Ahad, 18 Februari 2024 | 9:42am

Terjebak caj tinggi keluar wang di luar negara

Ketika berjuta-juta rakyat Malaysia merancang percutian ke luar negara untuk tahun ini, mereka harus mengambil kira satu aspek penting dalam pelancongan antarabangsa yang sering tidak disedari: kos tersembunyi pengeluaran melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

 

Bank dan rangkaian antara bank biasanya mengenakan caj untuk menggunakan ATM mereka di pelbagai destinasi.

Kajian oleh Wise baru-baru ini mendedahkan bahawa rakyat Malaysia berdepan dengan caj ATM yang terlalu tinggi apabila mengeluarkan wang di luar negara, yang berpotensi membebankan peruntukan perjalanan mereka dan menjejaskan keseluruhan pengalaman mereka.

 

Caj pengeluaran melalui ATM di luar negara

Data menunjukkan bahawa rakyat Malaysia terpaksa membayar caj pengeluaran ATM setinggi 14.8% bagi setiap urusniaga.

Argentina mengenakan caj ATM tertinggi sebanyak 14.8% bagi setiap transaksi, dan ini amat merugikan rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong ke sana.

Secara purata, negara-negara Amerika Selatan mengenakan caj antara 3% hingga 7% berdasarkan jumlah pengeluaran.

Sementara itu, destinasi popular untuk rakyat Malaysia seperti Australia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam mengenakan caj antara 1.15% hingga 2.85% bagi setiap pengeluaran.

 

Sebaliknya, rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun, Taiwan dan UK boleh menjangkakan akan dikenakan caj kurang daripada 1% apabila mereka menggunakan ATM.

 

Selain caj ATM, rakyat Malaysia di luar negara mungkin menghadapi caj tersembunyi dalam bentuk penanda kadar pertukaran yang tidak didedahkan apabila menggunakan kad kredit atau debit tradisional.

Caj tersembunyi ini sering menyebabkan ramai pelancong berbelanja lebih daripada yang mereka jangkakan.

Pengurus Negara Wise bagi Malaysia, Lim Paik Wan berkata, "Perbezaan caj ATM di luar negara menekankan kepentingan perancangan kewangan strategik untuk rakyat Malaysia.

Mengeluarkan wang di luar negara boleh menjadi mudah, tetapi perbezaan kosnya adalah amat ketara. Adalah penting bagi pelancong untuk mengetahui bila mereka akan dikenakan bayaran tersembunyi dan mempertimbangkan alternatif cekap kos semasa berada di luar negara.

Untuk terus mendapatkan maklumat, pelancong boleh merujuk kepada Wise, yang menekankan ketelusan dan penetapan harga yang adil dengan menggunakan kadar pertukaran pasaran pertengahan – yang biasanya ditunjukkan di Google – dan memperincikan semua caj bagi setiap transaksi."

 

Tip mengurangkan caj pengeluaran ATM di luar negara

 

Rakyat Malaysia amat digalakkan untuk meneroka pembayaran digital alternatif untuk mengurangkan pergantungan kepada pengeluaran ATM.

Lebih-lebih lagi, 50% daripada kaedah pembayaran di seluruh Asia Tenggara telah beralih kepada platform digital. pelancong juga boleh mempertimbangkan kaedah-kaedah berikut untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu:

● Berhati-hati dengan caj pengeluaran: Berhati-hati semasa membuat pengeluaran ATM semasa berada di luar negara.

Bergantung pada destinasi, transaksi ATM di luar negara boleh mengumpul kos yang besar, terutamanya untuk jumlah yang kerap dan kecil.

Sebagai contoh, di Argentina, pelancong yang mengeluarkan RM200 setiap hari selama seminggu akan membayar caj sebanyak RM29.60 sehari – berjumlah RM207.20 untuk semua tujuh hari tersebut.

Jika anda benar-benar perlu mengeluarkan wang, pastikan anda membandingkan setiap mesin ATM yang terletak berhampiran antara satu sama lain. Ia mungkin berbaloi untuk anda bandingkan kadar pengeluaran kerana caj adalah berbeza dari bank ke bank.

● Sentiasa membayar dalam mata wang tempatan: Pelancong yang memilih untuk membayar dalam mata wang negara mereka, seperti ringgit, apabila menggunakan kad boleh dicaj antara 0.5% hingga 2% dalam caj penukaran mata wang dinamik.

Untuk mengelakkan ini, rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara dinasihatkan agar sentiasa membayar dalam mata wang tempatan destinasi yang mereka kunjungi.

Mereka juga boleh menggunakan kad Wise, yang memudahkan perbelanjaan antarabangsa secara lancar dengan lebih 40 mata wang berbeza, dan membenarkan dua pengeluaran percuma sehingga RM1 ,000 sebulan.

● Lakukan kajian sebelum mengembara: Tentukan pilihan yang paling mesra kos. Selain daripada pengeluaran ATM, pelancong boleh menukar wang sebelum perjalanan, menggunakan kad debit atau kredit, atau menggunakan kaedah pembayaran dalam talian.

Walaupun begitu, dengan kad debit atau kredit, mereka yang berada di luar negara perlu menyemak sebarang bayaran yang mungkin dikenakan semasa berurus niaga di luar negara.

Ilmu adalah kunci kepada melindungi diri anda. Apabila berada di luar negara, pelancong perlu merancang kewangan mereka secara strategik untuk memaksimumkan keseronokan mereka sambil mengawal belanjawan mereka.

Dengan pengetahuan tentang caj ATM ini serta mempertimbangkan kaedah pembayaran alternatif untuk mengelakkan caj ini, rakyat Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pengalaman perjalanan yang lancar dan menyeronokkan.

Berita Harian X