PULAU Lang Tengah, Terengganu terletak di antara Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut mengambil masa sekitar 45 minit menaiki bot dari jeti Merang, Setiu.
Sesetengah pelancong luar masih menganggap Pulau Lang Tengah sebagai eksklusif atau terpencil berbanding dua pulau itu walaupun hakikatnya berdekatan.
Mungkin juga disebabkan populariti Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang lebih terkenal, tumpuan pengunjung lebih terarah ke sana, menjadikan Pulau Lang Tengah destinasi pilihan ketiga.
Bagi yang pernah sampai di sini, pastinya menemui suatu tarikannya tersendiri berbanding pulau-pulau lain di Terengganu.
Selain bebas daripada kesesakan pengunjung, pulau ini lebih tenang kerana bilik penginapan yang terhad serta tidak mempunyai penempatan komuniti yang besar berbanding Pulau Redang.
Antara lokasi menarik di Pulau Lang Tengah ialah di pesisir Pantai Pasir Air dapat dilihat panorama menarik di jaluran pasir halus memutih seperti mutiara dan kejernihan airnya berwarna kehijauan zamrud di siang hari.
Ia pasti membuatkan pengunjung terpukau dan tidak puas jika singgah tanpa bermalam.
Aktiviti rekreasi alam semula jadi
Anda boleh lakukan pelbagai aktiviti rekreasi termasuk 'snokeling', selam skuba di terumbu karang, berkayak menyelusuri teluk serta menikmati pemandangan matahari terbenam.
Selain mendaki batuan berbukit menggunakan tali keselamatan, aktviti 'flying fox' dan merentasi denai ke Bukit Batu Bulan atau Bukit Kuching.
Turut disediakan pakej menyelam dan konservasi batu karang untuk penyelam merasai pengalaman memulihara dan melakukan pemulihan batu karang di tapak selaman.
Usaha itu disokong pelbagai pihak bagi memastikan ekosistem terumbu karang dilindungi daripada kerosakan oleh aktiviti manusia dan dipulihara kesan perubahan monsun atau iklim.
Percutian berkonsepkan perkhemahan santai
Terkini pengunjung yang mencari kelainan dan pakej berpeluang menjejakkan kaki menikmati keindahan Pulau Lang Tengah melalui konsep perkhemahan 'free & easy'ditawarkan SEM Camp Site.
Pengunjung disediakan harga pakej berpatutan merangkumi pengangkutan bot, khemah, kemudahan asas lain seperti dapur, bilik air, sewaan peralatan kayak dan snorkeling.
Pemiliknya, Ahmad Fahmi Mahmud, membuka tapak perkhemahan santai selepas mendapati permintaan terhadap konsep itu mula berkembang sekali gus memulakan operasinya awal tahun ini sebagai pilihan percutian privasi.
Aktiviti berkhemah di tepi pantai dilingkungi pasir putih, teduhan rimbunan pokok dan lautan jernih membiru memberikan suasana begitu indah.
"Keindahan alamnya menakjubkan, sambil mengadap pemandangan langit cerah yang menenangkan. Udara segar hembusan angin dari laut dapat menyegarkan fikiran dan merehatkan minda," katanya.
Projek kelestarian ekosistem untuk konservasi itu tidak mustahil dilakukan untuk jangka panjang sebagai tarikan utama pengunjung untuk melihat pembiakan batu konservasi terumbu karang dan penyu.
Justeru, beliau bercadang mengadakan kerjasama Kelab Sukan Selam Skuba Bidong Laut dan memerlukan khidmat nasihat pakar terumbu karang dari Universiti Malaysia Terengganu
(UMT).
Lokasi strategik, tarikan tersendiri
Tetamu SEM Camp Site yang juga Pengerusi Persatuan Penggerak Rekreasi Negeri Terengganu (Penggerak), Syed Mohd Yasni Syed Yasin, berkata lokasinya strategik dan ada tarikan tersendiri, paling hampir dengan lokasi, bernama Batu Jong menjadi tumpuan bergambar pengunjung.
Dengan keindahan alam masih terjaga, sesuai untuk kegiatan rekreasi air memberikan pengalaman unik bagi yang gemarkan cabaran alam semula jadi.
Pulau Lang Tengah ada sebuah pusat konservasi penyu diwujudkan demi kelangsungan kitar hidup dan pembiakan penyu dilindungi.
Pusat itu dikenali sebagai Lang Tengah Turtle Watch, terletak di Teluk Penyu, antara lokasi pendaratan utama penyu bertelur.
Aktiviti pelancongan dihadkan di kawasan itu terutama ketika musim bertelur untuk memastikan ia bebas bertelur tanpa gangguan.
Ini membuka peluang orang awam menjadi sukarelawan dan mengawasi penyu bertelur sehingga menetas serta memahami tanggungjawab melindungi hidupan marin daripada diancam kepupusan.
Tukun tiruan rangka pesawat
Di kawasan perairan Pulau Lang Tengah dipilih menjadi lokasi penenggelaman tukun tiruan berupa rangka dua buah pesawat ringan jenis Piper PA-31 Navajo yang dilupuskan penggunaannya.
Proses menurunkan pesawat sebagai tukun, pada Mei tahun lalu itu bertujuan membiakkan hidupan laut untuk penyelam singgah menikmati pengalaman bersama pesawat di dalam laut.
Usaha itu mencipta rekod kali pertama dalam Malaysia Book of Records sebagai "First Aircraft Reef in Malaysia' sekali gus menjadikan Pulau Lang Tengah sebagai tapak selaman menarik untuk selam skuba.
Pulau Lang Tengah sewajarnya disenaraikan sebagai lokasi percutian idaman yang menjanjikan kepuasan dan merakam kenangan manis.