Selasa, 20 Februari 2024 | 8:31am

Pemuda Ipoh tanam sayur di Switzerland

MENYAKSIKAN kebun ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran tumbuh subur mekar di sebuah perkampungan di Sorens, Switzerland, pasti ramai menjangkakan ia diusahakan oleh petani tempatan.

Kebun seluas 5,000 meter persegi atau 0.5 hektar ditanam dengan 22 jenis salad, lapan jenis tomato, lima jenis timun, kobis, brokoli, lobak dan beraneka sayuran lain itu, sebenarnya diusahakan oleh Eryzal Zainal, 41, warga Malaysia yang menetap di sebuah desa, dipanggil Sorens.

Pemuda berasal dari Ipoh, Perak itu sudah berkelana di Switzerland bersama isterinya, warga Hungary, Zsuzsanna, 40, dan seorang anak perempuan, Inez, 5, sejak 2017 sehingga sekarang.

Menceritakan bagaimana bekas jurutera sebuah syarikat telekomunikasi serta minyak dan gas (O&G) itu terjebak sebagai petani di benua Eropah, bibitnya bermula apabila beliau merasakan betapa mustahaknya menghargai sumber yang menjadi bahan makanan seisi keluarga.

"Bermula dari tanah seluas kira-kira suku ekar di sebelah rumah, saya dan isteri kemudiannya dipelawa oleh jiran setempat untuk meluaskan kawasan kebun dan mengusahakan tanah miliknya.

"Keluasan keseluruhan kebun kami sekarang sekitar 5,000 meter persegi. Ia diusahakan secara organik tanpa menggunakan sebarang bahan terlarang dan ditanam mengikut peredaran bulan dan musim," katanya.

Kerah keringat tanam sayur

Anak ketiga daripada enam beradik itu, pada awalnya hanya mengerah keringat bertani tanpa menggunakan mesin atau jentera berat seperti traktor, sebaliknya cara manual.

Zsuzsanna, warga Hungary yang turut punyai minat sama mengembara dan berkebun bangga dengan usaha mereka. - Foto Ihsan Eryzal
Zsuzsanna, warga Hungary yang turut punyai minat sama mengembara dan berkebun bangga dengan usaha mereka. - Foto Ihsan Eryzal

Kebanyakan perkakasan yang lain turur digunakan sewaktu mengusahakan sayur-sayuran daripada bahan buangan yang dikitar semula.

"Saya pakai sahaja apa-apa barang yang ada sebagai permulaan, perlahan-lahan kami tambah baik peralatan pertanian kepada yang lebih baik, " kata kini mengusahakan kebun sayurnya dengan bantuan traktor dua roda.

Natijahnya, setiap minggu beliau mampu menuai hasil tanaman sekitar 100 kuntum salad merangkumi pelbagai jenis dan warna, 20 kilogram (kg) salad campuran, manakala 50 kg lobak merah dan 70 kg tomato, yang kemudian dijual di pasar.

Jadi petani sepenuh masa

Sebelum ini, Eryzal mengambil upah melakukan kerja-kerja kecil di desa yang menjadi tempat tinggalnya sekarang dan dari situ, beliau membuat keputusan menjadi petani sepenuh masa selepas ditawarkan tanah untuk diusahakan bagi tujuan pertanian.

Dengan pendekatan itu, penduduk kampung di situ dapat memperoleh sayur-sayuran berkualiti dari kebun sayur diusahakannya.

Antara kerja kampung yang beliau pernah lakukan adalah membantu menguruskan ladang ternakan dan sayur-sayuran penduduk di situ, dengan diberi upah wang tunai serta keju.

"Dalam kebanyakan negara di Eropah, Switzerland adalah negara paling stabil. Saya suka negara ini sebab ia bersih, cantik dan sistem takbir urus berjalan dengan elok.

Gemar merantau, sebelum menetap di Switerland

Beliau yang sudah merantau 60 negara, selepas diberhentikan kerja pada 2014, menghabiskan masa membaca dan merantau, kemudiannya pulang ke Kedah untuk terbabit dalam projek konservasi di Sungai Batu dan di Pulau Bidan, Yan, Kedah.

Di sini beliau mempraktikkan ilmu melestarikan alam bersama teman-teman, sehinggalah selepas beberapa tahun kemudian dipertemukan dengan isterinya.

"Saya dan isteri mempunyai minat sama terhadap alam semula jadi. Kami membuat keputusan merantau dan melakukan kerja sukarela di ladang negara yang dilawati.

