Rabu, 8 September 2021 | 11:15am
Besi penghadang jambatan ada lubang berongga dipercayai terkena tembakan ketika ‘Battle of Slim’. - Foto/Rosman Shamsudin
Besi penghadang jambatan ada lubang berongga dipercayai terkena tembakan ketika ‘Battle of Slim’. - Foto/Rosman Shamsudin

Lubang berongga 'Battle of Slim'

BANYAK kesan peninggalan tapak sejarah dapat dilihat pada zaman penjajah menduduki Tanah Melayu di pelbagai lokasi sehingga hari ini.

Di Pulau Pinang terdapat Kota Lama dan kubu Cornwallis berusia lebih 200 tahun dibina di tepi laut dan dipenuhi deretan meriam menghala ke laut ketika pendaratan Sir Francis Light.

Di Melaka, terdapat Kota A Famosa menjadi bukti keruntuhan kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pada 1511.

Di Perak, terdapat juga kesan bersejarah ketika zaman penjajah British dan Jepun

menduduki Tanah Melayu termasuk dalam peristiwa pertempuran yang dikenali 'Battle Of Slim', berlaku di Slim River dan kawasan sekitar.

Pertempuran pada 7 Januari 1942 itu, mengorbankan 1,000 orang dan sebanyak 23 laras meriam berat, enam laras meriam antipesawat, 50 kereta perisai dan 550 lori pengangkutan tentera musnah dan ditawan tentera Jepun.

Tragedi pertempuran singkat antara tentera Jepun dengan British sehingga terkenal dalam sejarah penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Bukti dan kesan perang

Ketua Penyelidik dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad berkata bukti pertempuran itu dapat dilihat di Jambatan Slim Village dan masih teguh di tapak sebenar kejadian sehingga kekal ke hari ini.

Tiang konkrit menjadi benteng Jambatan Slim Village masih teguh pernah jadi tempat pertempuran ‘Battle of Slim’.- Foto/Rosman Shamsudin
Tiang konkrit menjadi benteng Jambatan Slim Village masih teguh pernah jadi tempat pertempuran ‘Battle of Slim’.- Foto/Rosman Shamsudin

Katanya, ada kesan pertempuran sengit berlaku antara kedua-dua tentera itu di atas jambatan itu dipercayai akibat senjata digunakan dalam peperangan berkenaan.

"Kesan dapat dilihat pada beberapa tiang konkrit menjadi benteng jambatan. Kesan serpihan itu dipercayai akibat terkena tembakan dalam peristiwa berkenaan.

"Malah, pada besi penghadang jambatan juga terdapat lubang berongga dipercayai akibat terkena tembakan dengan senjata api dan kesannya kekal hingga hari ini," katanya.

Papan tanda maklumat

Justeru, bagi mengekalkan kesan berkenaan, papan tanda maklumat dipasang kira-kira 50 meter daripada Jambatan Slim Village, menjadi tempat pertempuran sengit antara tentera British dan Jepun.

Pemasangan papan tanda maklumat adalah usaha sama Persatuan Sejarah Malaya (MHG), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Persatuan Warisan dan Sejarah Perak serta Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

Papan Tanda Informasi ' Battle Of Slim' di hadapan Balai Polis Slim Village bakal menjadi tarikan pelancong.Foto/Rosman Shamsudin
Papan Tanda Informasi ' Battle Of Slim' di hadapan Balai Polis Slim Village bakal menjadi tarikan pelancong.Foto/Rosman Shamsudin

Peristiwa ' Battle Of Slim' kini terpahat dalam bentuk papan tanda maklumat bagi memperingati peristiwa bersejarah itu.

Katanya, terdapat 16 lokasi di Perak mempunyai kesan Perang Dunia Kedua perlu dipulihara supaya tidak pupus dan lenyap ditelan zaman.

"Papan maklumat dipasang berhampiran jambatan selepas kita membuat kajian terperinci membabitkan banyak pihak termasuk pengkaji sejarah dari dalam dan luar negara.

"Ia mempunyai catatan sejarah penting termasuk lokasi laluan tentera Jepun dan British dalam peristiwa bersejarah itu," katanya.

Ia juga memaparkan maklumat peristiwa yang menjadi titik tolak kekalahan British dalam Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu khususnya di Perak.

Jadi tarikan pelancong

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata papan tanda itu bertujuan menonjolkan tapak warisan sejarah.

Katanya, peristiwa pertempuran pada jambatan itu boleh menjadi tarikan pengunjung untuk melihat secara lebih dekat kesan peperangan itu.

"Pemasangannya boleh diterjemahkan dalam konsep Muzium Terbuka sebagai peringatan dan maklumat.

"Kita sentiasa menjulang sejarah negara yang tidak ternilai harganya," katanya.

Tapak warisan bersejarah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang juga anak watan kampung itu, Mohd Zaidi Aziz berkata sebelum ini ada papan tanda maklumat tetapi sudah rosak dimakan usia.

Kesan peperangan antara askar British dan Jepun di atas Jambatan Slim Village masih lagi jelas kelihatan. - Foto/Rosman Shamsudin
Kesan peperangan antara askar British dan Jepun di atas Jambatan Slim Village masih lagi jelas kelihatan. - Foto/Rosman Shamsudin

Tapak warisan sejarah terutama Jambatan Slim Village menjadi lokasi pertempuran perlu dikekalkan untuk tatapan generasi muda.

"Ini penting supaya mereka menghargai jasa dan sumbangan perwira dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.

"Papan tanda maklumat boleh dijadikan bukti dan rujukan penduduk setempat dan pengkaji sejarah mengenai peristiwa berlaku di kampung ini," katanya.

Menjadi tanggungjawab penduduk setempat memulihara kesan peninggalan sejarah sebagai iktibar dan teladan pada masa kini dan depan.

Info

'Battle Of Slim'

* Pertempuran pada 1942 antara tentera British dan Jepun, di Slim River

* Ada 16 lokasi kesan Perang Dunia Kedua di Perak

* Papan tanda maklumat dibina untuk memperingati peristiwa bersejarah.

* 'Battle Of Slim' menyaksikan 1, 000 orang terkorban.

Berita Harian X