Rabu, 3 Januari 2024 | 9:31am
Bandaraya Osaka yang terletak di wilayah Kansai, dengan sejarah lebih 1,500 tahun sebagai bandar komersial Jepun beraspirasi untuk menjadi bandar pelancongan antarabangsa dan kebudayaan nombor satu Asia. - Foto Reuters
Bandaraya Osaka yang terletak di wilayah Kansai, dengan sejarah lebih 1,500 tahun sebagai bandar komersial Jepun beraspirasi untuk menjadi bandar pelancongan antarabangsa dan kebudayaan nombor satu Asia. - Foto Reuters

'Makan hingga pengsan' di Dotonbori, Osaka

OSAKA: Bandaraya Osaka yang terletak di wilayah Kansai, dengan sejarah lebih 1,500 tahun sebagai bandar komersial Jepun beraspirasi untuk menjadi bandar pelancongan antarabangsa dan kebudayaan nombor satu Asia.

Salah satu acara utama yang dilihat dapat merealisasikan impian ini adalah Ekspo Dunia 2025 yang dijadualkan berlangsung di Osaka (Ekspo 2025 Osaka, Kansai), dari 13 April hingga 13 Oktober 2025.

Menurut Presiden Biro Pelancongan dan Konvensyen Osaka Hiroshi Mizohata, Osaka yang juga bandar terbesar di barat Jepun, dengan kepelbagaian kebudayaan mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia.

"Osaka adalah bandar dilimpahi kemakmuran yang menerima pelbagai pandangan dunia yang berbeza juga nilai, menarik ramai orang yang mempunyai semangat cekal untuk diuji, " katanya kepada Bernama ketika lawatan ke pejabat Biro Pelancongan & Konvensyen Osaka di sini, baru-baru ini.

Lawatan sempena program promosi Osaka anjuran Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) bagi memperkenalkan Ekspo 2025 Osaka, Kansai di samping mempromosi pelbagai tarikan Jepun.

Berdasarkan perangkaan daripada Biro Pelancongan dan Konvensyen Osaka, lebih ramai rakyat Malaysia melancong ke Osaka sekarang.

Antara Julai hingga September lalu, angka berkenaan meningkat 120 peratus kepada 34,000 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

Bandar pelabuhan berkembang pesat

Menurut Mizohata, Osaka diharap akan terus berkembang pesat sebagai bandar bertaraf dunia bukan sahaja untuk didiami bahkan untuk menjadi pilihan tempat mencari rezeki, belajar dan juga tarikan pelancong, menjelang tahun 2030.

"Tiga tonggak strategi pelancongan Osaka adalah 'bila-bila masa, di mana juga dan sesiapa pun' yang menawarkan kepelbagaian untuk dilihat dalam tempoh 24 jam sehari.

Bandar ini adalah hab untuk pelancongan bagi semua wilayah di Jepun dan ia juga destinasi yang pasti memukau pelancong, " katanya.

Sebagai bandar kebudayaan dan pelancongan antarabangsa, pihaknya juga peka dengan kepentingan alam sekitar dan turut mempromosikan inisiatif sifar karbon.

Daripada sudut sejarah, Osaka antara ibu negara Jepun sewaktu abad ketujuh sebelum berkembang pesat sebagai bandar pelabuhan dan Dojima Rice Exchange, yang dianggap sebagai bursa hadapan komoditi pertama dunia, ditubuhkan pada abad ke-17.

Untuk tarikan pelancong, kawasan Dotonbori adalah antara destinasi paling terkemuka dan ia juga dikenali sebagai "Venice di wilayah Kansai Jepun," katanya.

Tarikan pelancong

Untuk menikmati keindahan kawasan sekitar Dotonbori, pelancong boleh menaiki bot yang menelusuri terusan Dotonbori dan di sepanjang pelayaran dapat melihat suasana pemandangan penuh warna-warni dengan kedai dan papan iklan diterangi lampu yang terang-benderang.

Antara tarikan tersohor di sini adalah papan tanda raksasa menggambarkan seorang lelaki, setinggi 20 meter dikenali sebagai ' the Glico man' dalam keadaan berlari dengan kedua tangan diangkat, sebagai isyarat kemenangan.

Ia terletak berhampiran kawasan membeli-belah Shinsaibashi di atas jambatan Ebisu.

Papan tanda yang diterangi lampu LED, didirikan oleh Glico, syarikat pengeluar manisan Jepun pada 1935, popular dengan pelancong dalam dan luar negara yang tidak melepaskan peluang mencari tempat yang terbaik untuk bergambar di bawah papan tanda berkenaan.

