Sabtu, 9 March 2024 | 10:10am

Miri antara 9 destinasi alam semula jadi paling popular di Asia

MENEROKAI lokasi yang menawarkan panorama menarik berlatar belakangkan keindahan alam yang mengagumkan lazimnya menjadi agenda utama kepada pencinta alam sekitar.

Yang sedia berbelanja mereka boleh melangkau ke sempadan negara yang turut menyediakan destinasi alam menarik untuk dijelajahi.

Platform pelancongan digital, Agoda, umpamanya menyenaraikan sembilan destinasi alam semula jadi yang paling digemari dan popular di Asia, berdasarkan data carian yang dibuat pada Januari lalu, sempena pelancaran Eco Deals 2024.

Bagi menyemarakkan minat pelancong terhadap keindahan alam yang unik dan luar biasa di serata Asia Pasifik, Agoda memilih beberapa destinasi alam semula jadi terbaik untuk menghasilkan idea untuk menghubungkan semula diri dengan alam semula jadi melalui hutan purba, lembah yang dalam dan tasik yang tenang.

Berikut sembilan destinasi yang hebat yang wajar anda terokai termasuk Miri, Sarawak antara yang menjadi pilihan pengunjung:

1. Ooty, India

Ooty, India (Vishal Anand, Unsplash)
Ooty, India (Vishal Anand, Unsplash)

Ooty, dikenali sebagai 'Queen of Hill Stations' atau Ratu Stesen Bukit, terletak di Bukit Nilgiri.

Tempat ini adalah sebahagian daripada Rizab Biosfera Nilgiri. Ia adalah kawasan hutan terlindung terbesar di India dan mempunyai sebuah bandar yang terkenal dengan keindahan tasik dan tamannya.

Ooty adalah destinasi idaman pencinta alam yang gemarkan aktiviti berperahu, safari dan mendaki sambil menikmati keindahan alam semula jadi India.

2. Lombok, Indonesia

Lombok, Indonesia (Giorgi Shakarashvili)
Lombok, Indonesia (Giorgi Shakarashvili)

Gunung Ranjani Lombok, Geopark Global Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Indonesia menampilkan landskap yang pelbagai landskap yang pelbagai, termasuk savana dan hutan tropika yang dibentuk oleh batu gunung berapi.

Tersergam megah pada ketinggian 3,726 meter, Gunung Rinjani menawarkan pemandangan yang menakjubkan dari puncanya.

Danau Anak Segara yang terbentuk di dalam kaldera Rinjani menyediakan keindahan yang tenang dan menarik ramai penganut Hindu untuk melakukan upacara pujaan mereka di sana.

Terokai Rinjani-Lombok untuk percutian yang penuh pengembaraan, keajaiban dan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

3. Hakone, Jepun

Hakone, Japan (Sravan-v, Unsplash)
Hakone, Japan (Sravan-v, Unsplash)

Hakone adalah sebuah destinasi pelancongan utama Jepun yang menawarkan pemandangan yang menakjubkan serta warisan sejarah yang kaya.

Dikelilingi oleh kawasan pergunungan, tempat ini terkenal dengan keindahan bermusim, mata air panas dan tarikan kebudayaan seperti Tasik Ashi dan Kuil Hakone.

Akses mudah ke Gunung Fuji, pilihan tempat makan yang beraneka jenis dan cenderahati unik menambahkan lagi daya tarikannya untuk pengunjung dari seluruh dunia.

4. Miri (Sarawak), Malaysia

Miri, Sarawak (Ryan O Niel, Unsplash)
Miri, Sarawak (Ryan O Niel, Unsplash)

Miri adalah pintu masuk ke Taman Negara Gunung Mulu yang disenaraikan oleh UNESCO.

Taman Negara itu sebuah kawasan hutan hujan yang kaya dengan hidupan liar dan mempunyai gua yang luas termasuk Sarawak Chamber, ruang gua terbesar di dunia mengikut keluasannya.

