Khamis, 8 Februari 2024 | 11:20am
Masjid Hagia Sophia masih penuh penuh dengan umat Islam beriadat dan dikunjungi pelancong asing. Foto hiasan
Masjid Hagia Sophia masih penuh penuh dengan umat Islam beriadat dan dikunjungi pelancong asing. Foto hiasan
Reka bentuk binaan masjid Hagia Sophia unik dan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh pelosok dunia. - Foto hiasan
Reka bentuk binaan masjid Hagia Sophia unik dan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh pelosok dunia. - Foto hiasan
Ketika berkelah MASAT dengan kerjasama Malaysian Diapora Istanbul (MDI) dan sempena musim bunga di Taman Yildiz, Turki. Foto/Ihsan Nur Fathina
Ketika berkelah MASAT dengan kerjasama Malaysian Diapora Istanbul (MDI) dan sempena musim bunga di Taman Yildiz, Turki. Foto/Ihsan Nur Fathina

Kembara ke Turki beri 1,001 ibrah

  

SERING kali kita mendengar Turki sebagai sebuah negara Islam yang gah di mata dunia dari segi keindahan, sejarah hingga tarikan pelancongan yang tiada tandingannya.

Keindahan khazanah Islam yang terdapat di negara Uthmaniyyah dengan kota Istanbul juga menjadi saksi pembukaan kota Islam oleh Sultan Muhammad Al-Fateh pada satu ketika dahulu.

Kekaguman terhadap sejarah negara itu, membuatkan saya begitu teruja dan bertuah apabila terpilih untuk mengikuti program pertukaran pelajar dari Universiti Malaya untuk satu semester di sana.

Sebagai pelajar jurusan agama dalam bidang dakwah, sudah pasti ingin melihat sejauh mana Islam masih tersebar di bumi Uthmaniyyah.

Hari pertama saya menjejakkan kaki di situ sudah membuatkan hati 'berbunga-bunga'.

Bermula dengan pertemuan saya dengan pelajar Malaysia di sana yang dilayani dengan sangat baik, juga banyak urusan pembelajaran berjalan lancar hingga hari terakhir berada di sana.

Teringat ketika di dalam kelas, hanya ada saya dan seorang lagi pelajar Malaysia mengikuti pengajian al-Quran. Seorang pensyarah, iaitu Hoca Yasmin mengajar kami cara bacaan surah Al-Mulk yang betul.

Hoca adalah panggilan hormat bagi seorang guru atau pensyarah dalam bahasa Turki. Beliau menyuruh setiap pelajar membaca di hadapan pelajar lain.

Hoca Yasmin memiliki bacaan bersanad dan tidak hairan cara beliau melafazkan setiap huruf hijaiyah itu sangat bertepatan dengan makhraj.

Sehinggalah tiba giliran kami pelajar untuk membaca al-Quran dan menariknya, Hoca memberi komen positif dan memuji bacaan kami.

Hoca kagum kerana walaupun bukan dari negara Arab, kami mampu membaca dengan baik seperti orang Arab.

Masjid sentiasa pada dengan jemaah

Kenangan paling indah, ketika Ramadan, semua masjid di Istanbul sangat penuh dengan jemaah.

Apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, semua masjid terutama masjid Hagia Sophia masih penuh sama seperti hari pertama Ramadan kerana mereka mengejar malam Lailatul Qadr.

Itulah satu daripada pelbagai keistimewaan amalan mereka yang saya kagumi.

Setiap kali ada berita kematian, mereka pasti berebut-rebut untuk menunaikan solat jenazah di masjid. Solat fardu secara berjemaah di masjid juga tidak kurang ramainya.

Suka bersedekah, beri wang kepada pelajar

Rakyat Turki sangat mengagumi orang asing yang datang untuk menuntut ilmu. Apatah lagi aliran agama.

Pernah suatu hari, di Masjid Fatih saya ditegur oleh seorang kakak. Apabila saya memberitahunya saya belajar dalam bidang Pengajian Islam dia sangat teruja dan tersenyum lebar.

Belum cerita lagi adat mereka yang suka memberi duit dan berhati mulia apabila tahu kita pelajar. Bagi mereka pelajar perlu diraikan dan duit itu sebagai tanda penghargaan daripada mereka.

Rakyat Turki juga sangat menghormati orang yang menuntut ilmu. Boleh saya katakan setiap kali saya ke mana-mana saja pasti mereka akan bertanya dari negara mana dan buat apa di Turki, selain memberi diskaun jika membeli buku atau barangan lain.

Memuliakan tetamu

Pada sambutan Aidilfitri, seusai solat hari raya mereka akan memberikan pelbagai manisan dan biskut kepada tetamu yang bertandang ke rumah mereka.

Selain itu, pernah saya masuk ke sebuah kedai, hanya mahu membeli kredit telefon bimbit, mereka menjamu saya dengan secawan teh sementara menunggu.

Mereka juga sangat menghormati dan prihatin terhadap wanita. Sudah banyak kali saya ditawarkan tempat duduk ketika di dalam bas yang penuh. Jadi, negara itu antara destinasi selamat untuk wanita yang ingin mengembara solo.

Saya juga sempat menziarahi pusara pelajar Malaysia, Ahmad Ammar Ahmad Azam yang pernah menjadi fenomena di Malaysia dan Turki. Allahyarham maut akibat kemalangan jalan raya di negara itu, pada 2013.

Pusara anak muda itu yang menjadi aktivis Islam di Malaysia dan Turki itu ditempatkan dalam kalangan wali Allah dan berdekatan dengan makam sahabat nabi, iaitu Abu Ayyub Al-Ansari.

Justeru, semua kenangan dan pengalaman sepanjang berada di bumi Uthmaniyyah ini memberikan 1,001 ibrah dalam hidup saya. Bagi saya, ia satu pengalaman yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit.

Berita Harian X