Khamis, 4 Januari 2024 | 11:17am
Kapal persiaran baharu mampu memuatkan 3,751 penumpang dilancarkan pada 2025, dilengkapi roller coaster hibrid terbesar dunia.
Kapal persiaran baharu mampu memuatkan 3,751 penumpang dilancarkan pada 2025, dilengkapi roller coaster hibrid terbesar dunia.

Permainan gelongsor 10 tingkat tarikan kapal persiaran mewah Norwegian Aqua

MELANCONG menggunakan pengangkutan laut terbesar seperti kapal cruise pasti mengujakan, apatah jika anda dibawa belayar dengan penuh kemewahan seperti dalam kediaman sebuah banglo dan dilengkapi taman permainan gelonsor 10 tingkat dan banyak lagi.

Lebih menarik, percutian mewah disediakan pelbagai aktiviti, dihidangkan dengan sajian lazat, sambil menikmati pemandangan lautan luas terbentang pasti menjadi idaman semua.

Impian anda dapat direalisasikan apabila sebuah syarikat dari Eropah akan melancarkan kapal persiaran serba baharu, pada 2025 dengan keunikan tersendiri yang dilengkapi roller- coaster dan gelongsor air hibrid di laut yang pertama di dunia.

Dikenali sebagai Norwegian Aqua ia adalah kapal persiaran terbaharu dari Norwegian Cruise Line (NCL) yang akan membentuk sebahagian daripada kelas prima mereka.

Presiden Norwegian Cruise Line, David J Herrera, berkata Norwegian Aqua adalah bukti sebenar gabungan perkara yang mewakili masa depan jenama itu sebagai kapal pertama dalam Kelas Prima Plus dan komitmen untuk memberikan pengalaman pertama gelombang lautan kepada penumpang.

"Dinamakan Norwegian Aqua sempena warna biru yang indah dari lautan dan hubungan kami dengan laut, ia akan menampilkan sesuatu yang baharu, tinggi dan mengujakan sekali gus mempamerkan NCL sebagai sebagai penyumbang utama kepada era baharu pelayaran.

Penumpang boleh menempah pelayaran pertama kapal mulai hari ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Boleh memuatkan 3,751 penumpang

Dijangka mula melakukan pelayaran dari Florida pada April 2025, Norwegian Aqua boleh memuatkan kira-kira 3,751 penumpang untuk pelayaran selama tujuh hari melalui Caribbean ke pelbagai destinasi eksotik.

Ini termasuklah Puerto Plata di Republik Dominican, Tortola di Kepulauan Virgin British, St Thomas di Kepulauan Virgin Amerika Syarikat serta pulau persendirian syarikat pelayaran itu sendiri di Bahamas.

Di dalam kapal cruise ini, terdapat pelbagai pilihan penginapan disediakan termasuk Duplex Haven Suites dengan tiga bilik tidur.

Bilik suite mewah ini akan merentangi dua tingkat yang di dalamnya turut dilengkapi ciri-ciri seperti ruang tamu, ruang makan, tiga bilik mandi, balkoni dan tingkap dari lantai ke siling.

Terdapat juga satu siri Studio Stateroom yang direka untuk pengembara solo.

Ada gelonsor air hibrid pertama di dunia

Menyentuh mengenai roller- coaster dan gelongsor air hibrid di laut yang pertama di dunia, kapal itu akan dilengkapi dengan Aqua Slidecoaster yang mempunyai dwi gelongsor dan ia akan merentangi tiga tingkat kapal dengan beberapa lorong berliku-liku.

Bukan setakat itu saja, terdapat juga kompleks sukan digital baharu di atas kapal di mana ia dikenali sebagai Glow Court yang mempunyai lantai lampu diod pemancar cahaya (LED) interaktif di mana penumpang akan dapat bermain pelbagai aktiviti pada siang hari, sebelum bertukar menjadi ruang kelab malam ketika menjelang petang.

Ada gelonsor bebas 10 tingkat

Ciri-ciri lain di kapal itu termasuklah The Drop - gelongsor bebas 10 tingkat dan ruang permainan yang dipanggil stadium di mana aktiviti percuma akan ditawarkan.

Terdapat juga aktiviti mesra keluarga di atas kapal seperti Akademi Splash untuk penumpang berusia antara tiga hingga 12 tahun, manakala Entourage akan menjadi ruang khusus kapal untuk remaja.

Ciri-ciri lain termasuk kolam infiniti tepi, dek kolam utama dengan kerusi berjemur dan kelab pantai untuk orang dewasa sahaja.

Ruang pejalan kaki dan jambatan kaca

Sementara itu, ruang luar dilengkapi laluan pejalan kaki bagi memudahkan anda mengelilingi seluruh kapal serta jambatan kaca yang dipanggil Oceanwalk.

Di ruang Pantai Infinity, penumpang akan menemui beberapa kolam yang menghadap setiap sisi kapal dan terdapat juga ruang istirahat terbuka yang dipanggil La Terrazza di mana penumpang akan dapat menikmati lebih banyak pemandangan.

Bukan setakat itu saja, Explora I akan menjadi kapal persiaran mewah pertama dari Explora Journeys di mana ia boleh memuatkan 922 penumpang di dalam 461 suite, dan ia juga akan menjadi lokasi kepada jenama Rolex serta Cartier di laut yang pertama di dunia.

Dilengkapi hospital 24 jam dan salun

Sementara itu, bagi penumpang kapal MV Gemini pula, mereka boleh menerokai 135 negara dengan harga yang lebih murah daripada kos untuk menyewa flet di London.

Kapal Life At Sea Cruises juga menjanjikan pengalaman yang tiada bandingannya dengan pusat kecergasan, hospital 24 jam yang boleh dihubungi, salun, dek matahari dan kolam renang serta beberapa pilihan tempat makan untuk memuaskan hati penggemar makanan.

Bayaran bermula daripada AS$2,499 (RM 11,586) sebulan. - AGENSI

Berita Harian X