Ahad, 30 Julai 2023 | 9:42am
Orang ramai perlu bersiap sedia dengan perubahan cuaca panas, sejuk dan di kawasan altitud tinggi ketika melancong ke destinasi tertentu. - Foto hiasan
Orang ramai perlu bersiap sedia dengan perubahan cuaca panas, sejuk dan di kawasan altitud tinggi ketika melancong ke destinasi tertentu. - Foto hiasan

Bersiap sedia tubuh sesuaikan diri dengan iklim baharu

SEJAK tiada halangan untuk keluar melancong membuatkan ramai lebih teruja untuk merancang percutian.

Sama ada berkonvoi di jalan bersama keluarga atau terbang ke seluruh dunia, percutian kadang kala datang dengan kejutan yang menjejaskan sistem imun anda.

Kebanyakan pelancong yang bercuti ke tempat atau negara yang beriklim luar biasa berkemungkinan tidak sihat pada hari awal perjalanan.

Aklimatisasi - iaitu keupayaan tubuh untuk menyesuaikan diri dengan iklim baharu di lokasi tertentu perlu diambil kira semasa mengembara.

Tempoh aklimatisasi untuk orang dewasa adalah dua hingga tujuh hari, biasanya simptom pertama akan muncul pada hari kedua selepas sampai destinasi.

Bagi si kecil terutama kanak-kanak kecil, tempoh penyesuaian boleh berlaku lebih lama dan diikuti dengan pelbagai simptom.

Secara umum, simptom yang berikut boleh berlaku:

* Tekanan darah tinggi atau rendah;

* Kejang otot, pening;

* Suhu tinggi;

* Hidung berair atau batuk;

* Muntah, cirit-birit

Umur, tahap kesihatan dan keadaan fizikal akan menentukan bagaimana anda dapat menyesuaikan diri dengan iklim baharu. - Foto hiasan
Umur, tahap kesihatan dan keadaan fizikal akan menentukan bagaimana anda dapat menyesuaikan diri dengan iklim baharu. - Foto hiasan

Aklimatisasi muncul pada hari-hari awal tiba ke destinasi dan akan berlalu hilang begitu sahaja dalam kebanyakan kes.

Umur, tahap kesihatan dan keadaan fizikal akan menentukan bagaimana anda dapat menyesuaikan diri dengan iklim baharu.

Individu sihat kebiasaannya mengambil masa dua minggu untuk membiasakan diri dalam persekitaran iklim baharu.

Jika percutian kurang daripada dua minggu, ada beberapa perkara boleh dilakukan untuk menangani perubahan suhu sama ada berkaitan dengan altitud (ketinggian), panas melampau atau cuaca sejuk.

Altitud Tinggi

Menyebut tentang iklim altitud tinggi, lokasi ketinggiannya adalah antara 457.1 meter dan 1,066.8kaki.

Banyak perkara boleh terjadi sewaktu anda mengembara ke lokasi yang beraltitud tinggi.

Anda mungkin mengalami sakit kepala, pening, gangguan tidur, keletihan, atau sakit perut. Gejala ini muncul satu ke dua hari selepas anda sampai ke lokasi.

Gejala-gejala ini akan hilang dengan sendirinya sejurus tubuh dapat menyesuaikan diri dengan ketinggian.

Cuaca Panas

Kebanyakan negara yang indah di dunia adalah negara yang panas. Melancong ke negara panas ini meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba seperti strok haba dan keletihan haba, terutama jika individu terbiasa dengan suhu sejuk dan sederhana.

Jika anda berhajat ke negara yang bersuhu tinggi, pakai pakaian yang selesa, krim pelindung matahari dan kekal terhidrat

Tip ini sangat membantu anda.

Musim Sejuk

Di negara tropika seperti Malaysia, kita sudah terbiasa dengan keadaan cuaca yang panas terik dan sudah bijak menyesuaikan diri.

Tetapi, agak asing pula bagi kita untuk menempuh musim sejuk - penggunaan pendingin hawa di pejabat sudah mampu membuatkan kita menggigil kesejukan.

Apakah persediaan yang sesuai jika melancong ke negara bermusim sejuk?

Kaedah melapiskan pakaian yang betul adalah penting untuk kekal hangat dalam cuaca yang sejuk.

Masyarakat negara tropika dan suhu panas mungkin tidak tahu cara untuk lapiskan pakaian dengan betul.

Tujuan melapiskan pakaian sebenarnya bukan untuk menghasilkan peluh, sebaliknya adalah untuk kekal kering. Peluh dan lembapan akan meningkatkan risiko hipotermia atau ketidakselesaan.

Pastikan anda mempunyai pakaian yang sesuai untuk melindungi kulit dan mengekalkan haba sebanyak yang mungkin.

Kot dan seluar yang hangat adalah wajib, tetapi pastikan juga anda memakai stoking dan sarung tangan untuk melindungi kaki dan tangan; jari tangan dan jari kaki paling mudah terdedah kepada frostnip.

Jika anda mendapati kulit anda terdedah kepada frostnip, rendam kawasan kulit berkenaan di dalam air suam, bukan air panas.

Sekiranya anggota badan anda mengalami gigitan fros (frostbite), dapatkan rawatan kecemasan dengan segera.

Berita Harian X