Isnin, 29 March 2021 | 10:22am
Pengangkutan darat lebih cekap dan penghijrahan anak muda ke kota menjadikan khidmat bot penambang semakin suram.- Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Pengangkutan darat lebih cekap dan penghijrahan anak muda ke kota menjadikan khidmat bot penambang semakin suram.- Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Bot penambang semakin terpinggir

'HIDUP segan mati tak mahu'. Begitu nasib bakal dilalui bagi perkhidmatan bot penambang yang suatu ketika dulu jadi pengangkutan utama khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Malah, dulu kegiatan itu juga pernah memberi pendapatan lumayan kepada pemilik bot.

Namun, disebabkan arus pemodenan dan banyak faktor lain menjadikan ia semakin terpinggir serta menjejaskan pendapatan pengusaha bot. Malah industri itu dijangka mampu bertahan antara tiga hingga lima tahun lagi.

Tambah parah, pandemik COVID-19 menjadikan jumlah pelanggan semakin berkurangan.

Di Kuala Nerus, Terengganu, perkhidmatan dimulakan pada 1950 mempunyai tiga bot penambang disediakan di Jeti Seberang Takir, kemudian meningkat kepada 68 bot, pada awal 70-an dan sekarang hanya tinggal 15 bot.

Bot penambang di Kuala Nerus, Terengganu yang semakin terpinggir akibat pelbagai faktor.- Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Bot penambang di Kuala Nerus, Terengganu yang semakin terpinggir akibat pelbagai faktor.- Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Lama terpinggir

Pengerusi Persatuan Bot Penambang Seberang Takir, Mohd Ibrahim, 74, berkata kini 15 bot penambang masih aktif membawa penumpang dari jeti Seberang Takir melintasi Sungai Terengganu untuk ke Jeti Pasar Kedai Payang 2 (PKP2) dengan bayaran RM2 seorang bermula jam 7.30 pagi hingga 10 malam.

Katanya, perusahaan itu sudah lama terpinggir dan tidak diperjuangkan pihak bertanggungjawab.

"Nasib 15 pengusaha bot penambang itu hanya bergantung kepada jumlah pelanggan.

"Dua tahun lalu masih ramai penduduk naik. Pengusaha juga dapat bantuan sara hidup RM200 daripada kerajaan negeri, tetapi sejak akhir 2018 tiada lagi.

Kini hanya ada 15 bot penambang digunakan dari jeti Seberang Takir melintasi Sungai Terengganu untuk ke Jeti Pasar Kedai Payang 2.- Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Kini hanya ada 15 bot penambang digunakan dari jeti Seberang Takir melintasi Sungai Terengganu untuk ke Jeti Pasar Kedai Payang 2.- Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu menjadikan operasi merudum dan jumlah kedatangan pelancong merosot," katanya.

Dua tahun lalu, pendapatan

antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan, sekarang RM150 hingga RM300 sebulan.

Tiket bot penambang berharga RM1.
Tiket bot penambang berharga RM1.

"Teksi bot di Jeti PKP2 secara tidak langsung juga memberi kesan kepada perkhidmatan bot penambang tradisi itu," katanya.

Pengusaha bot penambang, Hashim Ibrahim, 62, yang 30 tahun membawa bot mengakui kesan COVID-19 menjadikan perkhidmatan itu merudum.

"Pelancong tak datang, jadi khidmatnya turut terjejas. Kerajaan pula mewajibkan beli insurans, RM1,000 setahun sebagai syarat memperbaharui lesen bot dan terpaksa akur mahu pastikan bot penambang kekal beroperasi," katanya.

Kerja diwarisi

Wan Mohd Alif Muhaimin Othman, 26, mewarisi pemilikan bot penambang daripada bapa saudaranya mahu khidmat pengangkutan itu dikekalkan.

"Sejak bapa saudara sakit, saya ambil alih operasi. Ikutkan hati memang tak mampu bertahan kerana pendapatan tak menentu dan kos baik pulih amat tinggi," katanya.

Kini semakin terpinggir dan kurang sambutan disebabkan wujud jalan darat lebih dekat, menerusi Jambatan Angkat.

"Bot penambang sudah sinonim di Seberang Takir sejak dulu dan masih kekal sehingga sekarang. Fungsi sebagai pengangkutan ke bandar raya melalui jalan air dan tumpuan pelancong mengelilingi Sungai Terengganu untuk melihat keindahan alam semula jadi," katanya.

Suri rumah, Nazira Awang Teh, 32, berkata, walaupun sudah ada laluan darat dan kenderaan, beliau sekeluarga tetap menjadikan bot penambang sebagai pilihan.

