Rabu, 22 November 2023 | 9:23am
Keunikan Pulau Flores, pelbagai kisah legenda gamit pencinta alam, penggiat aktiviti lasak menerokainya. - Foto Bernama
Keunikan Pulau Flores, pelbagai kisah legenda gamit pencinta alam, penggiat aktiviti lasak menerokainya. - Foto Bernama

Danau tempat persembunyian roh, kubur di halaman rumah curi tumpuan

INDAH dan unik. Gandingan warna hijau, biru dan hitam menyambut pandangan mata tatkala pesawat udara yang membawa penulis dari Labuan Bajo menghampiri Ende di Pulau Flores, Provinsi Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Kehijauan rimba dan gunung-ganang dikelilingi laut serta pantai berpasir hitam semakin jelas kelihatan dari luar tingkap pesawat yang mula merendah untuk mendarat di Lapangan Terbang Haji Hasan Aroeboesman.

Flores yang bermaksud bunga dalam bahasa Portugis, begitu popular dalam kalangan pelancong asing, khususnya pencinta alam sekitar dan penggiat aktiviti lasak.

Rasa ingin tahu penulis tentang pulau yang difahamkan mempunyai 24 gunung berapi itu, mendorong penulis menempah pakej daripada operator kembara persendirian The Fadaelo Project, dan bermulalah misi melawat Flores dari 17 hingga 25 Ogos lalu.

Memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, penulis ke Denpasar, Bali, Indonesia dan bermalam di sana sebelum menaiki penerbangan ke Labuan Bajo di Flores dan kemudian ke Ende.

Sejurus mendarat, penulis berserta sembilan lagi pelancong rakyat Malaysia yang menyertai pakej itu dibawa ke inap desa di Desa Moni yang terletak di kaki Gunung Kelimutu, iaitu sebuah gunung berapi aktif yang kali terakhir meletus pada 1968.

Walaupun jarak di antara Desa Moni dan lapangan terbang itu hanya 60 kilometer (km), perjalanan menaiki bas coaster tersebut mengambil masa lebih dua jam berikutan bentuk muka bumi yang mencabar.

Tiga danau berbeza warna

Cabaran sebenar kembara penulis bermula seawal 3 pagi keesokannya apabila kumpulan kami bersiap untuk memulakan aktiviti "trekking" Gunung Kelimutu yang berketinggian 1,639 meter dari aras laut bagi menyaksikan matahari terbit.

Tiba di pintu masuk Taman Nasional Kelimutu pada 4.30 pagi, kelihatan ramai pelancong asing sedang menikmati sarapan di warung kopi di situ.

Pemandangan matahari terbit ketika mendaki Gunung Kelimutu. - Foto Bernama
Pemandangan matahari terbit ketika mendaki Gunung Kelimutu. - Foto Bernama

Sekitar 5 pagi, kami mula menapak merentas denai ke puncak gunung dalam suasana yang masih gelap dengan kedinginan menusuk ke tulang.

Lelah, kerana adakala kami perlu mendaki denai bertangga, hilang dan berganti dengan rasa teruja apabila warna jingga sinar suria mula kelihatan di balik awan, membuatkan kami tidak sabar untuk menamatkan perjalanan yang mengambil masa kira-kira 40 minit itu.

Tempat duduk khas yang disediakan di puncak Kelimutu menjadi "destinasi" terakhir kami bagi menghayati keindahan matahari terbit yang turut "mendedahkan" tiga buah danau di dalam kawah Kelimutu.

Terbentuk bersebelahan satu sama lain di dalam kawah letusan gunung berapi itu, setiap danau mempunyai air dengan warna berbeza, iaitu biru, hijau dan merah kehitaman.

Malangnya, pada hari berkenaan kami hanya dapat melihat danau berwarna hijau disebabkan oleh liputan kabus yang agak tebal.

