Selasa, 5 Disember 2023 | 8:04am
 Puncak Gunung Ayam pada ketinggian 815 meter. - Foto ihsan KGK
Puncak Gunung Ayam pada ketinggian 815 meter. - Foto ihsan KGK

Terengganu kaya trek gunung 'segar'

TERENGGANU, negeri dengan keindahan pantai dan pulau turut memiliki puluhan bukit dan gunung yang 'segar' dan 'rare', istilah popular dalam kalangan pendaki gemarkan kelainan, merujuk trek samar dan tidak selebar gunung biasa didaki.

Antaranya Gunung Batil, Gunung Lawit, Gunung Kambing, Gunung Bongsu, Gunung Hulu Perus , Gunung Diwangsa, Gunung Gelemat dan Gunung Mandi Angin, sekali gus menjadikan negeri yang terkenal dengan jolokan 'Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Pun Baik-Baik' memiliki tarikan tersendiri.

Tidak terkecuali Gunung Ayam di sempadan Terengganu-Kelantan yang boleh diakses dari Hutan Lipur Lata Tembakah di Besut, Terengganu.

Namun tidak ramai mengetahui terdapat tiga gunung di Kelantan yang berkongsi nama sama, satunya berhampiran Gunung Stong, kedua di Gua Musang dan ketiga yang bersempadan antara Kuala Krai di Kelantan dan Besut di Terengganu.

Berbeza dua lagi Gunung Ayam, puncak yang terletak dalam Hutan Simpan Pelagat, Besut dengan ketinggian 815 meter (m) dilihat agak asing dalam kalangan pendaki, apatah lagi jalur pendakian sejauh kira-kira 17 kilometer (km) dari Hutan Lipur Lata Tembakah masih boleh dianggap 'segar' dan 'rare'.

Trek permulaan di Hutan Lipur Lata Tembakah. - Foto ihsan KGK
Trek permulaan di Hutan Lipur Lata Tembakah. - Foto ihsan KGK

Hari pertama pendakian ke puncak Gunung Ayam. - Foto ihsan KGK
Hari pertama pendakian ke puncak Gunung Ayam. - Foto ihsan KGK

Selepas hampir lima tahun dirintis, Kelab Gagau Kemaman (KGK), kelab yang tidak asing dengan projek pendakian rintis di Terengganu sekali lagi kembali ke puncak Gunung Ayam akhir Oktober lalu.

Hampir seluruh trek pendakian Gunung Ayam menyaksikan pendaki melewati garisan sempadan Terengganu dan Kelantan yang ditandakan dengan batu tanda simen konkrit.

Ibarat bonus, pendakian ke puncak membolehkan Bukit Susun setinggi 814m ditawan, yang jaraknya hanya 3km dari puncak Gunung Ayam, malah beberapa pendaki mencatatkan rekod peribadi dengan menawan puncak Bukit Rabin pada ketinggian 914m dan Bukit Saji 929m.

Bercerita keistimewaan Hutan Lipur Lata Tembakah, ia merangkumi kawasan seluas 300 hektar, terletak kira-kira 24km dari Jerteh dan 130km dari bandar Kuala Terengganu.

Ia mula dimajukan pada 1987 dan menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negeri disebabkan beberapa keistimewaan seperti tumbuhan semula jadi, sungai bersih, air terjun menarik dan kolam semula jadi.

Keseluruhan kawasan diliputi hutan tanah pamah yang kaya dengan pelbagai spesies Dipterokarpa, spesies dominan dari jenis meranti dan keruing. Terdapat juga pokok mersawa, nyatoh, kempas mengkulang, medang, kedondong dan lain-lain spesies yang biasa terdapat dalam hutan hujan tropika.

Pemandangan beberapa puncak termasuk Gunung Tebu daripada trek permatang menuju ke puncak Gunung Ayam. - Foto ihsan KGK
Pemandangan beberapa puncak termasuk Gunung Tebu daripada trek permatang menuju ke puncak Gunung Ayam. - Foto ihsan KGK

 Berehat di trek. - Foto ihsan KGK
Berehat di trek. - Foto ihsan KGK

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Perhutanan Terengganu, Asrul Effendi Abidin yang mengikuti pendakian Gunung Ayam selama tiga hari bermula 27 Oktober lalu mengakui tidak ramai pendaki mengetahui kewujudan trek gunung ini.

