Jumaat, 19 Januari 2024 | 11:52am
Pencipta kandungan dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Lilith. - Foto FB Lilith
Pencipta kandungan dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Lilith. - Foto FB Lilith

'Saya suka pencakar langit di Kuala Lumpur, berbeza, unik dari negara lain' - Pencipta kandungan Amerika Syarikat

"KURANG membangun, ketinggalan dan dianggap sebagai negara dunia ketiga", kata-kata itu persepsi awal yang mungkin berlegar dalam minda pelancong terutama dari benua berlainan yang belum pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

Namun, persepsi mengenai pembangunan Malaysia itu ternyata kurang tepat apabila pencipta kandungan dari Amerika Syarikat yang hanya mahu dikenali sebagai Lilith, berkunjung ke ibu negara ini mengakui terkejut melihat banyak bangunan pencakar langit berdiri megah di ibu kota ini.

@lilithinkl I have lived in Malaysia for five years and here are my awards! #m#malaysiak#kualalumpurm#melakal#langkawi ♬ original sound - Lilith

@lilithinkl Just some American things in Asia #malaysia #pavilion This is heaven - Nightshade

"Apabila saya melihat Menara Berkembar Petronas buat kali pertama, ia sangat besar, saya tidak pasti sama ada saya pernah melihat sesuatu yang begitu tinggi sebelum ini.

"Saya juga sukakan pencakar langit di Kuala Lumpur, ia amat berbeza, unik daripada negara lain," kongsi gadis 26 tahun yang berasal dari Arizona itu.

Lilith kongsi banyak tarikan Kuala Lumpur di TiktTok

Lilith menerusi akaun TikTok dan Instagram @Lilithinkl, gemar berkongsi mengenai tarikan di Kuala Lumpur termasuk keunikan menara pencakar langit yang kini, tiga antaranya iaitu Merdeka 118, The Exchange 106 dan Menara Berkembar Petronas termasuk dalam senarai 100 pencakar langit tertinggi di dunia.

Video rakamannya menunjukkan suasana di sekitar Bukit Bintang juga mendapat perhatian warga siber dengan jumlah hampir 150,000 tanda suka, rata-rata komen menyokong pendapatnya bangunan di Malaysia tidak kalah berbanding negara maju.

Dianggarkan terdapat 279 bangunan pencakar langit di Malaysia, dengan 210 daripadanya berketinggian lebih 150 meter (m), 63 melebihi 200 m dan enam bangunan melebihi 300 m.

Sejumlah 241 bangunan itu terletak di Kuala Lumpur, manakala yang lain di Selangor dan Putrajaya.

@lilithinkl When you move to Malaysia there's no going back #malaysia #malaysianfoodie #malaysianfood ♬ original sound - Lilith

Data ini didedahkan aktivis Perancangan Bandar, Mohamad Afiq Daniel melalui akaun media sosial X @slainthayer awal bulan ini, yang turut berkongsi angka itu melebihi jumlah bangunan pencakar langit yang terdapat di seluruh benua Eropah dan Russia.

Ketika dihubungi Bernama, Mohamad Afiq berkata, informasi itu diperoleh daripada laman web rasmi organisasi bukan keuntungan antarabangsa Council on Tall Buildings and Urban Habitat yang menyenaraikan maklumat tentang bangunan pencakar langit di seluruh dunia.

Daripada maklumat itu, beliau kemudiannya menganalisis mengikut bandar dan negara serta membuat perbandingan.

Pembangunan tertumpu di Kuala Lumpur mengakibatkan kesesakan. - Foto BH
Pembangunan tertumpu di Kuala Lumpur mengakibatkan kesesakan. - Foto BH

"Saya kagum kerana tidak menyangka Kuala Lumpur ada begitu banyak pencakar langit, ia menunjukkan kekuatan ekonomi di ibu negara. Ia juga menunjukkan betapa majunya Kuala Lumpur dan menjadi antara bukti pembangunan negara.

"Pencakar langit ada kelebihan dari segi ruang serta menyumbang kepada ekonomi dan pendapatan negara iaitu cukai hartanah diperoleh juga lebih tinggi, apabila Kuala Lumpur ada banyak pencakar langit ia boleh menyumbang kepada bajet pembangunan yang lebih besar," katanya yang juga penganalisis hartanah.

Pencakar langit mampu tarik pelancong

Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr S Gobi Krishna, berkata bangunan pencakar langit adalah identiti yang menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara dengan keunikan seni binanya, sekali gus menyumbang kepada sektor ekonomi.

"Dalam konteks perancangan bandar, bangunan pencakar langit akan mewujudkan suatu skyline atau pemandangan bangunan yang menarik dari segi ketinggian dan reka bentuk bangunan.

"Sekiranya dilihat dari segi pembangunan di negara Barat, kebanyakan bangunan pencakar langit ini berkembang pesat di benua Asia kerana kekangan ruang pembangunan di kawasan bandar itu dan juga pemeliharaan bangunan sejarah yang bernilai tinggi," katanya.

Bangunan pencakar langit menurut beliau juga, menunjukkan kekuatan infrastruktur di dalam negara dari aspek teknologi dan kejuruteraan, sekali gus mampu menjadi daya penarik kepada pelabur untuk melabur di negara ini.

Gobi Krishna bagaimanapun berkata, terdapat juga potensi berlakunya 'overhang' ruang bangunan pencakar langit sekiranya ia tidak digunakan secara optimum, sekali gus mengakibatkan kerugian. - BERNAMA

Berita Harian X