahkan kesedapannya. Ini kerana protein asli sangat tidak menyelerakan dan rasanya umpama anda menikmati telur mentah begitu saja.

"Perasa ini pula datang dengan kandungan gula tinggi dan mengakibatkan pengguna terdedah kepada risiko seperti diabetes pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, risiko akan meningkat apabila pengguna menghentikan aktiviti lasak seperti ke gimnasium dan akibatnya protein dan gula lebihan ini akan ini akan berlebihan kerana tidak diperlukan lagi tubuh.

Antara lain, pengambilan secara tidak sistematik itu juga boleh mengakibatkan darah tinggi dan gout.

"Protein akan melalui proses metabolisme menjadi 'purine', sejenis protein yang sekiranya berlebihan akan menyebabkan gout.

"Pengguna akan mengalami sakit sendi yang teruk dan perlu mengambil ubat tahan sakit yang akhirnya merosakkan buah pinggang secara tidak langsung.

"Protein berlebihan ini juga akan membebankan fungsi buah pinggang kerana buah pinggang perlu menapis lebih dari kapasitinya. Akibatnya, protein ini akan tiris dalam air kencing dan merosakkan fungsi perlahan-lahan selain terpaksa bekerja kuat menapis urea, sebatian organik yang berlebihan kesan dari metabolisme protein berlebihan ini, "katanya

Lebih membimbangkan, terdapat makanan tambahan protein yang ditambah bahan merbahaya seperti arsenik, nandrolone dan pelbagai bahan lain yang biasanya tidak ditulis pada label.

"Kebiasaannya kesan ubatan ini tidak muncul secara segera dan akan mengambil masa untuk menunjukkan tanda. Apabila muncul gejala penyakit, dibimbangi kerosakan atau gangguan fungsi buah pinggang ini sudah melarat dan teruk.

"Tanda awal yang biasa dilihat adalah kencing berbuih-buih, kencing yang boleh bercampur darah, bangun kencing malam dengan kerap, bengkak kaki dan dalam keadaan yang teruk boleh mengakibatkan kelesuan, muntah dan loya, hilang selera makan dan seterusnya kehilangan berat badan secara mendadak," katanya.

Beliau berkata, dalam situasi melampau, pengguna boleh kehilangan terus fungsi pengeluaran air kencing dan boleh mengakibatkan kematian.

"Sekiranya kerosakan organ bersifat sementara, memberhentikan pengambilan bahan ini akan memulihkan semua kerosakan sedia ada.

" Walau bagaimanapun, sekiranya kerosakan ini dikesan terlewat dan kekal, rawatan bergantung kepada organ yang terbabit. Bagi kerosakan buah pinggang, rawatan pemindahan organ dan dialisis akan diberikan untuk membantu pesakit," katanya.

Katanya, selain protein, steroid pula adalah ubat yang memerlukan preskripsi doktor kerana ia adalah ubat kawalan disebabkan ia mempunyai pelbagai kesan jangka masa panjang yang buruk.

"Pengambilan steroid berterusan dengan dos tinggi boleh menyebabkan pengguna mendapat diabetes, darah tinggi dan tulang rapuh.

"Kebanyakan atlit menggunakan 'anabolik steroid' untuk menggalakkan pertumbuhan otot dan metabolisme untuk pembinaan otot," katanya.

INFO

  • Had pengambilan protein untuk orang sihat (termasuk atlet) mengikut Saranan Pengambilan Makanan( RDA) dalam lingkungan 0.8 - 2 grams/kilogram berat badan individu.
  • Pengambilan adalah disarankan melalui protein ikan, ayam, daging dan protein tumbuhan yang segar.
  • Setiap individu berbeza tindak balas terhadap ubatan atau makanan tambahan yang mereka ambil.
  • Ada yang menunjukkan kesan positif serta merta ada juga yang mendapat kesan negatif sejurus selepas pengambilan makanan tambahan.
  • Berbincang dengan pakar nutrisi dan doktor pengambilan diet untuk badan anda.
  • Amalkan cara hidup sihat, tidak merokok dan kurangkan pengambilan makanan segera dan bergula dan bersenam.
Berita Harian X