Musim mengutip hasil sayur dari kebun seluas 0.5 hektar diusahakannya. - Foto Ihsan Eryzal
Musim mengutip hasil sayur dari kebun seluas 0.5 hektar diusahakannya. - Foto Ihsan Eryzal

"Dengan cara ini, kami dapat mengenali dengan lebih mendalam budaya juga rakyat setempat.

"Kami belajar cara menguruskan tumbuhan dan haiwan. Selepas beberapa bulan berkelana, kami sampai di Switzerland lalu membuat keputusan untuk cuba mempraktikkan ilmu pertanian yang kami galas selama ini.

"Alhamdulillah kami sekarang sedang memasuki musim keenam sebagai pengusaha ladang sayur," katanya.

Konsep jual beli sayur

Menariknya konsep jual beli sayur di kampung itu adalah pelanggan kebanyakan terdiri daripada penduduk setempat dan beberapa kampung berdekatan.

Menerusi konsep Community Supported Agrilculture (CSA), pelanggan perlu mendaftar dan membayar yuran bermusim terlebih dahulu bagi melayakkan mereka 'melanggan' perkhidmatan bakul sayur.

CSA adalah model pertanian yang menghubungkan pengguna secara langsung dengan petani tempatan, dengan memberi ahli akses kepada hasil pertanian yang dituai terus dari ladang.

Konsep jual beli sayur diamalkan untuk pelanggan membeli sayuran diusahakan pasangan itu. - Foto Ihsan Eryzal
Konsep jual beli sayur diamalkan untuk pelanggan membeli sayuran diusahakan pasangan itu. - Foto Ihsan Eryzal

Dalam pengaturan CSA, individu atau keluarga membeli saham atau keahlian dari ladang tempatan, dan sebagai balasan mereka menerima hasil ladang secara tetap sepanjang musim tanam.

"Kita buat bakul sayur dan hantar dekat pelanggan yang daftar untuk mereka dapat bakul berkenaan tiap-tiap minggu.

"Jadi pelanggan yang bayar setiap minggu mereka ini bayar duit pada awal musim. Ramai penduduk di Sorens guna sistem itu.

"Di bawah tanggungjawab saya, saya perlu menyediakan bakul sayur kepada 40 keluarga dan mereka akan dapat bekalan sayur mengikut tempoh dijadualkan," jelasnya.

Jual sayur di pasar

Selain itu, beliau juga mengambil inisiatif menjual hasil tanaman di kebunnya seminggu sekali di pasar.

"Setiap Sabtu, saya akan bawa hasil tanaman ke pasar manakala isteri pula menjualnya secara terus dari ladang. Kami buka meja dan susun sayur, Alhamdulillah mendapat sambutan.

"Kebanyakan pelanggan dalam kalangan mereka yang mempunyai ideologi sama tentang makanan dan pertanian.

"Saban minggu mereka datang dan memberi sokongan kepada usaha kami dan ada yang turut membantu kerja di kebun.

"Perniagaan menjadi mudah apabila kita telus dalam dunia perniagaan. Kami tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk mengemukakan justifikasi mengapa produk jualan kami berlainan bentuk, warna dan harga berbanding peniaga lain.

Pelbagai jenis sayur-sayuran dihasilkan siap untuk dijual kepada penduduk. - Foto Ihsan Eryzal
Pelbagai jenis sayur-sayuran dihasilkan siap untuk dijual kepada penduduk. - Foto Ihsan Eryzal

"Kita tanam variasi sayur dari benih asal dan bukan yang hibrid. Maka pengeluaran produk kami juga tidaklah sehebat pertanian moden berskala besar.

"Kami ambil apa yang alam bagi dan berkongsi hasil bersama serangga dan makhluk yang lain" katanya yang mengamalkan unsur permakultur di kebunnya.

Landskap permakultur menawarkan hasil lebih besar dan lebih baik dengan penggunaan kerja, masa serta sumber yang kurang.

Dengan menggunakan kaedah permakultur, ia membolehkan petani itu merancang ruang bermanfaat, cantik dan produktif tanpa perlu bekerja berjam-jam atau menggunakan racun perosak toksik mahupun baja kimia.

Sayur-sayuran yang dijual di pasar. - Foto Ihsan Eryzal
Sayur-sayuran yang dijual di pasar. - Foto Ihsan Eryzal

"Kebun yang bersih, teratur dan berwarna-warni juga menjadi tarikan jiwa untuk kami, teman-teman dan pelanggan untuk membeli hasil kebun di mana sebahagian kawasan kebun digazetkan bagi penanaman pohon liar dan bunga-bungaan.