Di sini, pelawat boleh menerokai pembentukan kars, mendaki Gunung Api untuk melihat pemandangan yang menakjubkan di puncaknya dan menyaksikan penghijrahan kelawar di Gua Rusa, melalui denai hutan yang mencabar dan juga menaiki bot.

5. Siquijor Island, Filipina

Siquijor Island, Philippines (Nikko Lawrence, Unsplash)
Siquijor Island, Philippines (Nikko Lawrence, Unsplash)

Siquijor, yang dikenali sebagai 'Pulau Mistik Visayas Tengah,' memikat hati pengunjung dengan pemandangan gunung dan air terjun yang indah.

Gunung Bandilaan adalah puncak tertinggi pulau itu mempamerkan tumbuh-tumbuhan asli dan lebih 100 spesies rama-rama yang boleh ditemui semasa mendaki.

Air Terjun Cambugahay yang mempesonakan terletak di dalam hutan hujan yang subur dan dikatakan mempunyai kuasa pemulihan, menjadikannya satu destinasi percutian yang tenang dari kesibukan hidup di bandar.

6. Jeongseon-gun, Gangwon-do, Korea Selatan

Jeongseon (Ji Ho Kim, Korea Tourism Organisation)
Jeongseon (Ji Ho Kim, Korea Tourism Organisation)

Daerah Jeongseon di Wilayah Gangwon, satu destinasi percutian alam semula jadi yang terkenal dengan pemandangan gunung yang damai.

Ia menampilkan aktiviti luar yang bermusim termasuk pendakian musim sejuk di Hambaeksan dan penerokaan musim luruh Gariwangsan. Pengunjung yang inginkan sesuatu yang mencabar boleh menikmati Byeongbangchi Skywalk yang mengujakan dengan pemandangan panorama di kawasan pergunungan dan lembah di sekelilingnya.

Saksikan keindahan semula jadi Auraji melalui aktiviti rekreasi seperti berakit yang menjadi satu kemestian semasa lawatan anda.

7. Hualien, Taiwan

Taman Negara Taroko, Hualien.
Taman Negara Taroko, Hualien.

Hualien, di pantai timur Taiwan, menawarkan landskap yang menakjubkan, budaya yang kaya dan pengembaraan luar rumah yang mengujakan.

Taman Negara Taroko, satu mercu tanda utama Hualien terkenal dengan pembentukan tebing marmar yang dramatik, hutan yang subur dan sungai yang jernih, dengan denai kembara yang menuju ke tempat pemandangan yang memukau, air terjun dan kuil di tepi gunung.

Sebagai habitat kepada pelbagai hidupan liar, taman ini menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pencinta alam dan penggemar aktiviti kembara.

8. Khao Yai, Thailand

Khao Yai, Thailand (Manahil Ilyas, Unsplash)
Khao Yai, Thailand (Manahil Ilyas, Unsplash)

Khao Yai atau Gunung Besar dalam bahasa Thai ialah tempat percutian alam jadi berhampiran Bangkok yang menampilkan taman negara pertama yang diiktiraf oleh UNESCO di Thailand.

Dengan adanya hutan hujan yang luas, air terjun yang terkenal seperti Haew Narok dan Haew Suwat, dan pelbagai jenis hidupan liar termasuk gajah dan juga beruang hitam Asia, ia sesuai untuk aktiviti luar seperti mendaki, safari dan menyaksikan bintang, yang menawarkan pengunjung peluang untuk menikmati keindahan hutan belantara Asia secara lebih dekat.

9. Dalat, Vietnam

Da Lat, Vietnam (Thanh Tran, Unsplash)
Da Lat, Vietnam (Thanh Tran, Unsplash)

Terletak tidak jauh dari bandar Ho Chi Minh yang sibuk, Dalat menjadi syurga kepada pencinta alam dengan cuaca yang nyaman, hutan pokok pain dan juga air terjun.

Ia sesuai untuk aktiviti mendaki, aktiviti di tasik seperti mendayung dan juga bersiar-siar menikmati keindahan taman-taman tempatan.

Persekitarannya yang indah menjadikan Dalat satu tempat percutian yang sukar dilupakan oleh para pencinta alam dari seluruh dunia.

Berita Harian X