"Guna bot dapat elak kesesakan lalu lintas dan ingin membantu pengusaha bot penambang yang masih aktif," katanya yang berharap nasib pengusaha dibela dan pertahankan bot untuk tatapan serta kegunaan generasi akan datang.

Pelajar, Aidil Asraf Mohd Fauzi, 13, berkata, beliau seronok menaiki bot ini kerana dapat menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang merentasi Sungai Terengganu.

Awang Basir menunggu penduduk yang mahu menggunakan perkhidmatan bot penambangnya di Jeti Kok Majid, Kelantan.- Foto Nik Abdullah Nik Omar
Awang Basir menunggu penduduk yang mahu menggunakan perkhidmatan bot penambangnya di Jeti Kok Majid, Kelantan.- Foto Nik Abdullah Nik Omar

Khidmat perahu penambang semakin pudar

Kemeriahan perkhidmatan bot penambang di Tumpat, Kota Bharu dan Sungai Golok, Kelantan dilihat semakin pudar apabila ramai penduduk sudah memiliki bot sendiri, selain bidang itu tidak diminati generasi sekarang yang kebanyakan sudah berhijrah ke bandar.

Lazimnya, kira-kira 3,000 penduduk babitkan lebih 10 kampung di delta Sungai Kelantan menjadikan perkhidmatan bot penambang sebagai pengangkutan utama menghubungkan tanah besar sama ada ke Tumpat atau Kota Bharu.

Bagaimanapun, pengusaha bot penambang, Awang Basir, 55, yang sudah 30 tahun dalam industri itu, berkata kemeriahan sudah semakin pudar kerana tidak sampai 10 individu membawa bot penambang yang berpangkalan di jeti Kok Majid, di sini.

Katanya, melihat keadaan sebegitu tidak mustahil mata pencarian sebagai pembawa bot penambang akan lenyap suatu hari nanti memandangkan setiap keluarga sudah mampu memiliki bot sendiri.

"Pekerjaan ini bukan lagi menjadi pilihan golongan muda rata-ratanya sudah berhijrah ke luar dan hanya kami yang semakin dimamah usia.

 Perkhidmatan bot penambang di Jeti Kok Majid adalah pengangkutan utama penduduk menghubungkan ke tanah besar sama ada Tumpat atau Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Perkhidmatan bot penambang di Jeti Kok Majid adalah pengangkutan utama penduduk menghubungkan ke tanah besar sama ada Tumpat atau Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Pendapatan hanya RM50 sehari dan selepas ditolak kos petrol, secara purata antara pendapatan RM10 hingga RM30 sehari," katanya.

Di Pengkalan Kubor pula perkhidmatan bot penambang hanya aktif ketika musim tengkujuh bagi membantu memudahkan pergerakan penduduk yang terjejas akibat banjir.

Tambang RM3 sahaja untuk setiap penumpang perjalanan satu hala dan yang menumpangkan motosikal dikenakan RM7.

Ada penduduk jadikan pekerjaan sampingan sebagai pembawa bot penambang bagi menggantikan kerja hakiki akibat banjir besar.

Diperlukan ketika banjir termenung

Bagi Abdullah Awang Besar, 64, setiap tahun sediakan khidmat bot penambang kepada penduduk meredah banjir termenung untuk keluar ke jalan utama.

Katanya, perahu penambang sangat diperlukan kerana banjir termenung lewat surut dan penduduk perlu bergerak untuk pelbagai urusan.

Pekerja kilang, Mohd Khairul Asyraf, 25, sanggup mengambil cuti untuk membawa bot perahu penambang, selain membantu pihak berkuasa menjalankan operasi pemindahan mangsa banjir.

"Saya hantar penduduk bermula jam 6 pagi dan berakhir waktu malam.

"Purata pendapatan antara RM30 hingga RM60," katanya.

Pendapatan terjejas

Mohd Asri Jisma Ismail, 29, berkata projek tebatan banjir di Pengkalan Kubor, dari Tumpat ke Rantau Panjang yang kini dalam pembinaan, memang dialu-alukan rakyat, cuma beliau tidak menafikan ia bakal melenyapkan peranan bot penambang dan pendapatan sampingan pemandu bot penambang akan terjejas.

Perkhidmatan bot penambang dijangka akan lenyap suatu hari nanti.- Foto Nik Abdullah Nik Omar
Perkhidmatan bot penambang dijangka akan lenyap suatu hari nanti.- Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Pendapatan sampingan kami yang tidak dapat bekerja pada musim tengkujuh akan terjejas, tetapi lega tidak perlu lagi menanggung risiko banjir," katanya.

Berita Harian X