Jumaat, 29 September 2023 | 9:21am
Sebahagian daripada ahli KDCR memulakan perjalanan ke Bukit Kepong sempena konvoi Kembara Merdeka Ride 1.0, baru-baru ini. - Foto/Ihsan KDCR
Sebahagian daripada ahli KDCR memulakan perjalanan ke Bukit Kepong sempena konvoi Kembara Merdeka Ride 1.0, baru-baru ini. - Foto/Ihsan KDCR

Menyusuri sejarah Bukit Kepong

BUKAN menghabiskan masa senggang tanpa tujuan, sebaliknya aktiviti konvoi bermotosikal berkuasa tinggi ke pelbagai destinasi dipenuhi dengan pengisian bermakna.

Misalnya, buat julung kali konvoi Kembara Merdeka Ride 1.0 sempena Hari Kebangsaan menjadi wadah Kelab Kanda Dinda Couple Ride (KDCR), baru-baru ini menyatukan lebih 200 ahli kelab dengan 130 buah motosikal yang terbabit dalam konvoi ini bagi bagi menyemarakkan semangat patriotik.

Khairil Rizal (tengah) bersama ahli kumpulan KDCR menjadikan aktiviti motosikal untuk mengeratkan hubungan persaudaran antara mereka. - Foto/Ihsan KDCR
Khairil Rizal (tengah) bersama ahli kumpulan KDCR menjadikan aktiviti motosikal untuk mengeratkan hubungan persaudaran antara mereka. - Foto/Ihsan KDCR

Presidennya, Khairil Rizal Othman, berkata pihaknya memilih Bukit Kepong, Muar, bagi menyingkap peristiwa bersejarah yang membawa kepada darurat di Tanah Melayu sejak 1948.

"Walaupun kelab berpusat di ibu kota, semua ahli KDCR dari Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang (Muadzam) sanggup turun ke lokasi itu untuk berkumpul bersama.

"Saya tidak sangka konvoi ini mendapat penyertaan amat menggalakkan," katanya.

Menariknya, 'ride' ini diisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah menjejaki lokasi sejarah kawasan berkait rapat dengan Hari Merdeka.

"Selain belajar sesuatu yang baharu, kita dapat mengeratkan hubungan dengan ahli di setiap negeri. Kami jarang berjumpa dan ramai ahli baharu belum dikenali.

Lebih 200 ahli dan 130 motosikal terbabit dalam Kembara Merdeka Ride 1.0 merakam kenangan di Galeri Bukit Kepong. - Foto/Ihsan KDCR
Lebih 200 ahli dan 130 motosikal terbabit dalam Kembara Merdeka Ride 1.0 merakam kenangan di Galeri Bukit Kepong. - Foto/Ihsan KDCR

"Kembara ini juga lebih menerapkan nilai murni sempena bulan kemerdekaan. Kalau konvoi biasa, kita akan buat perjumpaan dan adakan sesi teh tarik.

"Di situ kita berjumpa dan berborak sekali gus dapat mengukuhkan ukhuwah dan merapatkan hubungan persaudaraan umpama adik-beradik.

"Memang ramai ingin menyertai kelab dan ia perkembangan baik dan kami amat mengalu-alukan minat mereka. Menjadi ahli KDCR tiada bayaran, hanya beli sehelai baju kelab harga RM50.

Ahli KDCR mendengar taklimat ketika lawatan ke Galeri Bukit Kepong
Ahli KDCR mendengar taklimat ketika lawatan ke Galeri Bukit Kepong

Sejak ditubuhkan Jun tahun lalu, seramai 4,600 orang menyertai kelab itu yang dianggotai pelbagai bangsa, iaitu Melayu, India, Cina dan Iban.

Menariknya, selepas Kembara Merdeka ke Bukit Kepong itu, mereka turut menganjurkan konvoi bermotosikal sempena Hari Malaysia ke Gopeng, Perak bagi tujuan sama.

