X
Isnin, 15 March 2021 | 10:30am
Antara jenis anggur yang ditanam di Gurun, Kedah. - NSTP/Amran Hamid
Antara jenis anggur yang ditanam di Gurun, Kedah. - NSTP/Amran Hamid

Anggur berharga RM600 sekilogram bakal dihasilkan di Malaysia

SIFAT semula jadi anggur yang hidup di negara empat musim menjadikan buah ini agak eksklusif di Malaysia yang beriklim panas.

Namun, kini sudah terbukti anggur boleh ditanam di beberapa kawasan di negara ini dengan penjagaan dan kaedah sesuai.

Ini sekali gus mampu dikomersialkan suatu hari nanti berikutan ada spesies anggur mampu dijual dengan harga RM600 sekilogram.

Perlis antara negeri yang maju dalam penanaman anggur, selain ada di Sitiawan, Perak; Sik dan Gurun, Kedah, Terengganu, Pahang dan lain-lain.

Tan Soon Huat, 58, umpamanya antara pekebun yang berjaya menanam 25 jenis anggur di Kampung Baru Padang Lembu, Gurun, Kedah.

Katanya, antara anggur ditanam seluas satu hektar di kebunnya ialah dari jenis kyoho (Jepun), golden musket dan black beauty dari Israel dan sweet sapphire dari California, Amerika Syarikat.

Tan Soon Huat berjaya menanam 25 jenis anggur di kebunnya di Gurun, Kedah. - NSTP/Amran Hamid
Tan Soon Huat berjaya menanam 25 jenis anggur di kebunnya di Gurun, Kedah. - NSTP/Amran Hamid

Katanya, beliau yakin kualiti anggur dihasilkan itu setanding dengan di negara empat musim.

Beliau mahu menjadi orang pertama di Malaysia mengeluarkan benih anggur premium sekali gus dapat dijual dengan harga setaraf dari luar negara.

"Saya mahu pastikan anggur di sini lebih manis dan teksturnya lebih baik daripada negara asal. Kebun saya sudah mengeluarkan buah yang hampir setanding dengan negara asal.

"Anggur jenis shine musket dari Jepun kini hanya didapati di pasar raya besar di ibu negara dijual dengan harga antara RM500 hingga RM600 sekilogram (kg).

Anggur shine musket ini adalah ikon di Jepun disebabkan itu harganya begitu mahal berbanding jenis dari China, Taiwan dan Korea harganya jauh lebih murah.

"Di kebun saya ada 80 pokok anggur jenis shine muscet dan sudah empat kali dituai. Cuma saya belum jual lagi. Sebelum ini ada tanam anggur premium itu tapi semua kurang menjadi.

"Justeru, saya mahu terus buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk pastikan anggur di sini kurang biji, buahnya manis dengan saiz serta bentuk menarik.

"Saya sudah berjaya hasilkan anggur tiada biji dan rasa manis cuma saiznya tidak sekata. Saya yakin kita mampu hasilkan kualiti setanding di Jepun," katanya.

Anggur dari Kampung Baru Padang Lembu, Gurun, Kedah. - NSTP/Amran Hamid
Anggur dari Kampung Baru Padang Lembu, Gurun, Kedah. - NSTP/Amran Hamid

Teknik tanaman 'tidur'

Katanya, sifat anggur sangat sensitif dengan cuaca panas dan udara lembap.

Teknik digunakan dengan memaksa tanaman 'tidur' seperti berada di tahap 'hibernasi' ketika musim sejuk dan 'dibangunkan' dengan anggapan berada pada musim bunga dan musim panas, selain disokong oleh vitamin serta formulasi baja organik.

"Tanaman ini tidak 'menyukai' hujan, jadi saya bina tempat perlindungan dan mengawal jumlah air, buat proses penipisan, pemangkasan untuk memberi ruang tanaman tumbuh.

"Buah dibungkus bagi mengelak serangan haiwan perosak dan kulat.

"Saya gunakan baja sisa pertanian, seperti sekam padi, cendawan, batang jagung dan hampas kacang soya untuk subur serta lembutkan tanah," katanya.

Siti Saloma gigih mengusahakan kebun anggur yang tumbuh subur di Sitiawan, Perak. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Siti Saloma gigih mengusahakan kebun anggur yang tumbuh subur di Sitiawan, Perak. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

'Tak kenal maka tak cinta'

Bagi pasangan suami isteri, Siti Saloma Saad, 56, dan suaminya, Shuhaimi Ishak, 56, ternyata tanaman anggur bukan perkara mustahil di Malaysia.

