Sabtu, 11 Mei 2024 | 9:02am
Masjid Kerisik atau Krue Se di Wilayah Pattani, Thailand antara sebuah masjid tragedi berdarah di mana 32 umat Islam juga kumpulan tabligh terbunuh dalam serangan bom mortar dan tembakan oleh tentera Thailand. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Masjid Kerisik atau Krue Se di Wilayah Pattani, Thailand antara sebuah masjid tragedi berdarah di mana 32 umat Islam juga kumpulan tabligh terbunuh dalam serangan bom mortar dan tembakan oleh tentera Thailand. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Tragedi berdarah di Masjid Kerisik korbankan 32 umat Islam terus jadi ingatan

TANGGAL 28 April lalu, genap 20 tahun tragedi berdarah berlaku di Masjid Kerisik atau disebut Krue Se yang terletak di Wilayah Pattani, Thailand di mana seramai 32 umat Islam yang juga kumpulan tabligh terbunuh dalam serangan bom mortar dan tembakan daripada tentera Thailand.

Meskipun sudah sekian lama tragedi berlalu, masjid tertua di Wilayah Pattani yang berusia 510 tahun itu terus mendapat perhatian terutama pelancong dari luar negara khasnya dari Malaysia.

Ibaratnya, jika pelancong sampai di Wilayah Pattani, tidak lengkap kunjungan itu sekiranya tidak melawat masjid tertua dibina oleh Sultan Muzaffar Shah pada 1514.

Jika sebelum ini kunjungan pelancong ke masjid untuk melihat seni bina menggunakan batu bata merah dan bercirikan gaya seni bina Eropah dan Timur Tengah.

Batu-batanya diikat dengan campuran beras pulut hitam, kulit kerang, telur putih dan manisan cair. Masjid ini juga turut dikaitkan sebagai tempat persinggahan Hang Tuah dalam perjalanan mengejar Raja Bersiong yang lari ke Siam.

Namun, lain pula selepas tragedi berdarah itu apabila masing-masing mahu melihat lebih dekat lokasi serangan yang mengorbankan 32 umat Islam berusia 20-40-an.

Seni bina Masjid Kerisik unik jadi tumpuan pelancong apabila berkunjung ke Wilayah Pattani, Thailand. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Seni bina Masjid Kerisik unik jadi tumpuan pelancong apabila berkunjung ke Wilayah Pattani, Thailand. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penulis baru-baru ini berpeluang berkunjung tiga hari dua malam di wilayah itu dan Masjid Kerisik menjadi lokasi terakhir sebelum kembali ke Kelantan.

Kunjungan pertama penulis di masjid itu membuatkan teruja terutama pernah membaca tragedi di lokasi terbabit dan ketika itu penulis baru berada di Tingkatan Enam.

Menjejakkan kaki di Masjid Kerisik jam 10 pagi, cuaca ketika itu sangat panas dengan suhu mencecah 39 darjah Celcius.

Masing-masing tidak melepaskan peluang bergambar di lokasi sejarah. Ruangan di dalam masjid agak kecil berbanding masjid lain, iaitu hanya mampu memuatkan kira-kira 200 jemaah dalam satu masa.

Ada dua telaga ditempatkan di perkarangan luar masjid itu dan sehingga kini kesan tembakan pada papan tanda masih ada, manakala kesan tembakan di dinding masjid dan lain-lain sudah dibaik pulih.

Telaga di perkarangan di Masjid Kerisik yang sudah di baik pulih selepas ditembak dalam serangan bom mortar tentera Thailand ketika ditemui di Masjid Kerisik atau disebabkan serangan bom oleh tentera Thailand. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Telaga di perkarangan di Masjid Kerisik yang sudah di baik pulih selepas ditembak dalam serangan bom mortar tentera Thailand ketika ditemui di Masjid Kerisik atau disebabkan serangan bom oleh tentera Thailand. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Masjid itu tidak boleh digunakan untuk solat Jumaat, sebaliknya hanya solat lima waktu.

Ketika kunjungan, penulis sempat mendekati Tok Siak, Abdul Rashid Jusoh, 72, turut berperanan menjaga persekitaran masjid dan beliau sempat bercerita ringkas tragedi berdarah membabitkan kematian paling ramai di Wilayah Pattani.

