Isnin, 26 Disember 2022 | 9:14am
Kajian empat daripada lima orang pelancong akan bercuti bersama keluarga. - Foto hiasan
Kajian empat daripada lima orang pelancong akan bercuti bersama keluarga. - Foto hiasan

Cuti bersama keluarga, rakan jadi trend

Selepas dunia dikejutkan dengan penularan COVID-19 sehingga memaksa pengenalan 'bersiri-siri' sekatan bagi membendung virus berkenaan, sektor pelancongan kembali rancak semula.

Berdasarkan tinjauan dilakukan platform tempahan penginapan pelancongan Agoda, sepanjang tahun ini, trend percutian berkumpulan seisi keluarga termasuk dengan rakan menjadi pilihan semula orang ramai di Malaysia.

Mengikut tinjauan berkenaan, pada cuti sekolah ini ternyata menjadi pendorong sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan negara terbabit.

Dapatan menerusi Tinjauan Trend Percutian Keluarga Agoda 2022 menunjukkan empat daripada lima orang pelancong akan bercuti bersama keluarga terdekat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ini kerana, walaupun melancong bersama rakan lebih popular berbanding bersama keluarga besar, namun data menunjukkan lebih separuh ataupun 52 peratus masih berminat untuk bercuti secara berkumpulan dengan saudara mara.

Trend ini berbeza dengan negara Asia lain, terutama negara seberang tambak, Singapura apabila tinjauan itu mendapati sebanyak 61 peratus pelancong republik itu gemar bercuti bersama keluarga mereka sekurang-kurangnya sekali.

Taiwan turut merekodkan perangkaan sama, manakala Vietnam dengan 59 peratus.

Sementara itu, pelancong dari Filipina (47 peratus), Indonesia (40 peratus) dan Malaysia (35 peratus) lebih cenderung untuk merancang dua atau lebih percutian bersama seisi keluarga pada tahun akan datang.

Bagi percutian bersama keluarga besar, pelancong dari Indonesia, Filipina dan Vietnam menduduki tiga tempat teratas, manakala pelancong Jepun, Korea serta Singapura paling tidak berkemungkinan untuk bercuti bersama seluruh keluarga mereka.

Naib Presiden Serantau, Asia Tenggara, Oceania dan Indianya, Enric Casals, menggambarkan trend percutian seluruh Asia Tenggara termasuk India dan negara rantai lain sebagai meriah, susulan pembukaan sektor itu.

"Semakin ramai, semakin meriah. Begitulah nampaknya trend percutian di seluruh Asia Tenggara, India dan juga di negara rantau lain apabila sektor pelancongan akhirnya dibuka semula di Asia.

Melancong ke luar negara ditemani bersama rakan popular dan jadi trend. - Foto/NSTP
Melancong ke luar negara ditemani bersama rakan popular dan jadi trend. - Foto/NSTP

"Tinjauan ini menunjukkan orang ramai ingin ditemani oleh rakan-rakan atau saudara mara semasa percutian, dengan lebih daripada 80 peratus pelancong merancang untuk melancong bersama keluarga terdekat dan 52 peratus memilih untuk melancong bersama saudara mara lain juga," katanya.

Dari segi pemilihan tempat penginapan pula, mendapati terdapat kecenderungan dalam kalangan pelancong sama ada bersama keluarga atau berkumpulan mencari percutian yang memberikan lebih nilai kepada perbelanjaan wang mereka.

Justeru, mereka akan memilih penginapan bajet, sewaan percutian dan pusat peranginan yang menawarkan pakej lengkap.

Tinjauan mendapati pelancong Filipina (59 peratus), India (44 peratus) dan Korea Selatan (38 peratus) memberikan keutamaan yang tinggi untuk hotel mesra bajet.

Bagi pelancong Indonesia (42 peratus), Malaysia (39 peratus) dan Taiwan (38 peratus), mereka lebih cenderung untuk memilih penginapan sewaan yang menawarkan kemudahan tambahan seperti dapur atau ruang tinggal dan tidur yang berasingan.

Dapatan ini berbeza dengan hampir separuh daripada pelancong Jepun (43 peratus) yang mengutamakan rangkaian hotel sebagai penginapan pilihan mereka dan 34 peratus pelancong Thailand lebih cenderung untuk memilih kemudahan pusat peranginan yang menawarkan pakej lengkap.

"Pelancong berkeluarga lazimnya mempunyai keperluan yang lebih kompleks apabila memilih penginapan semasa percutian.

"Mereka memerlukan ruang penginapan yang lebih luas, mungkin dengan kemudahan memasak seperti yang ditawarkan oleh kami, atau perkhidmatan seperti penjagaan anak, kelab kanak-kanak, katil tambahan atau bilik bersambung yang ditawarkan oleh hotel mesra keluarga.

Pelancong berkeluarga lazimnya mempunyai keperluan lebih kompleks apabila memilih penginapan semasa percutian. - Foto/NSTP
Pelancong berkeluarga lazimnya mempunyai keperluan lebih kompleks apabila memilih penginapan semasa percutian. - Foto/NSTP

"Ketersediaan platform yang menawarkan khidmat carian dan tempahan bagi penginapan, penerbangan, pengangkutan dan aktiviti menyeronokkan di destinasi percutian, memudahkan urusan perancangan perjalanan mereka dan memberikan lebih banyak masa untuk berehat sambil menikmati masa bersama orang tersayang," katanya.

Sektor pelancongan berkembang

'Perang' terhadap COVID-19 yang masih belum tamat turut mengundang kebimbangan dalam kalangan pelancong walaupun masa depan sektor pelancongan semakin optimis dan pertumbuhannya mengatasi tahap sebelum pandemik COVID-19.

Data diperoleh pihaknya menunjukkan sebanyak 77 peratus pelancong dari serata dunia masih bimbang terhadap penutupan semula sempadan antarabangsa semasa mereka berada di luar negara.

Lebih ramai pelancong dari pasaran yang baru dibuka tidak lama dahulu, iaitu Korea Selatan dan Jepun, menzahirkan kebimbangan mereka berbanding pasaran yang menghapuskan sekatan sempadan dengan segera termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia dan India.

Berita Harian X