Selasa, 23 Januari 2024 | 8:01am
Jemaah umrah bergambar di luar Masjid Abdullah bin Abbas di Taif.
Jemaah umrah bergambar di luar Masjid Abdullah bin Abbas di Taif.
Jemaah umrah mengunjungi Taif sebelum berlepas pulang ke Malaysia - Foto NSTP/Nazura Ngah
Jemaah umrah mengunjungi Taif sebelum berlepas pulang ke Malaysia - Foto NSTP/Nazura Ngah
 Pemandangan Taif diambil dari dalam kereta kabel Telefric Al Hada. - Foto NSTP/Nazura Ngah
Pemandangan Taif diambil dari dalam kereta kabel Telefric Al Hada. - Foto NSTP/Nazura Ngah

Taif antara sirah dan pelancongan

"Musim sejuk di Makkah adalah nikmat, manakala tempat musim panas adalah di Taif." - Demikian kata-kata seorang penyair menggambarkan Taif sentiasa menjadi tumpuan ketika suhu membahang mula dirasai di bumi Al-Haramain.

Taif yang suatu ketika terkenal dengan gelaran 'Kebun Kota Makkah' kerana menjadi satu-satunya sumber pertanian bagi Makkah ketika itu, terus menjadi sebuah daerah terpenting untuk sektor pertanian Arab Saudi.

Bandar terletak di dataran timur pergunungan Sarwat pada ketinggian 1,700 hingga 2,500 meter dari aras laut, di barat Arab Saudi dan menjadi bandar terhampir dengan kota suci Makkah, dihubungkan dengan dua jalan utama, Jalan Al Hada sepanjang 68 kilometer (km) dan Jalan Al Sail Al Kabir 90km.

Dengan kedudukan strategik menghubungkan jalan-jalan utama dari utara, selatan, timur dan barat Arab Saudi, Taif juga dikenali dengan gelaran Qaryatul Muluk yang bererti desa raja. Banyak istana singgah bagi raja dan orang terkemuka Arab Saudi khususnya pada musim panas.

Pemandangan Jalan Al Hada di Taif menuju ke Makkah diambil dari dalam kereta kabel.
Pemandangan Jalan Al Hada di Taif menuju ke Makkah diambil dari dalam kereta kabel.

 Jemaah menunggu giliran menaiki kereta kabel Telefric Al Hada di Taif.
Jemaah menunggu giliran menaiki kereta kabel Telefric Al Hada di Taif.

Ustaz Muhammad Naufal Ahmad Khusairi (kanan) memberi penerangan kepada jemaah mengenai sejarah Masjid Abdullah bin Abbas di Taif. - Foto NSTP/Nazura Ngah
Ustaz Muhammad Naufal Ahmad Khusairi (kanan) memberi penerangan kepada jemaah mengenai sejarah Masjid Abdullah bin Abbas di Taif. - Foto NSTP/Nazura Ngah

Menurut mutawif atau pembimbing jemaah In Saff Travel & Tours Sdn Bhd di Taif, Muhammad Naufal Ahmad Khusairi, kebanyakan buku sejarah dunia Arab pasti akan menulis mengenai Taif, sebuah bandar kedua tertua selepas Makkah.

Menyingkap sejarah Taif, Nabi Ibrahim AS berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan Makkah dengan sumber rezeki yakni buah-buahan.

Lantaran doa Baginda, Taif memperoleh keberkatan tanah yang subur dengan buahan-buahan sehingga digelar Kebun Kota Makkah suatu ketika dahulu.

Meskipun sebahagian besar Taif diliputi kawasan berbatuan, tanahnya tetap subur dan terkenal dengan produk pertanian termasuk kurma, delima, anggur, buah zaitun dan buah tin.

Kebanyakan syarikat pengendali umrah menawarkan Taif sebagai destinasi kunjungan, sama ada jemaah dibawa menginap satu malam atau sekadar kunjungan harian. Tidak lengkap rasanya jika tidak merasai suhu di bumi Taif, ala-ala Cameron Highlands di tanah air.

Taif dikatakan menjadi destinasi pilihan jemaah sejak 2010 atau mungkin lebih awal lagi dan selepas itu, ia seolah-olah menjadi destinasi 'wajib' ditawarkan dalam pakej umrah.