Abdul Rashid juga menunjukkan kumpulan tentera berada ketika tragedi berlaku dan lokasi mayat umat Islam mati bergelimpangan ketika bom dilempar di masjid itu dalam serangan awal pagi itu.

"Ketika itu, saya berusia 52 tahun dan bekerja pengawal keselamatan sambilan di Masjid Kerisik. Ketika kejadian saya tidak bekerja dan berada di luar sebelum dikejutkan dengan serangan terbabit.

"Sebaik dimaklumkan kejadian, saya terus bergegas pulang dan menuju ke masjid itu. Keadaan ketika itu mengejutkan memandangkan jumlah kematian paling ramai berbanding serangan di tempat lain.

"Sebelum serangan terhadap masjid terbabit, tentera Thailand ketika itu sudah membuat pengumuman mana-mana individu tidak berkenaan dengan kumpulan tabligh itu keluar daripada masjid berkenaan.

"Tentera Thailand juga meminta kumpulan tabligh menyerah diri namun mereka enggan dan ketika itu seluruh kawasan masjid sudah dikepung dan penduduk sekitar tidak dibenarkan keluar rumah masing-masing," katanya.

Selepas itu penduduk mendengar bom diletupkan serta tembakan bertalu-talu dilepaskan sebelum penduduk dimaklumkan semua berada dalam masjid meninggal dunia.

Abdul Rashid menunjukkan kesan tembakan pada dinding Masjid Kerisik akibat ditembak dalam serangan bom mortar oleh tentera Thailand, kira-kira 20 tahun lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Abdul Rashid menunjukkan kesan tembakan pada dinding Masjid Kerisik akibat ditembak dalam serangan bom mortar oleh tentera Thailand, kira-kira 20 tahun lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

"Ketika kepungan penduduk masing-masing berada di rumah kerana takut. Selepas itu mayat dikeluarkan daripada masjid, keadaan masih dikawal ketat dan semua tidak dibenarkan menghampiri masjid.

"Ketika itu ramai orang sama ada jauh atau dekat datang ke masjid nak menyaksikan keadaan berlaku. Akibat serangan itu, bumbung masjid hancur dan banyak dinding pecah kesan bom dan tembakan dilepaskan.

"Sejak itu sehingga kini walaupun sudah 20 tahun berlalu, pelancong akan datang ke masjid ini untuk melihat dan mengetahui lebih dekat tragedi itu," katanya.

Bumbung masjid akibat hancur dalam tragedi itu, dinding pecah sudah dibaik pulih dengan peruntukan Kerajaan Thailand.

Semua 32 mangsa terbunuh dalam kejadian itu meliputi penduduk dari Pattani dan wilayah itu termasuk Narathiwat.

Rumah bergegar akibat bom

Penduduk di Pattani, Che Mas Che Wook, 39, berkata jarak masjid dari rumahnya hanya 1 kilometer dan semasa kejadian 20 tahun lalu, sangat jelas apa berlaku dan rumah ketika itu bergegar akibat bom.

Tragedi itu masih segar dalam ingatan dan berada di rumah bersama keluarga.

"Selepas serangan itu, penduduk kampung keluar mendekati masjid

melihat apa terjadi, tetapi dihalang tentera bersenjata.

"Ramai ketika itu takut keluar rumah dan selepas beberapa jam kejadian itu, barulah penduduk tahu seramai 32 terkorban dalam serangan itu.

"Kejadian berlaku sangat mengejutkan orang kampung dan mengambil masa beberapa bulan sebelum keadaan kembali normal. Sekarang selepas kejadian, masjid ini menjadi tumpuan pelancong seluruh negara sekali gus membuka peluang rezeki kepada penduduk setempat.

"Saya berniaga sate ikan dan minuman sejak 10 tahun di sini dan keadaan sudah selamat. Saya berharap tiada lagi tragedi berdarah seperti 20 tahun lalu itu," katanya.

Penulis (kanan) bersama Tok Siak, Abdul Rashid ketika ditemui di Masjid Kerisik di Wilayah Pattani, Thailand. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Penulis (kanan) bersama Tok Siak, Abdul Rashid ketika ditemui di Masjid Kerisik di Wilayah Pattani, Thailand. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Berita Harian X