Selasa, 13 April 2021 | 10:43am
Penerokaan hutan, pemburu haram dan kurang sumber makanan antara punca ancaman terhadap kepupusan Harimau Malaya. - Foto Ihsan PERHILITAN
Penerokaan hutan, pemburu haram dan kurang sumber makanan antara punca ancaman terhadap kepupusan Harimau Malaya. - Foto Ihsan PERHILITAN

'Permaisuri rimba' penyelamat harimau belang pupus

KETANGKASAN, kecekapan memburu dan kegagahan harimau belang acap kali diangkat sebagai lambang keberanian, sehingga ia diabadikan pada Jata Negara.

Haiwan rasmi ini dulunya dinobat oleh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, sebelum dijadikan lambang Malaysia yang terkenal dengan khazanah alam dan kepelbagaian biologi.

Tatkala rakyat Malaysia bermegah dengan karisma 'raja rimba', ramai seakan alpa dan memandang enteng mengenai ngauman harimau belang yang saban hari sayup-sayup kedengaran di dalam hutan belantara, angkara diancam risiko kepupusan.

Populasi harimau belang di Malaysia dikategorikan sebagai sangat terancam mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), malah keadaan sama dicerminkan menerusi Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) 2015.

Pada 2014, populasi harimau belang dianggarkan antara 250 hingga 340 ekor, namun menerusi Tinjauan Harimau Kebangsaan (NTS) yang julung kalinya dilaksanakan dalam skala besar di hutan-hutan Central Forest Spine (CFS), antara 2016 hingga 2020 menunjukkan bilangan mamalia ini merudum sehingga kurang daripada 200 ekor.

Keadaan ini menunjukkan bahawa harimau belang sedang mengalami penurunan populasi yang sangat membimbangkan dan spesies ini dijangka mengalami kepupusan dalam tempoh singkat, sekiranya tiada tindakan segera diambil oleh semua pihak bagi tujuan pemuliharaannya.

Pemuliharaan perlu dilakukan secara agresif babitkan pelbagai pihak bagi memastikan haiwan rimba ini yang berhadapan ancaman kepupusan dijangka dalam tempoh 10 tahun lagi.
Pemuliharaan perlu dilakukan secara agresif babitkan pelbagai pihak bagi memastikan haiwan rimba ini yang berhadapan ancaman kepupusan dijangka dalam tempoh 10 tahun lagi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, harimau belang betina yang bersedia mengawan akan menarik perhatian harimau belang jantan dengan mengeluarkan bunyi vokal yang unik sepanjang hari.

'Si permaisuri rimba' akan memilih harimau belang jantan yang mempunyai kekuatan atau paling kuat sahaja untuk mengawan.

Bilangan sedikit populasi harimau belang betina akan mempengaruhi kadar bilangan mengawan seterusnya mengurangkan kadar kelahiran anak baharu.

Antara faktor lain mempengaruhi aktiviti mengawan ialah umur harimau belang, berkemungkinan sudah tua atau sakit dan tidak berupaya untuk mengawan.

Ancaman kepupusan

Beberapa faktor turut mengundang kebimbangan ancaman kepupusan harimau belang, antaranya kehilangan habitat dan fragmentasi hutan.

Kekurangan sumber makanan, terutama Rusa Sambar, kegiatan pemburu haram dan penyakit zoonotik dikenal pasti antara faktor pendorong kepupusan harimau belang.

"Seekor harimau belang memerlukan sekurang-kurangnya antara 25 hingga 50 ekor Rusa Sambar untuk dimakan dalam setahun di dalam hutan," kata Abdul Kadir.

Kekang pemburu haram

Justeru, PERHILITAN kini sedang mempergiat usaha untuk meningkatkan bilangan Rusa Sambar dalam kurungan iaitu di Pusat Konservasi Hidupan Liar di Gua Musang, Kelantan dan di Sungkai, Perak.

"Rusa Sambar yang dibiakkan akan dilepaskan semula ke habitat liar. Ini bertujuan meningkatkan bilangan populasi dan menyediakan makanan mencukupi untuk harimau belang," katanya.

Bagi membendung kegiatan pemburu haram dan pemasangan jerat, PERHILITAN bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain melaksanakan operasi bersepadu.

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di dalam Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3), dengan pembabitan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negeri Perak dan Johor serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berupaya meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta 716.

Abdul Kadir Abu Hashim. - Foto NSTP
Abdul Kadir Abu Hashim. - Foto NSTP

"Tahun lalu, OBK diperluaskan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia di dalam perkongsian makluman perisikan dan penyeludupan antarabangsa, selain aktiviti penguatkuasaan dan kawalan di pintu masuk Malaysia," katanya.

RM4.55 juta nilai sitaan

Pada 2019 hingga tahun lalu, melalui 27 siri operasi OBK dan sebanyak 112 kertas siasatan dibuka, membabitkan 222 orang pesalah jenayah, manakala sebanyak 1,132 jerat berjaya dimusnahkan.

Jumlah keseluruhan nilai sitaan ialah RM4.55 juta. Setakat Mac lalu tiga siri operasi dijalankan dan 19 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah babitkan 43 orang pesalah, iaitu 35 warga tempatan dan lapan rakyat asing, dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan sebanyak RM 656,000.

Sepanjang OBK 2021, sebanyak 104 jerat dimusnahkan, 15 kesan khemah pendatang tanpa izin (PATI), 10 kesan tebangan pokok karas serta 51 kesan pemburuan lain direkodkan.

Usaha konservasi harimau

Mulai Jun tahun lalu, BP3 diperkukuhkan menerusi pembabitan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Orang Asli (OA) dikenali sebagai program VeTOA, bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.

Siri kegiatan ini didalangi warga tempatan dan asing, yang turut menjalankan sindiket terancang di dalam kawasan perlindungan PERHILITAN serta Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Program VeTOA diteruskan tahun ini dengan pelantikan 600 renjer hidupan liar. Sekiranya penerokaan hutan terus meningkat tanpa kawalan, risiko kepupusan harimau belang dikhuatiri bertambah cepat.

"Kini usaha konservasi harimau dan hidupan liar, digembleng oleh kerajaan seperti CFS, BP3, Kempen Selamatkan Harimau Malaya dan beberapa program lain berkaitan.

"Kita jaga kawasan perlindungan sedia ada ketika ini diuruskan PERHILITAN seperti Taman Negara merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan, rizab hidupan liar serta kawasan tanah lembap di Semenanjung," katanya.

Berita Harian X