TIGA wanita Bidayuh yang menjadi legasi terakhir pemakai gelang tembaga di lengan dan betis bertekad untuk terus memakai perhiasan itu hingga akhir hayat.
Mereka yang digelar 'Ring Ladies' bangga kerana sejak usia antara lapan dan 10 tahun hingga meniti usia tua kini, mereka terus mempamerkan tradisi pemakaian perhiasan unik itu yang tidak ramai sanggup memakainya.
Kali pertama menemui 'Ring Ladies' di Kampung Semban di pedalaman daerah Padawan 23 tahun lalu, penulis menemui seramai tujuh wanita Bidayuh memakai perhiasan itu.
Ketika itu, penulis terpaksa berjalan meredah denai hutan selama hampir enam jam untuk sampai ke kampung mereka, namun kini semua penduduk di kawasan pedalaman itu sudah dipindahkan ke kawasan berdekatan bandar susulan pembinaan Empangan Bengoh.
Kini, hanya tiga tiga daripada mereka yang masih hidup iaitu Peluk Abeh, Tawud Luhan dan Singai Nekan.
Mereka setia memakai perhiasan unik itu sekali gus menarik perhatian ramai kerana mereka kerap diundang untuk menghadiri majlis rasmi kerajaan serta program kebudayaan.
Sarung gelang sejak usia 10 tahun
Difahamkan tradisi pemakaian gelang tembaga yang dikenali sebagai 'lasung' yang dipakai di betis dan 'loyang' di lengan itu berasal dari sebuah penempatan bernama Sungkung, di Kabupaten Bengkayang, Kalimantan Barat, Indonesia.
Kawasan itu dikenal pasti sebagai tempat asal bagi sebilangan besar masyarakat Bidayuh selepas penghijrahan nenek moyang mereka ke selatan Sarawak ratusan tahun dahulu.
Salah seorang daripada 'Ring Ladies' itu, Peluk Abeh, 72, berkata beliau tidak pernah membuka perhiasan itu sejak mula memakainya ketika berusia 10 tahun.
Menurutnya, beliau selesa memakai perhiasan itu termasuk ketika melalui kehidupan sukar mengerjakan kebun serta melakukan rutin harian lain di kawasan tanah tinggi pada usianya masih muda.
"Tidak...gelang ini walaupun agak berat, ia tidak pernah membataskan pergerakan saya termasuk mendaki bukit setiap hari.
"Saya akan terus memakainya hingga akhir hayat, kerana inilah warisan kebanggaan masyarakat kami," katanya.
Menurut Peluk, mereka pernah cuba menggalakkan generasi muda untuk meneruskan legasi 'The Ring Ladies' namun tiada yang sanggup memakainya.
Pakai lasung tak menyusahkan
Seorang lagi ' Ring Lady', Tawud Luhan, 77, pula berkata gelang itu tidak pernah ditanggalkan sejak kecil lagi, tetapi ia hanya dilonggarkan apabila mereka semakin membesar.
Menurutnya, selama lebih 60 tahun memakainya, gelang tembaga itu tidak menyakitkan dan tidak sukar untuk membasuhnya.
"Bagi yang tidak memakainya memang akan menganggap lasung dan loyang ini menyakitkan dan menyusahkan kita, tetapi sebenarnya tidak.
"Kami menggunakan limau nipis untuk mencuci gelang tembaga itu dan menyiram air bagi membersihkan bahagian tubuh yang berada di dalam lilitan," katanya.
Hadiri acara di peringkat global
Selain kerap dijemput menghadiri pelbagai acara dan program tempatan, 'Ring Ladies' juga menarik perhatian di peringkat antarabangsa.
Mereka pernah dibawa oleh Bahagian Kebudayaan, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menjelajah hingga ke Jerman dan Itali untuk memperagakan keunikan perhiasan tradisi masyarakat Bidayuh itu.
Antaranya diundang diundang pada Lo Spirito Del Pianeta, festival antarabangsa kumpulan pribumi dan suku kaum di Milan, Itali pada 2016.
Malah, juga menarik perhatian penerbit filem dokumentari dan kisah mereka 'The Last Ring Ladies' dipertontonkan pada Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIF) yang ke-12 pada Oktober 2021.