Bersama 27 pendaki yang turut disertai penulis, Asrul Effendi atau Fendi yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam selok belok aktiviti pendakian membawa kami menelusuri trek sejauh 10km pada hari pertama, bermula dari pintu masuk Hutan Lipur Lata Tembakah.

Selepas menyusuri sungai, pendakian sebenar bermula dengan menempuh kawasan hutan dara sebelum memasuki bahagian yang kelihatan kesan aktiviti pembalakan, namun masih tersusun.

Menelusuri laluan balak, kami tiba di permatang yang menyajikan pemandangan indah, kelihatan Empangan Paya Peda, Hulu Besut, projek bernilai RM440 juta membabitkan Sungai Angga, Sungai Peda dan Sungai Besut.

Turut kelihatan Bukit Saruk, Bukit Kuing dan Bukit Hulu Angga yang terletak di tepi Sungai Angga selain pemandangan Gunung Tebu dan Bukit Batu Balai.

Meredah trek ke puncak Gunung Ayam pada hari kedua pendakian. - Foto ihsan KGK
Meredah trek ke puncak Gunung Ayam pada hari kedua pendakian. - Foto ihsan KGK

Pendaki meredah trek pada waktu malam ke tapak perkhemahan Kem Hulu Batu Asar. - Foto ihsan KGK
Pendaki meredah trek pada waktu malam ke tapak perkhemahan Kem Hulu Batu Asar. - Foto ihsan KGK

Penulis tiba di Kem Hulu Batu Asar sekitar jam 11 malam, lokasi bersebelahan Sungai Batu Asar. Ekspedisi ke puncak yang berbaki 7km diteruskan pada hari kedua tepat jam 10.30 pagi.

Kali ini trek pendakian sedikit mencabar khususnya ketika berada di kawasan lembah berbentuk V di hulu Sungai Pertang, lebih sukar apabila lokasi ini diredah ketika hujan lebat.

Dalam laluan ke puncak Gunung Ayam, kami melencong singgah di Bukit Susun, bukit yang belum memiliki papan tanda nama. Dari Bukit Susun, trek sedikit landai tetapi perlu mendaki dan menuruni beberapa bukit dan meredah kawasan pokok buluh tebal sebelum tiba di puncak Gunung Ayam jam 5 petang.

Tidak mengambil masa lama di puncak, kami bergegas meninggalkan lokasi sekitar jam 6 petang bagi mengelak melalui kawasan pokok buluh ketika gelap sebelum tiba di lokasi perkhemahan empat jam selepas itu.

Tidak sukar melelapkan mata ketika perut kenyang dan keletihan. Penulis terbangun sekitar jam 4 pagi, mendengar suara beberapa pendaki yang bersiap mendaki Bukit Rabin dan Bukit Saji. Dalam hati teringin sertai, namun kudrat tidak mampu memenuhi, lalu menyambung tidur yang masih berbaki.

 Air tangan Intan pasti tidak mengecewakan. - Foto ihsan KGK
Air tangan Intan pasti tidak mengecewakan. - Foto ihsan KGK

 Pendaki di puncak Gunung Ayam membawa semangat ‘Free Palestine’. - Foto ihsan KGK
Pendaki di puncak Gunung Ayam membawa semangat ‘Free Palestine’. - Foto ihsan KGK

Kem Hulu Batu Asar ditinggalkan jam 12 tengah hari dengan seribu kenangan. Perjalanan pulang tetap perit apatah lagi terpaksa meredah belantara dalam hujan lebat sebaik tiba di bukit mencanak yang kami gelar bukit 200.

Kumpulan terakhir tiba di pintu masuk Hutan Lipur Lata Tembakah jam 6.30 petang. Tidak sukar menjayakan ekspedisi dengan selamat jika sentiasa meletakkan disiplin sebagai keutamaan, malah 'buddy system' diterapkan KGK amat membantu khususnya ketika pendaki diheret untuk 'kerja lebih masa' atau OT pada waktu malam.

Mereka yang berminat untuk merasai pengalaman menjelajah trek 'segar' dan 'rare' di Terengganu boleh hubungi Fendi di talian 012-2220450.

Jangan pernah tanya apa kami cari tetapi tanyalah apa pengalaman kami perolehi, KGK pasti menepati.

Antara pemandangan trek yang kali terakhir dirintis KGK lima tahun lalu. - Foto ihsan KGK
Antara pemandangan trek yang kali terakhir dirintis KGK lima tahun lalu. - Foto ihsan KGK

Berita Harian X