Sabtu, 30 March 2024 | 9:46am
Peserta kembara bergambar di Wang Kelian, Perlis sebelum masuk ke negara Thailand.
Peserta kembara bergambar di Wang Kelian, Perlis sebelum masuk ke negara Thailand.

Kembara kapcai Jelebu ke Krabi

MERENTASI perjalanan dua hala sejauh 2,144 kilometer dari Jelebu, Negeri Sembilan ke Karabi, Thailand, dengan menunggang motosikal kapcai memberi pengalaman sukar diungkapkan buat 14 ahli peserta konvoi.

Perjalanan yang menyeronokkan. Itu luahan mereka dan tetap bangga dapat melaksanakan kembara itu walaupun cuma menunggang kapcai antaranya jenis Yamaha Y15 dan Y16, Honda RS dan Yamaha Xmax, yang sekali gus membuktikan bakal berdepan pelbagai kesukaran hanya mitos.

Cuma, motosikal dua ahli kumpulan mereka yang berusia antara 35 hingga 65 tahun itu mengalami kerosakan, ia tetap mengujakan meskipun tidak gah seperti konvoi motosikal berkuasa tinggi yang lebih tahan lasak.

Peserta, Yusnizam Yusran, 45, berkata ahli kumpulan itu sepakat menganjurkan konvoi untuk kali pertama ke luar negara, iaitu Karabi.

Yusnizam Yusran.
Yusnizam Yusran.

Katanya, perancangan menunggang motosikal kapcai ke Thailand diutarakan sejak tiga bulan lalu, lantas masing-masing teruja membuat persiapan termasuk memastikan motosikal dalam keadaan terbaik.

"Namun, antara cabaran ketika menuju ke pintu sempadan negara, Wang Kelian, Perlis, motosikal seorang daripada ahli kami mengalami kerosakan monoshock/absorber di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.

"Perjalanan menjadi perlahan selepas itu dan kesudahannya dari Jelebu ke Wang Kelian, kami mengambil masa lebih 15 jam. Kami bertolak dari Jelebu, jam 10 malam dan tiba di Wang Kelian pada jam 3 petang, memang sangat mencabar, namun seronok.

Sebaik sampai di Wang Kelian, sebuah lagi motosikal ahli kumpulan pula mengalami kerosakan, namun berjaya dibaiki sebelum kami bergerak ke Satun, Thailand mengambil masa lebih kurang dua jam.

Katanya, paling menarik sebaik sahaja sampai ke lokasi, kami mencari tempat makan seperti 'membalas dendam' selepas berbelas jam menunggang motosikal.

Peserta bergambar di sebuah masjid di Satun.
Peserta bergambar di sebuah masjid di Satun.

Peserta kembara bergambar di Wang Kelian, Perlis sebelum masuk ke negara Thailand.
Peserta kembara bergambar di Wang Kelian, Perlis sebelum masuk ke negara Thailand.

"Kami juga berkesempatan menikmati sarapan di sebuah kedai makan diusahakan warga Malaysia berasal dari Perlis, di Satun dan kedai berkenaan baharu beroperasi.

"Usai sarapan kami melawat sebuah masjid di Satun yang dikenali sebagai Masjid Bambang, iaitu reka bentuknya hampir serupa seperti Masjid Al-Aqsa," katanya.

Kemudian, mereka meneruskan perjalanan ke Phattalung, sebelum ke Krabi melalui jalan berbukit dan berselekoh.

"Jarak perjalanan dari Satun ke Krabi sejauh 285 km mengambil kira-kira empat jam dengan isian petrol membabitkan kos lebih kurang RM59 (444.15 bath). Harga petrol seliter di sana 31.4 bath (RM4.40 sen," katanya

Pada keesokannya, kami meneruskan perjalanan sejauh 264 kilometer menuju ke Hatyai.

Sebuah motosikal yang awal mengalami kerosakan menjadi bertambah lebih teruk, malah pergerakan kembara menjadi perlahan, kira-kira 60 kilometer sejam.

Baiki motosikal di pekan Trang sebelum meneruskan perjalanan ke Krabi.
Baiki motosikal di pekan Trang sebelum meneruskan perjalanan ke Krabi.

Kebanyakan bengkel motosikal tidak ada kemahiran dan alat ganti motosikal Yamaha kerana penduduk lebih gemar jenis Honda Wave dan Skuter.

"Kami tiba di Hatyai jam 9.30 malam dan berhenti makan dan minum kerana banyak masa mencari bengkel membaiki motosikal rosak.

"Usai menjamu selera di Hatyai kami meneruskan perjalanan ke Sadao dan sampai jam 11.30 pagi sebelum mendaftar masuk ke hotel di sana," katanya.

Selain itu, cadangan singgah di beberapa masjid yang menjadi tumpuan ramai di negara jiran gagal dilaksanakan kerana sebahagian masa berikutan masalah kerosakan motosikal kembara.

"Biarpun beberapa masalah timbul akibat kerosakan motosikal, kembara ini mengeratkan ukhuwah antara kami kerana semangat kerjasama dan tolong-menolong dipraktikkan sepanjang kembara dan semua peserta bersatu hati menangani masalah kali pertama kembara ke luar negara.

"Hakikatnya, perjalanan menggunakan laluan masuk dan keluar berbeza sepanjang kembara di negara jiran itu," katanya.

Berita Harian X