Kebanyakan syarikat pengendali umrah menawarkan kunjungan ke Taif selepas jemaah selesai menunaikan umrah dan menziarahi kota suci Madinah, namun ada juga yang menawarkan Taif sebagai destinasi pertama sebaik menjejakkan kaki di Jeddah.

Ini bagi mengelakkan jemaah memakai pakaian ihram dari Malaysia jika memasuki Makkah terlebih dahulu. Sebelum memasuki kota suci untuk menunaikan umrah, jemaah dibawa ke Masjid Qarnul Manazil yang menjadi tempat miqat.

Muhammad Naufal yang juga pelajar Ijazah Ulum Al-Quran Universiti Taif, berkata jemaah akan dibawa melawat Masjid Abdullah bin Abbas, kebun Addas, Masjid Kuk atau dikenali sebagai masjid siku, kilang minyak wangi dan menaiki kereta kabel (Telefric Al Hada)

Jemaah juga berpeluang melihat Al-Qantarah dan Al-Madhun iaitu titik air yang dibina pada zaman pemerintahan Uthmaniah.

Sebagaimana suburnya tanah, Taif dikenali sebagai "Bandar Mawar" tempat syurganya keindahan dan keharuman bunga spesies itu. Terdapat puluhan kilang yang antara menghasilkan produk minyak wangi berkualiti tinggi, air bunga mawar dan sabun.

Lebih menarik pengunjung berpeluang melihat proses penghasilan minyak wangi secara tradisional serta moden.

Taif juga terkenal dengan produk madu, khususnya madu bunga selain madu yang diimport daripada pelbagai negara antaranya Yaman yang sering menjadi tumpuan jemaah.

 Jemaah umrah bergambar di kilang yang juga kebun bunga mawar di Taif.
Jemaah umrah bergambar di kilang yang juga kebun bunga mawar di Taif.

Tiga pembimbing jemaah umrah (duduk dari kiri, Ustaz Sufian, Ustaz Hafiz dan Ustaz Zulkiflee) di kilang bunga mawar di Taif.
Tiga pembimbing jemaah umrah (duduk dari kiri, Ustaz Sufian, Ustaz Hafiz dan Ustaz Zulkiflee) di kilang bunga mawar di Taif.

Pun begitu Taif bukan sekadar terkenal sebagai destinasi pelancongan, bahkan ia juga menyimpan episod duka Rasulullah SAW dalam perjalanan dakwah Baginda. Bagi melengkapi perjalanan ibadah di Tanah Suci, Taif adalah lokasi tepat untuk jemaah menelusuri sirah Badinda.

Peristiwa ini berlaku ketika Baginda kehilangan dua pelindung iaitu isteri tercinta, Saidatina Siti Khadijah RA yang digelar sebagai Ummul Mukminin dan bapa saudara, Abu Talib.

Wafatnya kedua-dua individu disegani itu membuatkan kaum Quraisy semakin berani menentang dan mengganggu Rasulullah SAW sehingga Baginda membuat keputusan untuk berdakwah ke Taif.

Namun penduduk Taif bukan sahaja melakukan penolakan kepada dakwah Rasulullah SAW, bahkan mereka memperlakukan Baginda dengan kasar.

"Mereka mengumpul kanak-kanak dan mengarahkan mereka melontarkan batu-batu kepada Baginda sehingga berlumuran darah dari hujung kepala hingga ke kaki.

"Dalam keadaan seperti itulah Rasulullah SAW kembali dari bandar Taif. Dalam perjalanan pulang, Baginda menjumpai suatu tempat yang dirasa aman dari kejahatan orang-orang Taif, maka Rasulullah SAW berdoa kepada Allah SWT.

"Rasulullah SAW memanjatkan doa sehingga Jibril AS datang bersama malaikat penjaga gunung dan menawarkan untuk menghempap penduduk Makkah. Akan tetapi, mulianya hati Rasulullah SAW, Baginda tetap berdoa untuk kebaikan supaya memunculkan dari kalangan mereka sendiri keturunan yang akan menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun," kata Muhammad Naufal.

Jemaah menikmati keindahan Taif ketika menaiki kereta kabel, Telefric Al Hada. - Foto NSTP/Nazura Ngah
Jemaah menikmati keindahan Taif ketika menaiki kereta kabel, Telefric Al Hada. - Foto NSTP/Nazura Ngah

Berita Harian X