Rabu, 4 Januari 2023 | 3:56pm
15 penduduk kampung terpaksa menolak motosikal menyeberangi sungai untuk keluar ke bandar membeli pelbagai keperluan dan makanan. - NSTP/Paya Linda Yahaya
15 penduduk kampung terpaksa menolak motosikal menyeberangi sungai untuk keluar ke bandar membeli pelbagai keperluan dan makanan. - NSTP/Paya Linda Yahaya

Redah hutan, sungai untuk beli makanan

Di kala ramai mengambil peluang cuti sekolah ini, baru-baru ini untuk beristirahat bersama keluarga, bercuti atau melawat ke destinasi pelancongan, cerita berbeza dilalui oleh penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan kawasan lain yang terjejas akibat banjir teruk.

Selain harta benda musnah ditenggelami bah, ramai ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), ada penduduk di kawasan pedalaman terputus hubungan kerana jalan rosak, kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat.

Misalnya, inilah yang dilalui penduduk kampung Orang Asli Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.

Meskipun kawasan itu tidak mengalami banjir, kira-kira 1,400 keluarga di situ terputus hubungan kerana hujan berterusan selama seminggu menjadikan jalan berselut, berlumpur dan berlaku tanah runtuh sehingga sukar keluar kota bagi membeli bekalan makanan.

Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan jalan berselut hingga penduduk terputus hubungan. - NSTP/Paya Linda Yahaya
Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan jalan berselut hingga penduduk terputus hubungan. - NSTP/Paya Linda Yahaya

Malah, untuk keluar mereka perlu meredah hutan, sungai dan melalui jalan darat sejauh 100 kilometer (km) dari kampungnya ke bandar Gua Musang untuk membeli pelbagai keperluan terutama makanan.

Disebabkan jauh, mereka perlu berehat dan bermalam di tengah hutan dalam keadaan hujan renyai-renyai, selain bimbang mungkin diserang binatang liar tetap berlegar di minda.

Redah hutan, sungai ke bandar

Alah biasa tegal biasa. Bagi penduduk Orang Asli Pos Balar, Kamal Alek, 37, yang sentiasa murah senyuman ini, pengalaman meredah hutan dan jalan yang teruk sudah menjadi mainan.

"Malah, hujan lebat berterusan membuatkan laluan masuk ke Pos Balar, Pos Bihai dan Pos Belatim semakin rosak teruk, tambah pula paras air naik merisaukan, namun perlu keluar ke bandar dan pulang ke kampung.

Penduduk melepaskan leleh berehat dan tidur di khemah sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang dari Kampung Pos Balar. - NSTP/Paya Linda Yahya
Penduduk melepaskan leleh berehat dan tidur di khemah sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang dari Kampung Pos Balar. - NSTP/Paya Linda Yahya

"Saya bersama 30 penduduk kampung keluar ke bandar. Berbekalkan mi segera sebagai mengalas perut, kerana menjangka akan berhenti dan bermalam di tengah hutan disebabkan perjalanan masih jauh.

"Keesokan harinya pada jam 9 pagi kami meneruskan perjalanan ke bandar, kemudian melalui cabaran sama sebelum sampai di Pos Balar, kira-kira jam 3 petang," katanya.

Makan ubi kayu, sayuran

Menurut Kamal, pengalaman berdepan tanah runtuh di Pos Balar sesuatu yang menakutkan. Sebelum ini ada penduduk cuba ke bandar Gua Musang, terpaksa berpatah balik bagi mengelak tragedi buruk.

"Jadi, kami kena catu makan, iaitu hanya bergantung kepada ubi kayu dan sayuran," katanya.

Untuk mengelak keperluan barang seharian habis, Kamal bersama 15 penduduk kampung lain nekad ke bandar dengan menunggang 13 motosikal untuk membeli pelbagai keperluan untuk keluarga mereka.

"Setiba di Sungai Inching, masing-masing terpaksa mengusung motosikal untuk melepasi sungai itu meskipun cetek," katanya.

Usung motosikal redah sungai

Bagi Sari Din, 25, penduduk jati di kampung itu, menjelaskan hujan berterusan selama seminggu menyebabkan keadaan jalan berselut dan paras air sungai meningkat sehingga memaksa mereka mengangkat motosikal ketika meredah sungai itu.

"Kami keluar secara berkumpulan untuk memudahkan urusan membantu rakan lain bagi mengusung, menolak atau mengangkat motosikal yang tersangkut dalam lumpur.

Makan makanan segera sebagai pengalas perut dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke bandar untuk membeli makanan. - NSTP/Paya Linda Yahaya
Makan makanan segera sebagai pengalas perut dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke bandar untuk membeli makanan. - NSTP/Paya Linda Yahaya

"Kami bertolak dari kampung kira-kira jam 7 pagi dan sampai ke bandar ini jam 5 petang dan terpaksa bermalam di rumah tumpangan di bandar Gua Musang sebelum bertolak balik keesokan hari.

"Jadi kami mengambil masa kira-kira 20 jam untuk sampai ke rumah di Pos Balar," katanya.

Namun, ketika ini, penduduk menghela nafas lega, apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menghantar 21 tan pelbagai jenis makanan untuk keperluan 1,400 keluarga Orang Asli di kampung itu dengan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sudah dapat dibayangkan bagaimana keadaan di kampung Orang Asli yang pasti tanah merah menjadi becak, licin, berselut dan berlumpur ketika hujan.

Malah, penulis yang melalui detik mendebarkan apabila kenderaan pacuan empat roda (4X4) untuk membawa makanan dan lain-lain barang ke kampung itu tersangkut di tengah hutan.

Terpaksa kenderaan lain datang bantu menarik 4X4. Bukan mudah dan memerlukan masa sehingga berjam-jam untuk menarik kenderaan tersangkut di sebuah jambatan yang patah, selain jalannya licin dan becak.

Kemudian, jalan berlumpur perlu dibersihkan untuk melancarkan laluan, selain mengelak tayar penuh diselaputi lumpur.

Berita Harian X