Berkat kegigihannya, sehingga ini sebanyak 500 pokok anggur daripada lebih 20 spesies sudah ditanam di kebunnya, di Kampung Darat Jelutong, Sitiawan, Perak, sejak 2016.

Siti Saloma berkata, kebun seluas 0.4 hektar ditanam di 21 rumah hijau dinamakan Saloma Vineyard & Nursery ini selepas mendapat idea melihat buah itu hidup subur di Afrika Selatan meskipun cuaca panas, ketika suaminya bertugas di negara itu.

Pokok anggur boleh hidup subur di sini dengan pemilihan jenis yang tahan hujan lebat dan cuaca lembap serta panas.

"Saya bermula lima pokok ditanam di pondok hadapan rumah dan subur menjalar ketika menetap di Alor Setar, Kedah.

"Selepas berhenti kerja dan berpindah ke Sitiawan kemudian memulakan tanaman di situ.

"Saya lihat hasil buah lebih banyak dan manis hingga mencecah bacaan 26 brix berbanding hanya 18 hingga 20 brix pada musim biasa," katanya.

Anggur jenis alphonso lavelle dan long white malaga paling manis ketika musim kemarau.

Guna baja organik

Jika di luar negara, berbuah pada musim panas, tetapi di Malaysia sepanjang tahun kerana cuaca musim panas bermula Februari hingga Mei berbanding musim hujan.

Antara proses untuk mendapatkan keratan pokok anggur ditanam di Vineyard & Nusery, Sitiawan, Perak. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Antara proses untuk mendapatkan keratan pokok anggur ditanam di Vineyard & Nusery, Sitiawan, Perak. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

"Pada musim hujan sistem pembajaan diubah untuk mendapatkan buah yang manis dan seminggu sebelum menuai hentikan siraman.

"Kami potong pucuk supaya pengeluaran sentiasa ada dan berperingkat. Jadi pengunjung boleh melihat pokok, bunga, putik buah, pertukaran warna buah dan boleh terus memetik anggur," katanya.

Jerami digunakan menutupi tanah bagi menjaga akar pokok daripada panahan matahari melampau.

"Kita guna baja organik, elak tanah panas dan rumput tumbuh banyak, selain letak serkam bakar," katanya.

Pengeluaran buah semusim sebanyak 80 kg untuk satu bahagian daripada 10 rumah hijau dengan semua jenis anggur dijual pada harga RM30 sekilogram, kecuali shine muscat, iaitu RM50 sekilogram.

Antara jenis anggur ditanam Siti Saloma. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Antara jenis anggur ditanam Siti Saloma. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

"Shine muscat sudah dua kali mengeluarkan hasil. Kelebihan buahnya lebih manis berbanding lain, mempunyai tesktur lebih sedap, rangup dan isi lebih penuh dan pejal, selain mempunyai aroma tersendiri.

"Setiap anggur ada aroman tersendiri seperti kardinal beraroma ros, black opal (delima) dan black queen (pisang), tetapi hanya aroma saja dan rasanya tetap buah anggur," katanya.

Kutip buah sambil bersampan

Cabaran utama dari segi kesesuaian cuaca dan memerlukan sistem penanaman, penjagaan, racun dan pengeluaran hasil yang betul sebelum dituai pada musim kemarau.

Beliau juga mengusahakan nurseri tanaman pokok dan bunga, selain menjual keratan pokok, anak pokok anggur, baja dan teh daun anggur serta buah tin.

Ramai pelancong dalam dan luar negara termasuk dari Jordan dan Jerman berkunjung ke kebunnya.

Ketika ini sedang membuat batas dan rumah hijau untuk ladang anggur baharu berskala lebih besar di Ulu Dedap yang mampu menempatkan lebih 2,000 pokok.

Beliau akan gunakan konsep ladang anggur terapung dengan membuat satu parit untuk dua batas bagi memberi peluang pengunjung memetik buah menggunakan sampan.

Ia dijangka beroperasi hujung tahun ini dan pengunjung boleh memetik buahnya nanti.

Buah anggur yang sedia dipetik. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Buah anggur yang sedia dipetik. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Info
Antara jenis anggur ditanam:

• Shine muscet dan kyoho dari Jepun

• Golden muscet dan black beauty dari Israel

• Sweet Sapphire dari California, Amerika Syarikat

Berita Harian X