Ahad, 14 Januari 2024 | 9:08am
Foto hiasan
Foto hiasan

Perancangan melancong pada musim hujan

HUJAN sering kali dijadikan penghalang kepada pelbagai aktiviti termasuklah melancong. Namun dengan persiapan lengkap menghadapi cuaca yang berubah-ubah, segala-galanya menjadi mudah.

Berikut beberapa langkah yang dapat membantu anda melakukan perancangan atau berseronok ketika bercuti.

Masa musim hujan

Musim hujan di Malaysia dan juga negara lain di kawasan Asia Tenggara biasanya pada hujung tahun. Ketika musim hujan, keadaan akan menjadi lembap. Hal ini membuatkan perjalanan menjadi nyaman. Namun, harus dititikberatkan juga purata hujan yang turun kerana kemungkinan sesuatu tempat banjir dan ia pasti memberi masalah kepada anda saat bercuti.

Pelan kecemasan

Biasanya hujan tidak turun seharian. Kadangkala pada pagi, petang atau malam. Oleh itu, bersiap sedia dengan kebarangkalian yang berlaku. Buat pelan kecemasan saat anda merancang untuk melakukan sesuatu tetapi tiba-tiba hujan. Dengan itu, masa anda tidak terbuang begitu saja tanpa aktiviti yang menyeronokkan.

Destinasi percutian

Walaupun musim hujan, namun tidak bermakna anda perlu mengehadkan aktiviti sepanjang bercuti. Melancong di pulau sudah pasti tidak boleh dan di tanah tinggi pula adalah tidak digalakkan. Justeru, melawat tinggalan sejarah di muzium di destinasi percutian anda atau tempat pertunjukan seni seperti pementasan dan tarian salah satu aktiviti yang menarik. Selain itu, anda juga boleh memilih untuk melakukan kelas memasak, yoga atau bersantai dengan urutan yang menyegarkan di spa. Membeli-belah juga antara aktiviti yang harus dijadikan sebagai salah satu aktiviti sepanjang bercuti ketika musim hujan.

Musim hujan dingin

Musim hujan bukan penghalang untuk pergi bercuti di destinasi idaman. Untungnya bercuti ketika musim hujan adalah tempat tarikan pelancongan lengang. Restoran terkenal yang biasanya ramai pula lengang walaupun ketika waktu puncak. Justeru, anda boleh bercuti dengan tenang. Selain itu, ketika musim hujan juga, segala-galanya menjadi murah terutama tempat penginapan. Oleh itu, anda mungkin boleh menginap di bilik yang mewah dengan harga yang sangat berpatutan. Hujan juga tidak terus menerus. Justeru, ketika hujan reda, anda akan dapat merasai udara lebih segar dan pokok nampak berkilau menyegarkan serta lampu jalan terasa lebih terang kerana bersih daripada debu. Lebih menguntungkan bercuti pada musim hujan kerana cuacanya sejuk. Berjalanlah sejauh mana pun, anda tidak mudah terasa letih dan kepanasan walaupun berpeluh.

Bawa pakaian sesuai

Ketika mengemas untuk pergi bercuti, banyak perkara yang perlu dititikberatkan bagi kemudahan sepanjang bercuti. Sebaiknya anda membawa payung kecil dan baju hujan yang ringan. Selain itu, bawa juga kasut atau sandal yang sesuai digunakan ketika hujan. Dari segi pakaian pula, bawalah seluar pendek berbanding seluar panjang bagi lelaki. Topi atau jaket juga boleh dibawa bersama. Jaket tebal boleh menahan diri daripada berasa sejuk kerana cuaca sejuk. Jangan lupa bawa plastik untuk memisahkan baju yang basah dengan kering. Ia sangat berguna ketika anda mengemas untuk pulang ke rumah dengan mengasingkan baju yang basah dan kotor dengan yang bersih.

Ambil Vitamin

Ketika musim hujan, selesema, batuk dan demam sangat senang menyerang. Oleh itu, mengambil vitamin sebelum dan ketika bercuti adalah langkah terbaik untuk menjaga stamina dan kesihatan panjang percutian. Apabila terkena hujan ketika bersiar-siar, pastikan mandi dengan air panas apabila tiba di bilik penginapan kerana ia mencegah selesema atau demam selain mengembalikan suhu badan anda.

Berita Harian X