"Ia bagi mencipta habitat haiwan serta serangga yang kemudiannya menjadi pengawal serta pelindung kepada sayur-sayuran di kebun.

"Teknik ini berhasil dan kemenangan yang sangat besar untuk kami apabila tidak bergantung kepada penggunaan racun perosak yang jelas menghancurkan tanah, air dan kehidupan manusia sejagat, " katanya.

Berkebun rapatkan 'komuniti' alam semula jadi

Aktiviti berkebun menjentik hati beliau untuk lebih dekat dengan alam, selain menikmati makanan bersih dan halalan toyyiban untuk keluarga serta komuniti setempat.

Menurut Eryzal berkebun membuatkannya rapat dengan 'komuniti' alam semula jadi sehingga membentuk sifatnya supaya lebih menghargai dan menjaga sumber anugerah Tuhan, yang diusahakan hasil penat-lelah membanting tulang empat kerat.

Sayur tumbuh subur ditanam di sebuah perkampungan di Sorens. - Foto Ihsan Eryzal
Sayur tumbuh subur ditanam di sebuah perkampungan di Sorens. - Foto Ihsan Eryzal

Berkebun memberi kepuasan apabila sayur-sayuran ditanam tumbuh dengan subur dan segar serta dihargai oleh masyarakat setempat khususnya di Sorens kerana merasai hasil tuaian sama.

"Saya seharusnya bijak memilih makanan dan antara caranya dengan menghasilkan sendiri makanan untuk keperluan seisi keluarga.

"Secara tidak langsung kita melalui setiap proses dan fasa penghasilan makanan. Saya rasa lebih bertanggungjawab dan berdisiplin untuk hasilkan makanan berkhasiat tanpa merosakkan alam atau memudaratkan pengguna.

Eryzal bersama isteri dan anak sudah menetap di Switzerland sejak enam tahun lalu. - Foto Ihsan Eryzal
Eryzal bersama isteri dan anak sudah menetap di Switzerland sejak enam tahun lalu. - Foto Ihsan Eryzal

"Kerja ini bukan dilakukan semata-mata untuk meraih keuntungan, sebaliknya satu bentuk terapi kami sekeluarga bersama alam semula jadi. Keakraban hubungan serta kasih sayang juga meningkat.

"Kesedaran dan kewajipan pentingnya memakmurkan alam dan dapat dilakukan bersama orang tersayang. Pengalaman lebih manis apabila melihat anak dan isteri meniti di batas kebun memetik tomato dan timun sebagai kudapan semasa bekerja, " katanya.

Cabaran, suka duka berkebun

Dengan berbakti kepada tanah, Eryzal dapat mendidik seseorang menjadi insan lebih bersabar kerana perlu meniti hari bagi menunggu tanaman membuahkan hasil.

Antara sayur-sayuran ditanam Eryzal yang turut dibantu isterinya. - Foto Ihsan Eryzal
Antara sayur-sayuran ditanam Eryzal yang turut dibantu isterinya. - Foto Ihsan Eryzal

Kadang kala langit bukan selalunya cerah kerana beliau turut berdepan 'suka duka' ketika bertani kerana apa dirancang bertukar tidak seperti diharapkan, bahkan ada ketika situasi mendatang di luar jangkaan.

"Pada hemat saya, bekerja untuk mendapat dan menikmati makanan bersih serta berkhasiat sesuatu yang murni.

 Eryzal bersama Inez di kebun ditanam pelbagai jenis sayur-sayuran di tepi rumah di Sorens, Switzerland yang diusahakannya.- Foto Ihsan Eryzal
Eryzal bersama Inez di kebun ditanam pelbagai jenis sayur-sayuran di tepi rumah di Sorens, Switzerland yang diusahakannya.- Foto Ihsan Eryzal

"Dengan berkebun, kita boleh menjadi insan yang lebih bersabar, suka berkongsi dan cekal hati. Mana tidaknya, pertanian ini bukanlah sesuatu yang sentiasa cantik seperti pelangi.

"Ada kalanya pelbagai masalah seperti ribut dan hujan batu. Untuk itu, semuanya kita harus lalui kerana ia adalah liku-liku manis sebagai manusia.

"Manakan tidak, kebun bersaiz kecil pun sudah mampu memberi kita kepuasan yang tiada tandingan, " katanya yang mula berkebun di kawasan sekitar tempat tinggalnya.

Berita Harian X