Khamis, 14 March 2024 | 10:29am

Taiwan sediakan pelancongan mesra Muslim

SEBAIK sahaja tiba di sebuah hotel di Tainan, Taiwan, dalam lawatan sempena Festival Tanglung Tainan 2024, akhir Februari lalu, rasa kagum apabila disediakan sejadah dan petunjuk kiblat di dalam bilik hotel itu.

Malah, bagusnya pihak hotel turut menyediakan ruangan makanan halal, khas untuk pelancong Muslim.

Ini memperlihatkan Taiwan serius menarik kunjungan pelancong Muslim ke negara itu, malah rakyat Malaysia dilaporkan menyumbang jumlah tertinggi pelancongan dari ASEAN ke sini.

Sambutan Festival Tanglung Taiwan 2024 di Tainan menyaksikan lebih 300 tanglung pelbagai tema.
Sambutan Festival Tanglung Taiwan 2024 di Tainan menyaksikan lebih 300 tanglung pelbagai tema.

Sepanjang tahun lalu, seramai 437,491 rakyat Malaysia dilaporkan melancong ke Taiwan, suatu jumlah yang memberangsangkan dan semakin pulih selepas COVID-19.

Walaupun komuniti Islam di Taiwan hanya satu peratus daripada 34 juta penduduknya, negara itu dilihat giat mempromosikan percutian mesra Muslim sejak 2018.

Pengalaman menarik apabila penulis berpeluang mengerjakan solat Jumaat di Masjid Kaohsiung, iaitu masjid kedua terbesar di Taiwan.

Secara keseluruhan, sebanyak sembilan masjid di Taiwan, 111 fasiliti dan 230 restoran mesra Muslim di Taiwan.

Menikmati makanan halal di Taiwan bukan suatu masalah kerana banyak restoran Muslim, sama ada menyajikan makanan tempatan negara itu atau masakan dari Indonesia, Turkiye, India dan Melayu sendiri.

Paling tidak dilupakan adalah menikmati makanan ayam penyet di Mamamia Asia Foods di Tainan, yang rasanya jauh lebih sedap berbanding di Malaysia, selain tomyam serta siakap di Kunming Islamic Restaurant.

Sedia makanan halal

Makanan tempatan Taiwan, mi daging terkenal di negara itu juga boleh didapati secara halal di Taipei, di Halal Beef Noodle House dan yang pasti keenakan makanan itu semakin terasa apabila dapat menghirup kuah dalam keadaan cuaca sejuk di sana.

Restoran Mi Sup Halal di Taipei.
Restoran Mi Sup Halal di Taipei.

Penulis juga berpeluang membuat sendiri kek nanas di Vigor Kobo yang mempunyai sijil halal diberikan Persatuan Muslim Cina dan sangat popular di Taiwan.

Pelancong dari Malaysia khususnya yang beragama Islam boleh meneroka pelbagai lagi restoran mesra Muslim dengan melayari https://eng.taiwan.net.tw/

Mendaki Taman Negara Yangmingshan

Jika disimpulkan, kunjungan media Muslim ke Taiwan selama enam hari berbaloi dan penuh dengan pelbagai aktiviti menarik, tidak kurang mencabar fizikal apabila terpaksa mendaki di Taman Negara Yangmingshan untuk melihat keindahan bunga Sakura.

Lawatan bermula di bandar Kaohsiung bagi melawat lokasi tarikan i-Ride dan mengambil angin di Dagang Bridge dan River of Love.

Kaohsiung walaupun bandar moden lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan tren, ia menyajikan aura tenang, kurang kesibukan kota atau kesesakan lalu lintas.

Kunjungan ke i-Ride wajib bagi pertama kali ke Taiwan kerana di situ, pengunjung boleh menyaksikan semua tarikan di negara secara 5D dengan hanya duduk di bangku disediakan.

Kami juga melawat Peninsula Cijin, kawasan bersejarah Rumah Api Kaohsiung dan Star Tunnel.

Kira-kira 10 minit mendaki ke rumah api itu terletak di Gunung Cihou ternyata berbaloi apabila melihat keunikan struktur dibina juruteknik British pada 1883.

Pesta tanglung jadi tarikan

Puas menerokai Kaohsiung di bahagian selatan Taiwan, kunjungan kami diteruskan ke Tainan iaitu lokasi bagi penganjuran Pesta Tanglung Taiwan 2024, iaitu ada lebih 300 tanglung pelbagai tema di sini.

Tarikan utama tanglung naga setinggi 22 meter, yang menggabungkan bahan tenaga suria (solar) dan unsur hijau.

Ini kerana, bandar Tainan cukup dikenali di seluruh dunia dengan industri fotovoltan (penukaran tenaga cahaya kepada tenaga elektrik).

Kami turut dibawa menaiki 'cruise' di Sungai Anping bagi melihat komuniti pasar nelayan dengan lebih 500 bot nelayan di situ.

Tiga hari terakhir di Taiwan, kami dibawa ke ibu negara, di Taipei dengan menaiki High Speed Rail (HSR) dari Tainan dengan perjalanan sejam lebih.

Dalam usaha mempromosikan pelancongan, pelancong membeli satu tiket HSR akan mendapat satu lagi tiket percuma hingga 31 Mei ini.

Sepanjang perjalanan menaiki HSR dengan jarak keseluruhannya 350 kilometer (km) membabitkan 12 stesen, kami disajikan dengan pemandangan indah sawah padi menghijau.

Di Taipei, kami menikmati syurga makanan sekali gus lengkap kunjungan hampir seminggu apabila kami turut dibawa ke Pasar Malam Roohe dan melihat bangunan pencakar langit Taipei 101.

Penulis (kanan) bersama rakan media dari Malaysia melawat West Secret Tunnel yang menjadi laluan bekas Presiden Taiwan, Chiang Kai-shek.
Penulis (kanan) bersama rakan media dari Malaysia melawat West Secret Tunnel yang menjadi laluan bekas Presiden Taiwan, Chiang Kai-shek.

Selain dapat melawat 'East and West Secret Tunnel', dibuka pada 2019 iaitu laluan rahsia bekas Presiden Taiwan, Chiang Kai-shek sejauh 67 meter dan 85 meter.

Kunjungan ke Taiwan tidak ubah seperti berada di 'rumah' sendiri mudah mendapat makanan halal dan bersolat kerana kebanyakan restoran mesra Muslim menyediakan surau.

Berita Harian X