Isnin, 11 Disember 2023 | 10:21am
Mohd Salleh (dua dari kiri) menyantuni peniaga selepas merasmikan Uptown@Adya di Pantai Chenang, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman
Mohd Salleh (dua dari kiri) menyantuni peniaga selepas merasmikan Uptown@Adya di Pantai Chenang, Langkawi. - NSTP/Hamzah Osman

Lorong sempit tarikan baharu di Langkawi

LORONG sempit sepanjang kira-kira 150 meter yang dijenamakan sebagai Uptown@Adya, di Langkawi, kini menjadi tumpuan kepada pengunjung yang mahukan suasana berbeza.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin, berkata tarikan itu mampu menjadi produk baharu yang mampu menarik pelancong terutama generasi muda.

"Ruang niaga yang diberi nafas baharu itu mampu memberi anjakan paradigma untuk menonjolkan imej baharu peniaga kecil di kawasan itu, pada masa dapat merancakkan industri pelancongan tempatan.

"Kehadiran ramai pengunjung turut menepis tohmahan pihak tertentu mengatakan pulau ini berpotensi jadi 'Pekan Hantu' sedangkan suasana semasa berbeza sama sekali," katanya pada sidang media selepas merasmikan Uptown@Adya di Pantai Chenang di sini, malam tadi.

Mohd Salleh berkata, projek Uptown@Adya yang berkonsepkan ceria dan bersih adalah program perintis sebelum ia dirancang diperluaskan ke seluruh Kedah sebagai antara produk Tahun Melawat Kedah 2025.

"Selepas kejayaan ini, kita sasarkan 15 bazar 'uptown' diwujudkan di seluruh Kedah pada tahun hadapan dengan menawarkan perkhidmatan terbaik, kebersihan gerai, produk dan makanan berkualiti," katanya.

Beliau berkata, jumlah kehadiran pelancong ke Langkawi mencecah seramai 2.04 juta setakat September lalu, iaitu kira-kira 64 peratus daripada sasaran tahunan seramai 3.2 juta pengunjung.

Pulau Langkawi banyak tempat menarik mampu menggamit pengunjung. - Foto hiasan
Pulau Langkawi banyak tempat menarik mampu menggamit pengunjung. - Foto hiasan

Berita Harian X