Isnin, 8 March 2021 | 10:00am
Campervan dilengkapi dengan hiasan dalam termasuk katil, tilam, meja, televisyen, tandas, dapur dan sinki.-Gambar Ihsan Facebook Kelab Campervan dan Motorhome Malaysia.
Campervan dilengkapi dengan hiasan dalam termasuk katil, tilam, meja, televisyen, tandas, dapur dan sinki.-Gambar Ihsan Facebook Kelab Campervan dan Motorhome Malaysia.

'Rumah' bergerak ke pelbagai lokasi

LIHAT kenderaan rekreasi (RV) atau lebih dikenali sebagai campervan, karaven atau motorhome' meluncur laju sama seperti kenderaan lain.

Namun, menjengah ke dalam ia bagaikan sebuah bilik hotel atau rumah mini bergerak dilengkapi dengan hiasan dalaman cukup menarik termasuk ada katil, tilam, kerusi, meja, televisyen, tandas, dapur dan sinki.

Bagi peminat aktiviti lasak, gemar mengembara dan berkonvoi menggunakan van itu menjelajah seluruh negara atau bersantai bersama keluarga di lokasi tertentu, inilah kenderaan pilihan.

Ia juga jadi trend masa kini.

Sejak 10 tahun kebelakangan ini semakin ramai berkongsi minat berkaitannya, berbanding di Thailand, Vietnam, Indonesia dan Kemboja campervan sangat popular.

Presiden Kelab Campervan dan Motorhome Malaysia, Farhan Osman, berkata kini seramai 243 ahli mendaftar menjadi ahli persatuan itu sejak ditubuhkan lima tahun lalu.

Katanya, kebanyakan campervan di negara ini dibawa masuk dalam bentuk siap dan hanya memerlukan sedikit pengubahsuaian.

Lazimnya kenderaan pelbagai jenama seperti Volkswagen, Toyota Regius ace, Motorhome Plutus dan Isuzu Fargo itu diimport dari Amerika Syarikat atau negara jiran.

Ada pemilik van persendirian yang 'Do It Yourself' (DIY) ubah suai dan sediakan pelan reka bentuk dalaman. Ada berbelanja RM50,000 hingga RM80,000 untuk melengkapkan pelbagai kelengkapan.

"Kami pentingkan aspek keselamatan dan setiap pengubahsuai perlu dirujuk dan mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Misalnya saya diubah suai Hilux campervan, iaitu dengan memasang kabinet baju, alat sedut udara panas dan lain-lain. Kos ubah suai tidak terlalu mahal kerana dibuat secara berperingkat," katanya ketika ditemui di tapak perkhemahan di tepi pantai Batu 10, Port Dickson, baru-baru ini.

Beliau berkata, lebar campervan biasanya tiga meter dan panjangnya antara enam hingga tujuh meter mengikut keluasan dibenarkan JPJ.

Ada campervan sudah siap dipasang aksesori seperti katil, tilam, kerusi, meja, television, tandas, dapur dan sinki, iaitu berharga antara RM120,000 hingga RM150,000.

Daripada 243 ahli kelab itu, hanya 184 orang yang membuat pengubahsuaian di bengkel tertentu.

Melalui kelab ini kami berkongsi maklumat beli alat ganti dan mencari premis berpatutan.

"Kami beli secara pukal kerana lebih murah berbanding beli sendiri. Biasanya kita tambah kipas, loker, bilik air dan generator dan apa sahaja," katanya.

Memudahkan aktiviti dengan pelbagai peralatan untuk berkemah.- Foto NSTP
Memudahkan aktiviti dengan pelbagai peralatan untuk berkemah.- Foto NSTP

Dilengkapi dengan kemasan kerusi selesa jadikan campervan ada nilai tambah.- Gambar Ihsan Farhan Osman
Dilengkapi dengan kemasan kerusi selesa jadikan campervan ada nilai tambah.- Gambar Ihsan Farhan Osman

Jimat belanja

Farhan berkata, kenderaan ini bertahan dengan penggunaan penghawa dingin yang lama dalam keadaan tidak bergerak.

"Biasanya kita gunakan generator dan tenaga solar untuk mendapatkan kuasa elektrik bagi penyerap haba di atas bumbung serta menarik keluar haba panas di dalam campervan.

"Kebanyakan campervan menggunakan minyak diesel, iaitu sesuai untuk kenderaan berat dan kos minyak tidak membebankan," katanya.

Aktiviti lasak

Katanya, semua pemilik akan memastikan campervan berada tahap selamat seperti cukup air bateri, tiada masalah pada barangan elektrik dan lain sebelum bergerak.

Antara aktiviti kelab ialah menyertai penjelajahan 10 hari di 10 lokasi berbeza babitkan tempat menarik.

