Keistimewaan gunung jarang menjadi bualan kecuali dalam komuniti pendaki tegar atau individu yang sukakan cabaran dan menjadi sebahagian daripada tarikan industri pelancongan.
Selain sinonim dengan aktiviti panjat gunung dan sukan ekstrem, sebenarnya masih terdapat banyak tarikan istimewa gunung yang belum dibicarakan.
Apa istimewanya gunung? Ternyata gunung adalah sebagai 'pasak' kepada alam semula jadi dan bukan hanya dibuktikan melalui pengkajian sains, sebaliknya sudah lebih awal dibicarakan dalam al-Quran serta hadis.
Malah, bagi sesetengah kaum gunung yang terbentuk disebabkan pertembungan pergerakan kerak bumi dianggap sebagai ciptaan yang suci.
Jadi, tidak menghairankan mengapa 11 Disember setiap tahun dipilih Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hampir dua dekad lalu sebagai Hari Gunung Antarabangsa.
Meskipun tarikh itu agak asing bagi kebanyakan masyarakat, Disember dipilih sebagai bulan istimewa bagi mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan gunung kepada kehidupan.
Gunung jadi pasak bumi
Menurut Pakar Kreatif Ekonomi dan Pengurusan Pelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Siti Suriawati Isa, kewujudan gunung sangat penting dan memberikan impak besar kepada manusia dan alam semula jadi sejak sekian lama.
Berfungsi sebagai pasak bumi, gunung melindungi dan mengimbangi kawasan setempat daripada bencana alam yang dahsyat.
Gunung juga mengawal suhu kawasan selain menjadi tempat berlindung pelbagai jenis kehidupan terutama apabila bencana seperti banjir berlaku.
"Gunung kaya dengan pelbagai biodiversiti dan berfungsi sebagai sumber tadahan air bersih semula jadi untuk pelbagai kegunaan kehidupan di atas muka bumi termasuk bagi aktiviti rekreasi, bidang pertanian, sumber elektrik dan pelancongan.
"Gunung mewujudkan keseimbangan kehidupan muka bumi dan perlu dihormati. Tanpanya, bencana dahsyat akan berlaku," katanya.
Sumber tarikan destinasi pelancongan
Siti Suriawati berkata, satu persamaan yang sangat signifikan mengenai peranan gunung sama ada di dalam dan luar negara ialah ia dijadikan sumber tarikan destinasi pelancongan.
Gunung Everest tertinggi di dunia - 8,849 meter (m), misalnya menjadi tarikan penting pelancong dan pendaki di seluruh dunia bukan sahaja di China malah India, Nepal serta Tibet yang terletak di utara gunung tertinggi, Himalaya.
Selain ketinggian gunung, aspek lain seperti kajian geografi, keagamaan dan kebudayaan turut menjadi tarikan pelancong.
"Gunung Kilimanjaro, iaitu gunung kelima tertinggi di dunia terletak di Tanzania, menjadi tarikan dan disifatkan tidak memerlukan kemahiran teknikal tinggi serta peralatan pendakian yang rumit untuk 'ditawan' dibandingkan tujuh gunung tertinggi lain," katanya.
Lihat kejadian geografi, biodiversiti
Di Malaysia, Gunung Kinabalu (4,095 m) dan Gunung Tahan (2,187 m) turut dijadikan tarikan pelancongan utama.
Selain menawan puncak gunung, pelancong dan pendaki juga dapat melihat kejadian muka bumi atau geografi serta biodiversiti yang dimilikinya.
"Kedua-duanya mempunyai keadaan muka bumi berlainan. Gunung Tahan dipenuhi hutan hujan Tropika sehingga ke puncaknya, disifatkan lebih sukar didaki berbanding Gunung Kinabalu yang berbatu.
"Pendaki Gunung Tahan terpaksa berdepan hutan tebal dan mengharungi beberapa batang sungai untuk sampai ke kemuncak," katanya.
Sebagai kawasan pertanian
Selain sebagai tarikan pelancongan kawasan pergunungan juga boleh digunakan sebagai kawasan pertanian.
Bagaimanapun, pembangunan dilaksanakan sepatutnya dibuat secara mampan dan lestari bagi mengelakkan kemusnahan alam sekitar.
Ia boleh diganti dengan bahan mesra alam seperti buluh yang kukuh, tahan lama dan daripada sumber semula jadi berbanding konkrit.
"Aktiviti pertanian di kawasan pergunungan perlu dilakukan secara kecil-kecilan dan bukan dengan membuka ladang besar untuk tujuan komersil.
"Sebaiknya, tanam tumbuhan sesuai dengan keadaan topografi dan muka bumi gunung yang dapat mencegah hakisan tanah serta 'mencengkam' bumi.
"Justeru, perlu lebih banyak kajian, penyelidikan dijalankan mengenai pokok sesuai ditanam bagi tujuan pertanian supaya tidak menjejaskan alam semula jadi di kawasan pergunungan," katanya.