Malah, kami difahamkan air danau ini juga boleh berubah warna, dipengaruhi oleh aktiviti gunung berapi pada satu-satu masa.

Danau tempat persemadian roh

Masyarakat Lio yang tinggal di kawasan Taman Nasional Kelimutu percaya danau terbabit menjadi tempat persemadian roh mereka yang telah meninggal dunia, iaitu danau biru bagi roh orang tua, hijau menempatkan roh orang muda dan danau merah kehitaman untuk mereka yang berbuat jahat semasa hidup.

Cara hidup masyarakat setempat yang masih berpegang kuat pada kepercayaan mistik dan adat resam juga memberikan Taman Nasional Kelimutu gelaran The Land of Mystical Beauty.

Kubur di halaman rumah

Selepas hampir satu jam di puncak Kelimutu, kami kembali ke inap desa sebelum meneruskan perjalanan ke Bajawa yang terletak kira-kira 180 km dari situ.

Perjalanan menaiki bas coaster itu mengambil masa lebih lima jam, namun keindahan pemandangan - kawasan pergunungan bersela pantai - menghilangkan rasa penat kami.

Pantai Batu Hijau yang cukup unik dan cantik dengan batu-batunya berwarna hijau dan pasir pantainya berwarna hitam di Penggajawa. - Foto Bernama
Pantai Batu Hijau yang cukup unik dan cantik dengan batu-batunya berwarna hijau dan pasir pantainya berwarna hitam di Penggajawa. - Foto Bernama

Malah, kami juga singgah makan tengah hari di Pantai Batu Hijau - namanya bersempena dengan hamparan batu-batu kecil kehijauan di sepanjang pantai berpasir hitam - yang terletak di Penggajawa.

Sekalipun tidak ada kemudahan rehat dan rawat seperti di lebuh raya Malaysia, kami tidak berdepan masalah sekiranya perlu menggunakan tandas kerana boleh berhenti dan singgah di rumah penduduk setempat.

Mereka membenarkan kami menggunakan tandas di rumah mereka, menyambut kehadiran kami dengan layanan mesra, dan sebagai tanda terima kasih, kami menghulurkan buah tangan diterima oleh mereka dengan senyuman.

Sepanjang perjalanan itu, ada sesuatu yang menarik pandangan mata kami, iaitu kubur di halaman hampir setiap rumah yang kami lepasi.

Difahamkan kubur terbabit adalah tempat persemadian pemilik tanah, bertujuan memastikan tanah itu tidak dijual oleh generasi pewaris.

Kampung adat Tololela

Kami tiba di Bajawa sekitar 4 petang dan terus bersiap untuk menikmati pemandangan matahari terbenam di Gunung Inerie, Ngada.

Perkataan "Inerie" bermaksud "ibu yang cantik" dan dianggap sebagai ibu kepada leluhur masyarakat tempatan.

Berketinggian 2,245 meter dari aras laut dan berbentuk seakan piramid, gunung berapi aktif itu yang kali terakhir meletus pada 1970, adalah puncak tertinggi di Flores.

Pemandangan Gunung Berapi Inerie dari Bukit Watunariwowo atau Bukit Avatar. - Foto Bernama
Pemandangan Gunung Berapi Inerie dari Bukit Watunariwowo atau Bukit Avatar. - Foto Bernama

Disifatkan sebagai ikon pulau itu, pengunjung boleh menyaksikan keindahannya dari Bukit Watunariwowo atau Bukit Avatar.

Terletak di tengah-tengah hamparan hijau belantara, keindahan panorama matahari terbenam berlatar belakang Gunung Inerie benar-benar memukau pandangan kami yang "merehatkan kaki" di puncak Bukit Avatar.

Keesokan hari kami dibawa melawat kawasan sekitar kaki gunung serta singgah di Kampung Adat Tololela yang berada pada ketinggian 650 meter dari aras laut.

Berstatus "kawasan rawan bencana" atau kawasan berisiko bencana, pengunjung hanya boleh memasuki perkampungan itu dengan motosikal atau menaiki lori kecil.