Sekurang-kurangnya 20 campervan termasuk kenderaan sudah diubahsuai menyertai kami.

"Ada kalanya perjumpaan ahli kami di lokasi tertentu. Ini menjadikan situasi bertambah meriah.

"Kita berkhemah di lokasi tertentu sambil melakukan pelbagai aktiviti seperti barbeku dan mandi-manda sekali gus mengeratkan silaturahim.

"Perkelahan menjimatkan tidak perlu cari tempat penginapan kerana campervan serba lengkap," katanya.

Selain itu, yang mahu menggunakan campervan ada kemudahan sewaan daripada syarikat kenderaan dengan harga mengikut kategori tertentu.

Umpama bilik hotel

Bagi pesara, Sulaiman Yeop Mat Isa, 60, dari Kampung Gajah, Perak, tidak kisah berbelanja demi minat dan keselesaan campervan yang dilihat seumpama bilik hotel.

Sebelum ini, ada tiga campervan kemudian dijual dan hanya tinggal satu. Semua dibeli siap dan ditambah dengan beberapa peralatan.

Trend mengubahsuai campervan beri keselesaan dan kemudahan pemilik mengembara bersama keluarga dan rakan.- Foto Mohd Khidir Zakaria
Trend mengubahsuai campervan beri keselesaan dan kemudahan pemilik mengembara bersama keluarga dan rakan.- Foto Mohd Khidir Zakaria

Mohd Farhan Osman.- Foto Mohd Khidir Zakaria
Mohd Farhan Osman.- Foto Mohd Khidir Zakaria

"Campervan yang ada sekarang dibeli dengan harga RM120,000, Saya tambah

dengan peti ais dan kabinet baju. Kini campervan bernilai lebih RM150,000," katanya.

Dengan adanya campervan itu beliau aktif mengikuti konvoi di beberapa negara jiran seperti Thailand Vietnam, Kemboja dan Myanmar, sejak lima tahun lalu.

"Berkonvoi ikut peraturan lalu lintas. Misalnya, jika ada 20 kenderaan, kami bergerak ke lokasi dalam jarak lima kenderaan antara satu sama lain supaya tidak menghalang perjalanan.

"Konvoi kami kerap mendapat perhatian ramai. Ada datang melihat hiasan dalaman campervan dan ada yang mengambil gambar," katanya.

Utamakan keselamatan elak tragedi

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), berkata pemilik campervan perlu mematuhi spesifikasi bagi sebarang pengubahsuaian pada kenderaan itu bagi mengelak sebarang tragedi.

Katanya, berkata pemilik perlu merujuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum membuat pengubahsuaian bagi tujuan keselamatan.

Katanya, campervan agak baru kepada pengguna jalan raya lain dan penilaian risiko terhadap pelbagai aspek bagi kenderaan itu wajar diambil kira.

"Kenderaan itu bersaiz besar sehingga boleh mengundang bahaya kepada penumpang dan penunggang motosikal jika berlakunya perlanggaran.

"Ketika campervan bergerak di jalan raya, ia perlu mematuhi ciri-ciri keselamatan seperti kenderaan lain.

"Sekiranya berlaku perlanggaran, pemandu dan penumpang berisiko mendapat kecederaan dan tercampak keluar," katanya.

Khairil Anwar berkata, pemilik campervan perlu mematuhi ciri keselamatan sepanjang pemanduan kenderaan itu.

Katanya, ketika campervan bergerak penumpang duduk di kerusi sama ada menghadap ke hadapan atau belakang.

"Mereka wajib menggunakan tali pinggang keledar untuk penumpang dewasa dan kerusi keselamatan bagi penumpang kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, sebarang pengubahsuaian kenderaan jenis van kepada karavan perlu mendapat kelulusan dari JPJ.

Jurucakap Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ, berkata kelulusan pelan teknikal kenderaan berkenaan perlu disahkan pembinaan dan penggunaannya oleh jurutera perunding  berdaftar dengan jabatan itu.

Katanya, senarai lengkap jurutera perunding boleh didapati dalam laman web JPJ.

Selepas mendapat kelulusan pelan teknikal kenderaan, pengubahsuaian perlu dilakukan di bengkel kejuruteraan berdaftar dengan JPJ berpandukan pelan teknikal kenderaan itu.

"Pemohon  perlu kemukakan permohonan penukaran jenis badan kenderaan kepada karavana atau motorhome di Bahagian Kejuruteraan Automotif, JPJ," katanya

Kenderaan siap diubahsuai perlu jalani pemeriksaan di PUSPAKOM bagi memastikan setiap dilakukan mengikut pelan teknikal kenderaan diluluskan dan mematuhi APJ 1987 serta Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

"Selepas selesai pemeriksaan kenderaan, pemohon perlu mengemas kini maklumat kenderaan di JPJ," katanya.

Berita Harian X