Jumaat, 10 Februari 2023 | 2:42pm
: Sang helang berterbangan bebas di angkasa raya sebelum meluru laju untuk menyambar makanan di Kuala Sepetang.- NSTP/Hassan Omar
: Sang helang berterbangan bebas di angkasa raya sebelum meluru laju untuk menyambar makanan di Kuala Sepetang.- NSTP/Hassan Omar
: Nelayan bergerak turun ke laut di Kuala Sepetang.- NSTP/Hassan Omar
: Nelayan bergerak turun ke laut di Kuala Sepetang.- NSTP/Hassan Omar
Nelayan menangkap udang di Kuala Sepetang. - NSTP/Hassan Omar
Nelayan menangkap udang di Kuala Sepetang. - NSTP/Hassan Omar
Perkampungan nelayan di Kuala Sepetang. - NSTP/Hassan Omar
Perkampungan nelayan di Kuala Sepetang. - NSTP/Hassan Omar

Hati terhibur di Kuala Sepetang

Menyusuri sungai di Kuala Sepetang, Taiping, Perak Darul Ridzuan sambil menyaksikan sang helang berterbangan bebas di angkasa raya sebelum meluru turun dengan laju untuk menyambar makanan, terasa amat menghiburkan.

Ketika mentari kian meninggi di ufuk timur, segerombolan helang tidak mahu melepaskan peluang menikmati kulit ayam dilemparkan ke sungai yang menganjur ke Kuala Sepetang.

Sang burung pemangsa yang pada mulanya hanya dua ekor mengembangkan sayapnya di dada langit, semakin bertambah apabila semakin banyak kulit ayam dilemparkan ke sungai.

Daripada dua ekor, jumlah sang helang kian meningkat kepada kira-kira 10 ekor, lalu meluru dengan laju ke permukaan sungai bagi mendapatkan habuan yang diberikan penumpang bot yang kali pertama menyusuri sungai di kuala itu.

Sang bangau mencari makan di tebing sungai di Kuala Sepetang. - NSTP/Hassan Omar
Sang bangau mencari makan di tebing sungai di Kuala Sepetang. - NSTP/Hassan Omar

Bot nelayan susuri sungai Kuala Sepetang

Saat indah dan menghiburkan itu dinikmati pelancong ketika menaiki bot gentian kaca yang dikendalikan pengusaha bot pelancongan, Khairul Salleh Ahmad, 57, untuk menyusuri sungai di Kuala Sepetang, iaitu perkampungan nelayan Melayu dan Cina.

Kuala Sepetang dari aspek sejarah memiliki nama asal Port Weld. Bagi pelancong yang singgah di Bandar Taiping, hanya 15 minit diperlukan untuk memandu ke perkampungan nelayan itu.

Selepas puas menyaksikan sang helang mempamerkan kehebatan terbang bebas di angkasa raya dan meluru laju menyambar makanan, Khairul Salleh yang menamatkan kerjayanya sebagai guru kira-kira lima tahun lalu, mengemudi bot yang menggunakan enjin motor sangkut 150 kuasa kuda untuk meninjau keadaan di sungai kecil yang dipenuhi dengan deretan bot nelayan.

Selain bot nelayan untuk turun ke laut, tidak kurang juga bot yang dipasang dengan jaring yang berfungsi untuk menangguk udang kecil atau geragau di sepanjang sungai.

Tanpa perlu bot bergerak, jaring itu hanya menunggu geragau terperangkap di dalamnya sebelum nelayan mengangkatnya pada awal pagi selepas semalaman dibiarkan di dalam air.

Terhibur lihat ratusan bangau terbang

Ketika itulah pemandangan di kawasan sekeliling dihiasi dengan ratusan ekor bangau yang berterbangan mencari makan di tebing sungai dan kalau-kalau ada geragau yang bermain di permukaan sungai.

Putih tubuh sang bangau yang berderetan di sepanjang sungai bagaikan kilauan manik yang dijahit pada kain baldu hitam.

Pelancong berpeluang menyaksikan dari jauh puluhan sabak yang dibina pengusaha kayu arang yang memanfaatkan kayu bakau yang memenuhi hutan paya bakau di Kuala Sepetang.

Dikatakan pantai di Kuala Sepetang menganjur hingga ke Kuala Kurau dipenuhi dengan kayu bakau seluas kira-kira 1,000 hektar berfungsi sebagai sumber utama pembuatan kayu arang berkualiti tinggi oleh pelbagai syarikat swasta.

Dengan pengurusan hutan bakau efektif oleh Jabatan Perhutanan Perak, sumber berkenaan dipastikan tidak pupus akibat penebangan pokok bakau secara tidak terkawal.

Nikmati makanan laut yang segar

Dari dalam bot juga pelancong menyaksikan nelayan melakukan kerja memilih udang pelbagai saiz di pelantar bangsal nelayan, selain kerang.

Dikatakan Kuala Sepetang adalah antara habitat pembiakan kerang terbesar di Semenanjung yang benihnya dipastikan tidak pupus di bawah seliaan dan pemeliharaan Jabatan Perikanan Perak.

Bagi menghubungkan nelayan Cina di Kampung Seberang, Kerajaan Perak membina Jambatan Port Weld bagi menggantikan fungsi bot penambang.

Di atas pelantar halaman rumah mereka, pelancong menyaksikan kehidupan rutin keluarga terbabit yang kebanyakannya mengusahakan penangkapan udang, kerang dan ikan.

Untuk mendapatkan udang, ikan dan kerang segar, pelancong boleh mengunjungi pelantar nelayan di perkampungan nelayan Melayu dan Cina yang hidup dalam harmoni dengan bersumberkan hasil laut.

Nikmati hidangan makanan laut segar khususnya ikan bakar dan mi udang yang bagaikan sudah sinonim dengan Kuala Sepetang.

Khairul (kanan) memberi penjelasan mengenai pelbagai aspek ketika membawa pelancong menyusuri sungai di Kuala Sepetang.- NSTP/Hassan Omar
Khairul (kanan) memberi penjelasan mengenai pelbagai aspek ketika membawa pelancong menyusuri sungai di Kuala Sepetang.- NSTP/Hassan Omar

Berita Harian X