LIPIS: Kombinasi gua batu kapur yang menarik dan keindahan alam semula jadi menjadikan Merapoh destinasi pelancongan semakin terkenal di negeri ini.
Difahamkan terdapat lebih 500 gua di sekitar Merapoh namun sehingga hari ini hanya kira-kira 100 ditemui, antaranya Gua Tahi Bintang, Gua Seribu Cerita, Gua Air Mata Dayang, Gua Jinjang Pelamin dan Gua Hari Malaysia.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim, berkata produk pelancongan lain turut terdapat di kawasan berkenaan ialah Taman Negara Sungai Relau yang menjadi pintu masuk aktiviti mendaki Gunung Tahan.
Katanya, Merapoh yang bersebelahan dengan Gua Musang, Kelantan dipercayai turut menyimpan kesan sejarah penjajah yang bergerak dalam kawasan hutan suatu ketika dahulu.
Menurutnya, produk terbaharu yang diperkenalkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ialah 'Tree top walk' sepanjang 612 meter adalah laluan berjalan kaki dengan ketinggian antara lima hingga 23 meter daripada paras tanah turut terdapat enam menara.
"Gua batu kapur yang terdapat di Merapoh dianggap unik dengan menampilkan formasi yang berbeza, mudah diterokai sesuai dengan jolokannya 'caving paradise'.
"Pelbagai aktiviti lain boleh dilakukan di sekitar Merapoh seperti aktiviti berkayak menelusuri sungai berjeram, berkunjung ke penempatan Orang Asli dan menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat setempat," katanya selepas melakukan lawatan bersama media ke Merapoh, kelmarin.
Beliau menambah, sokongan yang diberikan kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Central Forest Spine (CFS) dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di Merapoh.