Isnin, 30 Mei 2022 | 10:15am
Pendaratan penyu karah dan agar di pantai Port Dickson jadi tarikan baharu. - Foto/Mohd Amin Jalil
Pendaratan penyu karah dan agar di pantai Port Dickson jadi tarikan baharu. - Foto/Mohd Amin Jalil

Penyu PD pulang bertelur

RANTAU Abang di Terengganu begitu sinonim dengan lokasi pendaratan penyu bertelur sehingga lokasi berkenaan menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Walaupun pendaratan haiwan itu dikatakan sudah semakin berkurangan kebelakangan ini, namun tetap menjadi destinasi pilihan pelancong untuk mencuba nasib menyaksikan sendiri penyu merangkak di pantai dan menguis pasir untuk bertelur.

Suasana itu, kini dapat dirasakan pengunjung di pantai peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan walaupun tidak sehebat di Rantau Abang atau di kawasan pantai lain di negara ini.

Sebenarnya, suatu ketika dulu Port Dickson (PD) dikatakan pernah jadi medan pendaratan penyu terutama pada era 70-an dan 80-an, namun disebabkan pembangunan yang pesat di pantai berkenaan ketika itu, penyu dikatakan 'merajuk' untuk mendarat.

Pengunjung tidak lepaskan peluang menyaksikan pendaratan penyu di Pantai Port Dickson . - Foto/Mohd Amin Jalil
Pengunjung tidak lepaskan peluang menyaksikan pendaratan penyu di Pantai Port Dickson . - Foto/Mohd Amin Jalil

Bagaimanapun, suasana itu berubah dan penyu dilihat tidak lagi 'merajuk' apabila Port Dickson mula menjadi sebahagian lokasi pendaratan untuk penyu bertelur berdasarkan kepada populasinya yang kian meningkat sejak 2016.

Fokus pemuliharaan penyu

Berdasarkan sumber daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), terdapat sebanyak 1,847 biji telur penyu ditemukan sepanjang pantai Port Dickson, tahun lalu.

Menyedari keadaan itu, kerajaan Negeri Sembilan memberi fokus utama dalam aktiviti pemuliharaan penyu kerana ia boleh dijadikan daya tarikan pelancong ke pantai popular berkenaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir, kepupusan reptilia terancam ini sangat membimbangkan kerana ia satu daripada khazanah laut berpotensi menjadi daya tarikan pelancong di Port Dickson.

"Aktiviti membabitkan penyu ini dapat memberi pendapatan kepada negeri ini. Orang ramai boleh mengambil peluang melihat penyu tanpa perlu semata-mata ke Terengganu.

"Oleh itu, usaha menjaga dan mengawal haiwan ini perlu diberi perhatian terutama dari aspek pemuliharaan dan memastikan keadaan habitat marin ini tidak diganggu," jelasnya.

Justeru, sokongan penuh dilakukan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) secara proaktif dalam usaha menyelamat dan memulihara penyu.

Ketika ini, hanya terdapat tiga pemungut telur penyu berdaftar termasuk pihak Glory Beach Resort yang diberi kebenaran bersyarat menjalankan peranan konservasi atas tujuan pemuliharaan spesies berkenaan.

Bakir (tengah) ketika melepaskan penyu di perairan Port Dickson. - Foto/Mohd Amin Jalil
Bakir (tengah) ketika melepaskan penyu di perairan Port Dickson. - Foto/Mohd Amin Jalil

"Glory Beach Resort adalah satu-satunya pihak swasta di Semenanjung yang diberi kebenaran untuk menjalankan aktiviti pengeraman telur di tempat penetasan selain galeri pameran.

"Mereka disyor melepaskan penyu berusia lebih lima tahun bagi membolehkan haiwan berkenaan membiak dan mencari makan dengan sendiri," katanya.

Jaga ekosistem marin

Namun, bagi memastikan pemuliharaan penyu ini mencapai objektifnya, Bakri meminta orang ramai agar supaya bersama-sama menjaga ekosistem marin dengan tidak membuang sampah ke laut atau sebarang aktiviti yang boleh mengganggu kehidupan laut itu.

Pada masa sama, semua pihak termasuk masyarakat perlu melaporkan sebarang kegiatan tertentu yang boleh menjejaskan kawasan berkenaan, selain memaklumkan jika terdapat penyu mati terdampar atau menetas di sepanjang pantai di negeri ini.

"Usaha meningkatkan pengawasan itu diharap dapat meningkatkan semula populasi hidupan laut di negeri ini," katanya.

Program tambah populasi penyu

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen, berkata penyu sudah semakin kerap dilihat naik bertelur di beberapa lokasi sepanjang pantai Port Dickson antara Mac hingga September setiap tahun.

Walaupun jumlah penyu yang mendarat dan bertelur ditemukan adalah kecil, namun kawasan pantai Port Dickson dilihat lokasi yang baik untuk habitat haiwan itu.

