Khamis, 23 Mei 2024 | 11:37am
Dari dua kiri, Presiden MATTA Nigel Wong dan Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Pelawat Taiwan, Kevin Chen (tiga dari kiri) ketika MoU mengenai kerjasama pelancongan dengan MATTA, baru-baru ini.
Dari dua kiri, Presiden MATTA Nigel Wong dan Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Pelawat Taiwan, Kevin Chen (tiga dari kiri) ketika MoU mengenai kerjasama pelancongan dengan MATTA, baru-baru ini.

600,000 pelancong Malaysia dijangka melawat Taiwan hingga hujung tahun ini

 

KUALA LUMPUR: Pentadbiran Pelancongan Taiwan menyasarkan sekurang-kurangnya 600,000 pelancong dari Malaysia, berkunjung ke negara itu sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei, James Buu, berkata sasaran itu yakin mampu dicapai susulan peningkatan sebanyak 80 peratus jumlah pelancong Malaysia ke Taiwan sebelum COVID-19 kepada 463,292 tahun lalu.

Mengulas lanjut katanya, bagi mencapai sasaran 600,000 pengunjung itu, pihaknya turut menganjurkan 'Taiwan Tourism Workshop' bersama 62 delegasi dari negara itu bagi tujuan promosi dan jalinan kerjasama pelancongan antara Malaysia dan Taiwan.

"Sepanjang 2019, hampir 2.6 juta pelancong dari Asia Tenggara melawat Taiwan, menyumbang lebih daripada satu perlima pasaran pelancongan membabitkan kemasukan pelancong.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 537,692 pelancong dari Malaysia melawat Taiwan, menjadikan Malaysia sebagai pasaran terbesar di Asia Tenggara yang melancong ke negara itu.

"Dengan 463,292 jumlah pelancong dari Malaysia ke Taiwan tahun lalu, ia menjadikannya sebagai pasaran kedua terbesar dari Asia Tenggara selepas Singapura, dan negara sumber pelancongan yang sangat penting," katanya ketika merasmikan 'Taiwan Tourism Workshop', di sini.

Selain di Parkroyal Collection di ibu negara, 'Taiwan Tourism Workshop' turut diadakan di Hotel Renaissance Johor Bahru membabitkan pelbagai pihak berkepentingan dari negara itu termasuk pihak kerajaan daerah, perbandaran, dan agensi pelancongan.

Program itu turut menarik lebih 130 pengusaha industri dan media tempatan yang mengambil bahagian.

Ia berjaya mewujudkan kerjasama sebanyak 2,480 antaranya membabitkan syarikat penerbangan, New Taipei City, Daerah Miaoli dan Nantou County, bagi memperkenalkan program subsidi dan jadual perjalanan baharu ke Taiwan.

'Taiwan Tourism Workshop' turut berjaya memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pelancongan dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA).

MoU itu disaksikan Timbalan Wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei, James Buu dan Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur, Abe Chou.

MoU itu dimeterai bagi meningkatkan pertukaran dua hala antara pihak dalam industri pelancongan Taiwan dan Malaysia, meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan dan mencapai matlamat meningkatkan jumlah pelancong.

Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara perniagaan pelancongan Taiwan dan Malaysia.

 Pada program terbabit, wakil dari Malaysia turut dihiburkan dengan tarian budaya Taiwan iaitu Hoyi dan 'Chinese Taipei Cheerleading National Team' untuk mereka mengenali lebih mendalam terhadap keistimewaan negara itu.

Sebelum ini, acara promosi 'Taiwan Travel Fair' diadakan di pusat beli-belah Sunway Pyramid pada 17 hingga 19 Mei lalu bagi mempromosikan jenama pelancongan Taiwan 3.0 iaitu 'Taiwan-Waves of Wonder'.

Acara itu berjaya menarik jangkauan sehingga 100,000 yang turut menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang pameran.

Berita Harian X