Pengunjung juga boleh menapak menyusuri denai sejauh satu kilometer.

Rumah tanpa paku

Antara perkara pertama yang menarik perhatian penulis apabila tiba di kampung itu ialah persekitaran yang bersih dengan rumah adat diperbuat daripada buluh dan jerami.

Dibina dalam deretan dua baris bertingkat, penempatan terbabit dihuni oleh 98 orang penduduk. Uniknya rumah ini ialah struktur dibina tanpa paku dan mampu bertahan dalam kejadian gempa bumi.

Seperti maksud "Inerie", komuniti di kawasan ini mengamalkan sistem yang mengutamakan wanita sebagai pewaris rumah adat.

Menurut anak jati kampung itu Uni Leko, 29, walaupun penduduk Tololela beragama Kristian, mereka masih berpegang kuat pada kepercayaan nenek moyang dan melakukan pelbagai upacara penghormatan buat leluhur mereka.

"Masyarakat Tololela percaya pada roh nenek moyang, makhluk halus yang baik dan jahat. Mereka melakukan banyak upacara seperti membuka hutan, menanam dan menuai padi, membangun atau membaiki rumah adat.

"Masyarakat Tololela melakukan upacara sebagai penghormatan kepada leluhur serta upacara terima kasih kepada dewa dan nenek moyang yang telah memberi kehidupan kepada mereka," kata lelaki itu yang bekerja sebagai malim Gunung Inerie.

Ujar beliau, antara aktiviti penduduk ialah menenun, berkebun dengan menanam kelapa dan koko serta mencari hasil hutan.

Perkampungan itu menikmati kemudahan elektrik, bekalan air bersih serta pusat kesihatan, namun anak-anak mereka perlu berjalan meredah hutan selama 45 minit untuk ke sekolah yang terletak di kampung berhampiran.

Kampung adat Waerebo

Selepas dua hari di Bajawa, kami meneruskan perjalanan menuju Kampung Adat Waerebo di Denge, Kabupaten (daerah) Manggarai.

Ketika singgah di pusat Informasi Waerebo yang diuruskan oleh Blasius Monta - individu yang bertanggungjawab memperkenalkan perkampungan itu sebagai destinasi pelancongan sejak 2002 - Kampung Adat Waerebo terletak di lembah yang dikelilingi tiga gunung dikenali sebagai Ponto Nao, Golo Ponto dan Golo Mehe.

Antara penduduk rumah adat di Kampung Adat Tololela kaki Gunung Berapi Inerie yang dibina tanpa paku. - Foto Bernama
Antara penduduk rumah adat di Kampung Adat Tololela kaki Gunung Berapi Inerie yang dibina tanpa paku. - Foto Bernama

Menurut Blasius, 57, atau lebih mesra dipanggil Pak Sius, perkampungan itu mempunyai nama jolokan Desa di Atas Awan kerana kedudukannya kira-kira 1,100 meter dari aras laut.

Untuk ke perkampungan itu, penulis membonceng ojek (teksi motosikal) dari Denge. Perjalanan mengambil masa 15 minit melalui jalan kampung sebelum sampai di pintu masuk Hutan Wisata Waerebo.

Selepas itu, cabaran sebenar bermula apabila perlu berjalan merentas denai, mendaki dan menuruni gunung sejauh lima kilometer yang boleh mengambil masa dua hingga lima jam, bergantung pada stamina seseorang.

Dibantu tongkat buluh yang disewa di pintu masuk hutan itu, penulis meredah laluan yang curam dan berbatu serta licin dalam suasana berkabus dan hujan.

Kedinginan begitu terasa, namun semangat tetap berkobar-kobar untuk menyaksikan keindahan Kampung Adat Waerebo.

Sepanjang perjalanan itu, penulis bertembung dengan ramai pelancong asing dan juga penduduk kampung yang membawa keluar hasil tanaman kopi mereka untuk dijual di bandar.