Katanya, program kelab itu sentiasa penuh serta aktif dengan aktiviti konvoi sehingga merentasi sempadan negara dan baru-baru ini juga sempat ke Awan Nano, Betong, Thailand dan banyak lagi.

Isteri-isteri yang sentiasa menemani suami mengikuti setiap aktiviti KDCR termasuk ke konvoi ke Bukit Kepong. - Foto/Ihsan KDCR
Isteri-isteri yang sentiasa menemani suami mengikuti setiap aktiviti KDCR termasuk ke konvoi ke Bukit Kepong. - Foto/Ihsan KDCR

Lawat Galeri Bukit Kepong

Sementara itu, Presiden Muar TRK Bike Community (MTBC), Mohd Salany Azlan Md Salleh, 49, teruja selaku tuan rumah, pihaknya menerima kunjungan ahli KDCR dari pelbagai lokasi dan menyambut mereka di Tol Tangkak.

"Selepas semua berkumpul, kita adakan taklimat pelbagai aspek termasuk berkaitan keselamatan dan sesi suai kenal bagi mengenali lebih dekat antara satu sama lain kerana datang dari beberapa negeri lain.

Beliau selesa disapa Cikgu Alan berkata, kira-kira 130 motosikal mengikuti Kembara Merdeka, kemudian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan setiap satu antara 30 hingga 40 motosikal untuk berkonvoi ke lokasi seterusnya.

Katanya, jarak perjalanan antara satu kumpulan dengan kumpulan lain adalah 10 minit.

Konvoi santai dari Tol Tangkak ke Bukit Kepong mengambil masa empat jam.

"Kita singgah di Asahan dan Jementah untuk berehat dan menikmati pemandangan indah di situ sebelum sampai ke Bukit Kepong," katanya.

"Lokasi itu penting dalam sejarah negara, iaitu antara kawasan jajahan berlaku tragedi berdarah, komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong menyebabkan ramai anggota polis yang gugur ketika berjuang mempertahankan kubu mereka.

Cikgu Alan (tengah) teruja menerima kunjungan rakan-rakan KDCR ke Bukit Kepong
Cikgu Alan (tengah) teruja menerima kunjungan rakan-rakan KDCR ke Bukit Kepong

"Bukit Kepong lokasi tepat dikunjungi bagi memperingati, menghargai jasa dan pengorbanan pejuang negara.

"Setiba di situ, kita melewat Galeri Bukit Kepong yang menyimpan banyak bahan sejarah, monumen dan barang antik peninggalan Jepun termasuk meriam, kereta kebal, senapang dan sebagainya," katanya.

Ahli KDCR, Juliah Mohd Hasbi, 38, berkata pengalaman konvoi ke Bukit Kepong bersama suaminya, Mohd Nazir Senin, memberi pengalaman manis kerana dapat melawat lokasi bersejarah lain termasuk Laman Tiga Budaya.

"Sepanjang perjalanan menuju ke Bukit Kepong sangat menenangkan dikelilingi tumbuhan hijau, bukit dan gunung," katanya.

Juliah bersama suami yang sentiasa saling memberi sokongan menjadikan aktiviti bermotosikal sebagai cara eratkan hubungan mereka
Juliah bersama suami yang sentiasa saling memberi sokongan menjadikan aktiviti bermotosikal sebagai cara eratkan hubungan mereka

"Malah, ketika semua 'rider' berkumpul dan melaungkan merdeka, saya sangat teruja dan memang rasa meriah lebih-lebih lagi apabila orang di sekeliling kami pandang dan ambil gambar kami.

"Kalau ada lagi ride seperti ini, saya tidak akan lepaskan peluang. Kita akan sokong penuh jika ia bertepatan dengan masa dan cuti yang ada.

"Selain dapat berkumpul bersama rakan kita bersama-sama dapat luangkan masa bersama suami dan sekali gus dapat mengeratkan hubungan kami," katanya minat kegiatan bermotosikal sejak zaman remaja.

Berita Harian X