Selasa, 27 Februari 2024 | 8:26am
Lauren dan Craig mendapat inspirasi untuk memulakan perjalanan selepas menamatkan pengajian dari universiti dan merakam gambar kenangan mereka di Lofoten, Norway.
Lauren dan Craig mendapat inspirasi untuk memulakan perjalanan selepas menamatkan pengajian dari universiti dan merakam gambar kenangan mereka di Lofoten, Norway.

Pasangan dari England mampu kembara 85 negara dengan gaji kecil

MESKIPUN bekerja dalam bidang yang tidak mempunyai pendapatan tinggi, sepasang kekasih dari Sussex, England ini berjaya melawat lebih 85 negara sejak 15 tahun lalu.

Berkongsi pengalaman itu, Lauren Winslow-Llewelyn, 34, dan Craig Hubbard, 41, berkata pada mulanya pengembaraan mereka banyak menggunakan van pelbagai guna selama satu tahun.

Namun, van berkenaan terpaksa dijual seterusnya mereka nekad melancong secara 'backpacker' dan bekerja di beberapa tempat bagi membiayai pengembaraan seterusnya.

"Kami tidak bekerja dalam bidang yang mempunyai pendapatan tinggi. Kami biasanya bekerja dan mendapat gaji minimum termasuk menjadi pelayan restoran atau dalam bidang perhotelan.

"Walaupun bekerja dengan gaji minimum, kami cuba untuk membuat simpanan sebanyak mungkin serta menjalani kehidupan berjimat cermat supaya kami boleh membelanjakan wang itu untuk melancong berbanding membeli barangan," katanya menerusi perkongsian di TikTok.

Lauren dan Craig berkata, idea untuk melancong itu bermula ketika mereka tamatkan pengajian di universiti selepas Craig memaklumkan dirinya tidak bersedia untuk memulakan sebarang kerjaya.

Rakan Lauren pula pernah meluahkan hasrat untuk melakukan pengembaraan dan dari situ ia memberi cetusan idea kepada dirinya.

"Saya tidak tahu apa maksudnya (rakan) ketika itu, tetapi ia cukup menarik minat saya untuk melakukan perkara sama dan bekerja sepenuh masa untuk menyimpan duit seterusnya melancong,' katanya kepada MailOnline Travel.

Pasangan itu yang bekerja sepenuh masa di restoran Pizza Express itu berjaya menjimatkan kira-kira RM30,000 setiap seorang untuk pergi ke Australia dengan menggunakan visa cuti bekerja pada 2008.

Menyedari bahawa wang mereka tidak akan bertahan lama jika mereka tinggal di asrama, mereka akhirnya berpindah ke 'rumah roda' dan terus melakukan pengembaraan tanpa henti.

"Van itu bukanlah sebuah kenderaan yang ideal, ia bocor dengan teruk terutamanya ketika hujan lebat. Tetapi entah bagaimana kami menyukai dengan gaya hidup dan kebebasan yang diberikan.

"Ia membawa kami ke seluruh negara dan ia bukanlah sebuah van biasa," katanya. Tambah mereka, sepanjang pengembaraan itu mereka sudah menukar lebih lima kenderaan sebelum mendapat yang betul-betul selesa.

Antara negara yang mereka lawati adalah Kazakhstan , Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Thailand , Myanmar, Sri Lanka, Maldives, Jerman, Kanada, Argentina, Jordan, Turkiye, Ireland, Pakistan, Taiwan, Afrika Selatan dan China.

Walaupun disajikan dengan pemandangan indah ketika melancong, namun pasangan itu mengakui perjalanan mereka tetap 'diselitkan' dengan cabaran terutamanya membabitkan kenderaan mereka.

Lauren dan Craig sudah mengembara 85 negara sejak 15 tahun lalu.
Lauren dan Craig sudah mengembara 85 negara sejak 15 tahun lalu.

"Paling besar adalah masalah mekanikal dan ia sangat memberi tekanan, ini kerana ia bukan hanya sebuah van tetapi ia juga adalah rumah kami.

"Malah sesetengah tempat juga tidak membenarkan kenderaan masuk dan hanya boleh berkhemah. Selain itu, proses jual beli kenderaan juga adalah satu proses yang mencabar kerana kita cuba mencari kenderaan yang boleh berfungsi dengan baik seterusnya tidak memberi banyak masalah.

"Tetapi apabila kerja mengubahsuai van berkenaan selesai dan mengharungi jalan raya, itu adalah satu kepuasan yang tiada tandingan," katanya. - AGENSI

Lauren dan Craig menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam ketika percutian di Lofoten, Norway.
Lauren dan Craig menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam ketika percutian di Lofoten, Norway.

Lauren melihat pemandangan di Blyde River Canyon, Afrika Selatan
Lauren melihat pemandangan di Blyde River Canyon, Afrika Selatan

Berita Harian X