Isnin, 28 March 2022 | 10:01am
Lokasi persinggahan burung hijrah dan burung air tempatan di sekitar Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad
Lokasi persinggahan burung hijrah dan burung air tempatan di sekitar Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad

Burung hijrah terbang 10,000 km cari tempat persinggahan

KEMUNCULAN lebih 15,000 ekor burung hijrah pelbagai spesies dan aneka warna di beberapa lokasi tumpuan di negara ini, pada bulan tertentu menambah panorama indah alam yang mempesonakan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pernah merekodkan terdapat sebanyak 192 spesies meliputi spesies burung hijrah dan spesies burung residen ditemui sepanjang tahun di beberapa kawasan di Malaysia.

Sesetengah burung ini terbang sejauh 10,000 kilometer (km) dari serata dunia ketika musim penghijrahan.

Tiga lokasi menjadi tiga senarai teratas tumpuan persinggahan burung pantai hijrah untuk berehat, memulihkan tenaga dan menjadi tempat perlindungan bagi mengelak musim sejuk di negara asal mereka.

Lokasi itu adalah di Kapar, Klang (Selangor); Teluk Air Tawar-Kuala Muda (Pulau Pinang) dan Teluk Bako-Buntal (Sarawak), sekali gus boleh diangkat sebagai kawasan ekopelancongan.

Nur Munira Azman.
Nur Munira Azman.

Penyelaras Projek Burung Pantai Semenanjung Malaysia, Dr Nur Munira Azman, berkata semua kawasan pesisiran pantai di negara ini sebenarnya menjadi tempat persinggahan burung pantai hijrah.

Bagaimanapun, katanya tiga lokasi berkenaan difahamkan paling utama dan merekodkan jumlah kedatangan burung pantai hijrah yang banyak setiap kali tibanya musim migrasi antara Julai hingga April.

"Semua persisiran pantai di negara ini sebenarnya ada burung pantai hijrah yang membuat persinggahan, tetapi tidak banyak kerana mungkin hidupan marin dekat situ tidak sesuai untuk mereka.

"Ini berlaku seperti di Kuala Gula, Perak yang sebelum 2004, lokasi itu paling banyak merekodkan jumlah burung pantai hijrah tetapi kini tidak lagi seperti dulu," katanya.

Tsunami 2014 jejaskan kedatangan burung hijrah.

Nur Munira berkata, Kuala Gula, Perak yang dahulunya menjadi lokasi tumpuan kini selepas perubahan dataran lumpur berikutan tsunami pada 2004 menjadikan kedatangan burung pantai hijrah semakin berkurangan.

"Sebelum Teluk Air Tawar-Kuala Muda, memang Kuala Gula menjadi lokasi yang paling banyak merekodkan persinggahan burung pantai hijrah kerana dataran lumpur yang sangat luas.

Teluk Air Tawar-Kuala Muda, Penaga kini umpama ‘restoran 5 bintang’ burung hijrah mencari makanan. - NSTP/Danial Saad
Teluk Air Tawar-Kuala Muda, Penaga kini umpama ‘restoran 5 bintang’ burung hijrah mencari makanan. - NSTP/Danial Saad

"Namun, kejadian tsunami yang berlakunya ombak besar menyebabkan dataran lumpur berubah dan dikatakan tidak sesuai lagi untuk burung pantai hijrah berehat memandangkan ketandusan sumber makanan.

"Aktiviti akuakultur semakin banyak di kawasan berhampiran juga dipercayai menjadi punca kekurangan burung pantai hijrah, selain pencemaran dilakukan penduduk setempat di sekitar kawasan paya bakau," katanya.

Burung pantai hijrah unik

Beliau hanya melakukan penyelidikan di kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda, namun mengetahui mengenai keadaan di lokasi lain melalui rakan-rakan penyelidik termasuk menyertai program yang diadakan situ.

Burung bangau besar antara ditemui di kawasan persinggahan burung hijrah di Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad
Burung bangau besar antara ditemui di kawasan persinggahan burung hijrah di Teluk Air Tawar dan Kuala Muda, Penaga. - NSTP/Danial Saad

"Mengikut penyelidikan saya dan rakan-rakan, tiga lokasi ini sahaja yang masih banyak dikunjungi burung pantai hijrah.

"Untuk pengetahuan, burung pantai hijrah ini unik kerana di negara asal, mereka hanya makan buah dan serangga kerana mereka duduk di atas padang rumput.

"Namun apabila mereka berhijrah, diet mereka berubah apabila mereka memakan makanan marin seperti cacing, ketam dan ikan kerana mereka berada di pesisir pantai," katanya.

Burung helang merah melintasi nelayan di kawasan tempat persinggahan burung-burung berhijrah dan burung air tempatan di sekitar kawasan Teluk Air Tawar dan Kuala Muda. - NSTP/Danial Saad
Burung helang merah melintasi nelayan di kawasan tempat persinggahan burung-burung berhijrah dan burung air tempatan di sekitar kawasan Teluk Air Tawar dan Kuala Muda. - NSTP/Danial Saad

Berita Harian X