Tarikan lain di Dotonbori adalah figura animatronik yang berwarna-warni termasuk badut yang bermain dram mekanikal dikenali sebagai Kuidaore Taro di samping sotong kereta dan watak kartun lain yang dipamirkan di hadapan restoran.

Restoran ikonik Kani Doraku dengan animatronik ketam gergasi di pintu masuknya menawarkan pelbagai hidangan ketam, sememangnya dapat memenuhi selera pelancong.

Osaka adalah pusat popular makanan tetapi Dotonbori, yang juga terkenal dengan budaya kuidaore yang bermaksud "makan sehingga pengsan".

Bagaimanapun, ia juga boleh diertikan sebagai "berbelanja untuk makanan sehingga anda muflis"!

Antara hidangan istimewa adalah takoyaki atau bebola sotong kereta yang disalut adunan tepung; okonomiyaki, yang juga makanan utama Osaka dan kushi-katsu, iaitu daging dan sayur yang digoreng.

Chibo, sebuah restoran terkemuka di Dotonbori, terkenal dengan juadah okonomiyaki, lempeng berperisa diperbuat daripada tepung, sayur, makanan laut dan daging.

Menurut Yoshiaki Koyama, cef di Chibo, rasa okonomiyaki tidak banyak berubah sejak restoran itu diasaskan pada 1973.

"Mayonnaise dan sos yang digunakan untuk membuat okonomiyaki semuanya dibuat oleh Chibo, yang unik dan meskipun proses untuk membuat okonomiyaki telah berubah, rasanya tidak banyak berubah," katanya.

Di tempat lain di Osaka, Istana Osaka adalah satu lagi mercu tanda yang indah dan tarikan utama pelancong yang menggambarkan kekayaan sejarah Osaka berusia 450 tahun.

Istana berkenaan, dengan atap menara utamanya disalut emas, dibina pada tahun 1583 oleh Toyotomi Hideyoshi, seorang samurai (pahlawan) dan daimyo (tuan feudal), sewaktu tempoh perang yang genting dan ia memainkan peranan penting dalam kehidupan Hideyoshi dari segi kuasa dan cita-citanya untuk menyatukan Jepun.

Daerah dunia baharu

Satu lagi mercu tanda yang menarik adalah Menara Tsutenkaku, yang seakan Menara Eiffel di Paris, di Shinsekai atau daerah Dunia Baharu di kawasan Minami bandar Osaka, yang dipenuhi restoran dan kedai.

Pembangunan Shinsekai dilakukan pada 1912 berikutan kejayaan acara antarabangsa Osaka yang pertama iaitu Pameran Perindustrian Kebangsaan kelima Osaka pada tahun 1903.

Osaka kini sedang giat mempersiapkan segala yang perlu untuk penganjuran Ekspo 2025 Osaka, Kansai dan berharap dapat menarik penyertaan lebih 150 buah negara dan 25 pertubuhan.

Dengan tema "Merancang Masa Depan Masyarakat Untuk Kehidupan Kita " (Designing Future Society For Our Lives), ekspo berkenaan akan mempamerkan lapan projek lapangan yang rata-ratanya bertemakan kehidupan.

Osaka, tempat kelahiran banyak penemuan yang banyak memberi impak kepada manusia termasuk mi segera dunia yang pertama juga sel tunjang Induced Pluripotent yang melakar kejayaan dalam dunia penjanaan semula perubatan, kini siap sedia untuk memperkenalkan kereta terbang di ekspo 2025.

Setiausaha Agung Persatuan Jepun untuk Ekspo Dunia 2025, Hiroyuki Ishige berkata, pelbagai teknologi masa depan lazimnya akan diperkenalkan di ekspo berkenaan, sebagai contoh, telefon mudah alih pertama dunia diperkenalkan di Ekspo 1970 Osaka iaitu ekspo antarabangsa pertama Asia.

"Lebih 50 tahun lalu, Ekspo 1970 Osaka memberi peluang keemasan untuk rakyat Jepun berhubung dengan bahagian lain dunia … untuk melihat, belajar dan mengkaji dunia, " tambahnya.

Ekspo 2025 Osaka, Kansai adalah sebahagian daripada Ekspo Dunia yang diselia oleh organisasi antara kerajaan iaitu Bureau International des Expositions.

Ekspo Dunia terakhir berlangsung di Dubai dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.

Sementara itu, Malaysia telah mengesahkan penyertaannya untuk Ekspo 2025 Osaka, Kansai. - Bernama

Berita Harian X