Jumaat, 10 March 2023 | 3:43pm

Sarawak kukuhkan jenama sebagai destinasi ekopelancongan terkemuka dunia

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan rakan dagangnya berjaya meraih 52 potensi bisnes baharu yang bakal direalisasi pada tahun ini, sebagai langkah berterusan untuk mempromosi Sarawak.

STB mengunjurkan potensi bisnes baharu ini bakal menghasilkan pertumbuhan 20 peratus dari segi jualan daripada pasaran Eropah dengan unjuran pertumbuhan bernilai RM10.5 juta, di Pameran ITB di Berlin, yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 Mac sehingga semalam.

Ini sekali gus mengukuhkan jenama Sarawak

sebagai destinasi ekopelancongan terkemuka serta destinasi pilihan di rantau ASEAN.

Pengunjung ITB Berlin dapat melihat kepelbagaian keunikan budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival di negeri Bumi Kenyalang itu.

Pavilion ini juga mempamerkan pelbagai aspek komuniti berbilang etnik dan ekosistem semula jadi Sarawak serta kepelbagaian flora dan fauna untuk memastikan "Discovery of Sarawak'' berterusan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pada Pameran ITB Berlin, Sarawak juga berjaya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Tischler Reisen AG.

MoU itu bertujuan mewujudkan usaha sama dalam meningkatkan visibiliti Sarawak sebagai destinasi pilihan dalam kalangan rakyat Jerman dan sekitar Eropah.

"Usaha sama promosi pemasaran luar talian dan atas talian ini akan membabitkan kira-kira 600 agensi terbaik di Jerman.

"Sebagai negeri terbesar di Malaysia dengan kepadatan penduduk yang rendah iaitu seramai 2.9 juta, Sarawak begitu berbangga dengan warisan semula jadi hutan hujan asli, flora dan fauna endemik serta kepelbagaian penduduknya.

"Terletak di Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia, Sarawak mempunyai kaleidoskop budaya yang unik termasuk 31 kumpulan etnik dengan pelbagai ekosistem yang dapat menarik minat pengembara," katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.

Sasaran 3 juta pelancong melawat Sawarak

Selain itu, Abdul Karim berkata, Sarawak menyasarkan kedatangan tiga juta pengunjung memandangkan pelancongan antarabangsa pulih daripada pandemik COVID-19.

Katanya, ini pencapaian yang optimistik bagi Sarawak dengan pertumbuhan lebih 800 peratus dari aspek pendapatan pelancongan pada 2022, iaitu mencatatkan hampir RM4 bilion, berbanding RM500 juta bagi tahun 2021.

"Festival itu memainkan peranan penting kepada industri pelancongan Sarawak dengan mengukuhkan imejnya sebagai destinasi budaya terutama menerusi Rainforest World Music Festival (RWMF) yang terkenal di peringkat antarabangsa.

"Festival ini akan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun depan. Namun, kami prihatin festival mempunyai 'carbon footprint' yang agak tinggi dan sisa yang biasanya dihasilkan daripada acara besar ini akan mempunyai impak kepada alam sekitar.

"Oleh itu, Sarawak mengambil langkah proaktif agar RWMF sentiasa dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan memastikan aspek

kemampanan dan mesra alam menjadi keutamaan dalam pelaksanaannya," katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.

Selain itu, ia turut melancarkan video destinasi baharunya 'Sarawak…Now More Than Ever' serta persembahan video mengenai produk pengembaraan Sarawak seperti aktiviti berbasikal, trekking dan aktiviti gua di Sarawak serta video promosi RWMF 2023.

Berita Harian X