"Tidak ramai yang mengetahui populasi penyu agak baik di Port Dickson dan kita sentiasa buat program pemuliharaan kerana ia penting bagi menangani kepupusan reptilia terancam ini.

"Telur-telur penyu ini kami ambil dari sarangnya untuk ditetaskan di Pusat Ikan Hiasan (PIH) di Telok Kemang," katanya.

Dalam tempoh sebulan, iaitu antara 11 Mac hingga 19 April lalu, sebanyak 489 biji telur penyu ditemukan, namun rekod penemuan telur haiwan itu di pantai berkenaan pernah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 2,500 biji pada 2016.

Selepas itu ia menunjukkan penurunan apabila pada 2017 merekodkan sebanyak 1,800 biji, 2018 (1,700), 2019 (1,600), 2020 (1,500) dan 2021 sebanyak 1,847 biji telur.

Penyu ditetaskan, dilepaskan ke habitat asal

Beliau akui terdapat banyak faktor menyebabkan pengurangan itu terutama dari aspek gangguan termasuk aktiviti memancing kerana haiwan itu sensitif.

Beberapa lokasi pantai tempat pendaratan penyu antaranya pantai Tanjong Gemuk, Tanjung Tuan, Bagan Pinang, Pantai Purnama dan Teluk Kemang. - Foto/Mohd Amin Jalil
Beberapa lokasi pantai tempat pendaratan penyu antaranya pantai Tanjong Gemuk, Tanjung Tuan, Bagan Pinang, Pantai Purnama dan Teluk Kemang. - Foto/Mohd Amin Jalil

"Namun, jika dinilai jumlah bilangan telur ditemukan amat memberangsangkan mengambil kira perairan pantai Port Dickson yang tidak panjang berbanding pantai negeri lain seperti Melaka," katanya.

Telur penyu itu akan dibawa ke PIH untuk penetasan dalam tempoh 45 hingga 60 hari dan anak penyu akan dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Beliau berkata, PIH aktif menjalankan usaha konservasi penyu sebagai langkah menangani kepupusan haiwan marin berkenaan.

Menurutnya, terdapat undang-undang subsidiari di bawah Akta Perikanan 1985 yang terpakai dan berkuatkuasa di Negeri Sembilan iaitu Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu & Telur Penyu) 1976.

"Hal ehwal pengurusan pemuliharaan penyu serta telur-telurnya terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri, khusus melindungi spesies reptilia terancam ini.

"Kami berharap menerusi pelbagai usaha dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya menghargai dan menjaga ekosistem marin agar tidak tercemar dan mengelakkan kepupusan biodiversiti di perairan Port Dickson," katanya.

Spesies karah dan agar makin pupus

Optimis untuk menjadikan Port Dickson terus sebagai destinasi pelancongan pilihan Pengurus Pusat Pemuliharaan dan Penetasan Penyu Glory Beach Resort, Hishamudin Abdul Manap, pihaknya akan lebih kerap membuat rondaan di beberapa lokasi pantai yang dikenal pasti tempat pendaratan penyu antaranya pantai Tanjong Gemuk, Tanjung Tuan, Bagan Pinang, Pantai Purnama, Teluk Kemang.

Menurutnya, pihaknya perlu segera mengutip telur haiwan itu untuk dibawa ke pusat pemuliharaan dan penetasan bagi mengelak menjadi mangsa binatang pemangsa seperti anjing, gagak dan biawak, selain tindakan pihak tertentu tidak bertanggungjawab untuk kepentingan sendiri.

"Kesedaran dan kerjasama daripada orang ramai penting dalam usaha pemuliharaan penyu spesies karah dan agar yang semakin pupus.

"Kami berharap pengunjung pantai atau nelayan yang terlihat atau terjumpa telur penyu atau sarang haiwan itu perlu segera menghubungi kami atau Jabatan Perikanan supaya ia dapat diselamatkan," katanya.

Info:

Mengenai penyu:

* Terdapat tujuh spesies penyu, iaitu penyu hijau, penyu tempayan, penyu karah, penyu pipih, penyu belimbing, penyu lipas dan penyu kemp.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) dibina oleh Jabatan Perikanan dan diuruskan oleh Pejabat Perikanan Negeri.

* PKPP bertujuan sebagai pusat informasi, pembelajaran, tempat perlindungan, penetasan dan penyelidikan mengenai penyu.

* PKPP dijadikan pusat rawatan penyu yang dijumpai terdampar dan tercedera sebelum dilepaskan semula ke laut.

* Pada 2021, sebanyak 7,378 sarang pendaratan penyu direkodkan di seluruh negara

* Sebanyak 582,096 biji dieramkan

* Sebanyak 432,321 anak penyu dilepaskan ke habitat asalnya

Berita Harian X