Sabtu, 21 Julai 2018 | 11:58am

Kekang virus HFMD

Oleh Halina Mohd Noor dan Hidayah Mohammad

bminggu@bh.com.my

heading:

Iteks: Jangkitan mudah menyerang kanak-kanak di premis tumpuan terutama sekolah dan TASKA

Murid dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), sudah banyak kali berlaku hingga sebilangan sekolah ditutup untuk mengelak jangkitan virus menular menerusi sentuhan melalui cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Kes terbaharu, beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), ditutup di Pulau Pinang ditutup sepenuhnya berikutan penularan wabak HFMD akibat jangkitan virus, jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71.

Kanak-kanak antara golongan yang paling kerap dijangkiti penyakit itu berikutan sistem pertahanan badan lemah dan terdedah pada persekitaran tidak bersih.

Penyakit ini mudah menular dalam kalangan kanak-kanak di premis tumpuan seperti pusat penjagaan kanak-kanak (TASKA), TADIKA dan sekolah.

Virus coxsackie yang membawa penyakit HFMD, mudah disebarkan dalam kelompok kanak-kanak di tempat berkenaan menerusi udara dan sentuhan pada permukaan yang dijangkiti virus itu.

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Klinik Pakar Kanak-Kanak Junina, Dr Yong Junina Fadzil, berkata virus merebak menerusi sentuhan secara langsung melalui cecair dari mulut dan hidung pesakit.

Beliau berkata, jangkitan virus tidak terhad kepada kanak-kanak, malah dewasa juga boleh mendapat jangkitan dan berpotensi dijangkiti seumur hidup.

"Penyakit ini selalunya lebih teruk kesannya kepada kanak-kanak memandangkan sistem imun badan mereka lebih rendah berbanding dewasa.

"Kesannya juga menakutkan hingga terdapat kes kematian di beberapa negara, walaupun agak kecil," katanya.

Tumbesaran kanak-kanak

Dr Yong Junina berkata, HFMD lebih ramai menyerang kanak-kanak, tetapi kesannya tidak mengganggu tumbesaran mereka, sebaliknya mereka akan mengalami dehidrasi disebabkan kurang minum air.

"Walaupun kes kematian jarang berlaku, tiada kesan lain yang serius berlaku. Ibu bapa juga perlu prihatin dan mengambil langkah segera tidak menghantar anak ke sekolah atau TASKA bagi memantau dan menjaga mereka bagi mengelak keadaan bertambah parah.

Ibu bapa dan TASKA juga perlu lebih peka dengan tidak membenarkan anak menghidapi HFMD bergaul dengan rakan yang sihat.

"Selain itu, elakkan membawa anak ke tempat awam seperti pusat beli-belah, taman permainan dan kolam renang. Tempat ini mendedahkan anak kepada risiko jangkitan," katanya.

Dr Yong Junina berkata, tahap kebersihan sewajarnya diutamakan termasuk memastikan anak membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih.

Mengikut Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga Jun lalu, sebanyak 316 pusat pra-sekolah termasuk TASKA, TADIKA dan TABIKA melaporkan kluster HFMD di premis mereka, iaitu kira-kira 52 peratus daripada jumlah wabak berkaitan.

Survelan virus HFMD juga mendapati peningkatan aktiviti enterovirus-71 (EV71) dalam persekitaran itu sejak Mac lalu.

KKM juga mendapati sebanyak 27,296 kes dilaporkan sehingga 30 Jun lalu berbanding 21,303, pada tempoh sama tahun lalu.

Bilangan kes merebak kepada 12 negeri dan melepasi paras amaran kecuali Johor, Sabah dan Sarawak.

Paras amaran berdasarkan purata bilangan kes HFMD untuk lima tahun kebelakangan. Purata yang dicatat berbeza mengikut bilangan kes HFMD setiap negeri.

2nd eleman

Serangan berbeza antara HFMD dan FMD

Ramai keliru dan menganggap penyakit Kaki Tangan dan Mulut (HFMD) adalah sama dengan penyakit kuku dan mulut (FMD).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Biosekuriti, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Rozanah Asmah Abd Samad, berkata FMD hanya menjangkiti haiwan seperti lembu, kambing dan babi.

Katanya, virus yang menjadi punca penyakit itu juga berbeza dengan HFMD walaupun daripada keluarga sama.

Bagaimanapun, kedua-dua penyakit ini menyebabkan kesakitan sama iaitu mengakibatkan kesan lepuh atau ulser pada mulut dan kaki.

"FMD adalah penyakit yang bukan zoonotik iaitu tidak merebak atau menjangkiti manusia, melainkan sesama haiwan yang mempunyai tapak kaki terbelah.

"Kalau makan daging atau minum susu lembu yang dijangkiti juga tiada masalah, tetapi hanya meninggalkan kesan ke atas ekonomi kerana produktiviti pengeluaran dan penjualan daging terjejas," katanya ditemui selepas Persidangan Pelajar Perubatan Asia kali ke 39 di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Cara virus merebak

Virus FMD dikenali sebagai picorna, banyak terdapat di dalam cecair daripada lepuh yang dijangkiti, air liur, udara dan najis. Pada kemuncak penyakit, virus didapati di dalam darah dan seluruh bahagian badan haiwan berkenaan.

Walaupun manusia tidak boleh dijangkiti tetapi boleh merebakkan virus ini kepada haiwan lain menerusi rambut, pakaian dan lumpur pada kenderaan yang digunakan di ladang ternakan.

Perbezaan HFMD dan FMD

*FMD

* Virus - picorna

* Simptom

- Demam

- Lepuh atau ulser di mulut dan kaki

- Penurunan pengeluaran susu

- Berat badan menurun

- Hilang selera makan

- Bibir bergetar.

* Cara merebak

- Melalui udara

- Air liur

- Air mani

- Najis

*HFMD

* Virus

- Coxsackiedan enterovirus

* Simptom

- Demam

- Sakit tekak

- Ulser tekak, mulut dan lidah,

- Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3 - 7 mm) pada tangan, pergelangan tangan, kaki dan kawasan lampin

- Sakit kepala

- Hilang selera makan.

* Cara merebak

- Sentuhan

- Udara

Berita Harian X