X
Isnin, 12 April 2021 | 10:33am
Harimau betina diberi jolokan ‘Fearless’ dan anaknya. - Foto Ihsan WFF-Malaysia
Harimau betina diberi jolokan ‘Fearless’ dan anaknya. - Foto Ihsan WFF-Malaysia

Ngauman 'pak belang' di belantara semakin sepi

KELIBAT seekor harimau belang betina, diekori deretan anaknya yang seakan masih 'bertatih' sudah cukup memberi sinar harapan ke arah kelangsungan haiwan kebanggaan Malaysia ini.

Tatkala diburu, dijerat, habitat diceroboh dan berdepan ancaman kepupusan, 'sang belang' sebenarnya cuba menyampaikan mesej tertentu kepada manusia menerusi imej dirakam oleh perangkap kamera sedemikian.

Menurut Pengurus Pemuliharaan Habitat Harimau, Program Pemuliharaan Harimau Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia), Christopher Wong, imej harimau betina, dengan jolokan nama 'Fearless' (sang berani) itu dirakam kali terakhir sekitar 2015 dan 2016, di sekitar Belum-Temengor, Perak.

Berbekalkan pengalaman luas merintis usaha pemuliharaan spesies harimau Panthera tigris jacksoni, Fearless dikenal pasti menerusi corak jalur unik belang pada badannya pertama kali dirakam oleh perangkap kamera pada 2007.  

Kawasan dilalui Fearless ialah hutan yang sudah dibalak, dalam Hutan Pengeluaran, walaupun persekitaran pada habitat asal itu sering berubah, harimau betina ini masih menunjukkan semangat juangnya.

"Ia bagi memastikan populasi harimau belang terus bertambah di Malaysia dan atas semangat juang ditunjukkan, kita namakan ia Fearless," tambahnya.

Usaha tambah populasi harimau

Mengikut laporan, kira-kira 3,000 ekor populasi harimau belang atau dikenali Harimau Malaya direkod pada 1950 dan angkanya menyusut dan kini jumlahnya kurang daripada 200 ekor.

Jumlah populasi Harimau Malaysia kurang daripada 200 ekor dan perlu dipulihara elak pupus. - Foto Ihsan WFF-Malaysia
Jumlah populasi Harimau Malaysia kurang daripada 200 ekor dan perlu dipulihara elak pupus. - Foto Ihsan WFF-Malaysia

Usaha meningkatkan populasi harimau belang di habitat asalnya didorong faktor tertentu seperti keadaan persekitaran kondusif, makanan, air dan nisbah betina kepada jantan.

Berdasarkan latar belakang demografi, setiap harimau jantan berpotensi untuk mengawan dengan tiga harimau betina berbeza, tatkala berada di dalam kawasan keliarannya.

"Sebab itu lebih banyak harimau betina diperlukan, demi meningkatkan populasi harimau belang di Malaysia.

"Hasil kajian WWF-Malaysia di Belum-Temengor mendapati jumlah harimau belang berkeliaran di sesuatu kawasan dipengaruhi populasi rusa sambar kerana ia adalah makanan atau mangsa utamanya," katanya.

Punca kepupusan

Faktor kepupusan mamalia sering diangkat sebagai maskot dan terpahat pada Jata Negara ini antara lain, disebabkan oleh kegiatan pemburuan haram.

Pengurus Perlindungan Harimau, Program Pemuliharaan Harimau WWF-Malaysia, Shariff Mohamad, berkata dua siri tinjauan hidupan liar menggunakan perangkap kamera dilakukan WWF-Malaysia di kawasan hutan Belum-Temenggor.

Tinjauan terbaharu pada 2018 lalu, bagaimanapun membawa khabar sedih apabila populasi harimau belang di situ merudum 50 peratus, dalam tempoh tujuh tahun.  

Pemburu haram banyak pasang jerat

Justeru, WWF-Malaysia menubuhkan pasukan peronda, dianggotai Orang Asli pada 2009 bagi menghapuskan jerat dipasang pemburu haram yang menjadi punca utama kepupusan mendadak harimau belang.

"Ketika itu, kita tidak menemui banyak jerat di dalam hutan. Antara 2013 hingga 2015, pemburu Indochina mula bergiat aktif melakukan pemburuan haram dengan memasang jerat.

WFF-Malaysia bersama pasukan peronda yang dianggotai Orang Asli memantau dan menghapuskan jerat dipasang pemburu haram. - Foto Ihsan WFF-Malaysia
WFF-Malaysia bersama pasukan peronda yang dianggotai Orang Asli memantau dan menghapuskan jerat dipasang pemburu haram. - Foto Ihsan WFF-Malaysia

"Berbanding warga tempatan, pemburu Indochina boleh menghabiskan masa berbulan-bulan dan jauh ke dalam hutan, berkhemah untuk memasang ratusan jerat serta berburu.

"Jerat dipasang bertujuan menangkap spesies haiwan bernilai tinggi termasuk harimau belang, tapi hampir semua jenis haiwan mamalia besar dan sederhana turut menjadi mangsa serta mati.

"Sekiranya kegiatan itu berleluasa dalam tempoh beberapa tahun ini, pelbagai jenis hidupan liar di dalam hutan mungkin 'lesap' begitu saja," katanya.

Unit peronda WWF ditambah

Pada 2007, unit peronda WWF hanya terdiri daripada tiga pasukan, namun disebabkan penurunan populasi harimau mendadak di Belum-Temengor, jumlah itu ditambah kepada 15 pasukan.

Penambahan pasukan ini melakar kesan positif apabila bilangan jerat ditemui merekodkan penyusutan sehingga hampir 99 peratus berbanding 2017.

Usaha itu wajar diteruskan, menerusi kerjasama pelbagai pihak, demi kelangsungan harimau belang meniti hari diancam risiko kepupusan yang dijangka dalam tempoh 10 tahun lagi.

Mungkin tiba masanya, cadangan dikemukakan WWF pada 2013 berhubung penubuhan Jawatankuasa Konservasi Harimau Kebangsaan perlu diberi pertimbangan, sebelum 'ngauman menggegar belantara, sekadar tinggal belang'.

Berita Harian X