Menurut Pak Sius, kampung itu didiami oleh kira-kira 200 penduduk yang tinggal di tujuh rumah besar.

Setiap rumah besar ada enam hingga lapan kepala keluarga.

Kebanyakan pengunjung akan bermalam di rumah tamu yang disediakan khusus untuk pelancong, bagi membolehkan mereka melihat cara hidup komuniti setempat.

Tidak seperti Kampung Adat Tololela, tidak ada jaringan telekomunikasi dan Internet di Kampung Adat Waerebo.

Malah, bekalan elektrik dihasilkan oleh generator yang akan dimatikan menjelang tengah malam.

Rata-rata penduduk mengusahakan ladang kopi. Malah, kopi keluaran Flores sememangnya terkenal di dunia. Kaum Hawa pula menghasilkan kain tenun Songket Manggarai dan sarung lipa surak yang juga antara produk wajib dibeli pelancong sebagai kenangan.

Kunjungan orang asing di sini bukan sekadar untuk melancong kerana ada yang datang membawa bekalan ubat-ubatan bagi disumbangkan kepada penduduk.

Taman Nasional Komodo

Lawatan ke Flores tidak sempurna jika tidak mengunjungi Taman Nasional Komodo di Kabupaten Manggarai Barat yang merangkumi gugusan 186 buah pulau.

Penulis menyertai pelayaran tiga hari dua malam dari pelabuhan Labuan Bajo ke beberapa lokasi tarikan pelancong di taman itu.

Waktu siang, kawasan perairan taman itu yang berwarna firus (kebiru-biruan) dipenuhi kapal persiaran yang membawa pelancong dari seluruh dunia.

Pada sebelah malam pula, kerlipan lampu dari kapal-kapal terbabit begitu mempesona.

Taman Nasional Komodo antara tapak warisan dunia dan pernah disenaraikan sebagai satu daripada keajaiban dunia kategori alam oleh New7Wonders Foundation.

Seperti mana namanya, taman ini terkenal dengan biawak komodo atau nama saintifik Varanus komodoensis yang boleh ditemukan di tiga buah pulau utama, iaitu Pulau Rinca, Pulau Padar dan Pulau Komodo.

Pulau Rinca merupakan habitat semula jadi reptilia itu yang mendiami kawasan Loh Buaya, sementara Pulau Padar yang tidak berpenghuni, terkenal dengan pantai berwarna merah jambu serta destinasi merentas denai popular dalam kalangan pelancong yang datang untuk menyaksikan panorama pantai tiga teluk.

Ada kisah mistik mengenai reptilia ini yang diwarisi masyarakat tempatan, iaitu tentang seorang wanita jelita dari alam ghaib bernama Putri Naga yang berkahwin dengan lelaki biasa bernama Majo.

Mereka dikurniakan sepasang anak kembar dalam bentuk seorang bayi lelaki dan seekor mengkarung betina.

Menurut kisah itu, bayi lelaki yang dinamakan Gerong dibesarkan di rumah sementara mengkarung betina yang diberi nama Ora, hidup di hutan.

Dari situ timbul kepercayaan orang tempatan bahawa komodo adalah "saudara" atau keturunan mereka, justeru tidak boleh dibunuh.

Daripada perbualan dengan komuniti setempat, penulis difahamkan kewujudan masyarakat Islam mendiami perkampungan di sekitar Taman Nasional Komodo, turut menyumbang kepada berkembang biak komodo kerana mereka melihat reptilia itu sebagai makhluk Allah yang tidak wajar dibunuh dengan sewenang-wenangnya.

Tidak kira apa juga kepercayaan atau kisah legenda tentang reptilia itu, kehadiran komodo di taman berkenaan merupakan antara tarikan utama pelancong asing ke wilayah itu, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi masyarakat setempat. - BERNAMA

Berita Harian X