Ahad, 28 Februari 2021 | 3:07pm
Keunikan bunga Rafflesia termasuk dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit menjadikan sesetengah pihak mengambil bagi tujuan perubatan.
Keunikan bunga Rafflesia termasuk dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit menjadikan sesetengah pihak mengambil bagi tujuan perubatan.

Wartakan lokasi penemuan bunga Rafflesia

SAINTIS dan pengkaji alam menggesa kerajaan mewartakan lokasi penemuan bunga Rafflesia di seluruh negara sebagai tapak warisan sumber alam bagi mengelak kepupusan tumbuhan itu berikutan pelbagai aktiviti manusia termasuk dipercayai dipetik untuk bahan rawatan mengubati pelbagai penyakit.

Pakar Botani dan Ekologi Hutan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nazre Saleh, berkata langkah itu supaya tumbuhan berkenaan kekal hidup bagi mengelak terancam dan pupus.

Katanya, kebanyakan Rafflesia tumbuh di Hutan Simpan Kekal (HSK) memerlukan permit untuk memasuki kawasan itu.

Bunga Pakma perlu dipulihara kerana banyak menjana pendapatan penduduk setempat, mewujudkan pekerjaan baharu, aktiviti ekopelancongan dan mendidik generasi mengenali warisan ditinggalkan.

"Kita juga berharap ada pihak membiaya program konservasi untuk mengekalkan keunikan bunga ini," katanya.

Mohd Afiq Aizat menunjukkan bunga Rafflesia ditemui di Raub.- Foto Ihsan Mohd Afiq
Mohd Afiq Aizat menunjukkan bunga Rafflesia ditemui di Raub.- Foto Ihsan Mohd Afiq

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Afiq Aizat Juhari, berkata Rafflesia perlu dipulihara kerana

pelbagai aktiviti manusia seperti pengambilan kudup (tunas) untuk perubatan tradisional boleh menyebabkan tumbuhan itu pupus.

Aktiviti pembalakan, pembukaan hutan, serangan anai-anai, gangguan haiwan liar, keadaan perumah rosak dan cuaca panas melampau turut mengancam habitatnya.

Bunga unik

Rafflesia hanya boleh hidup sekiranya terdapat perumahnya iaitu sejenis anggur liar (Tetrastigma), iaitu tumbuhan menjalar di dalam hutan.

Rafflesia turut ditemui di Kampung Koi, Ulu Cheka, Jerantut.- Foto Roselan Abdul Malek
Rafflesia turut ditemui di Kampung Koi, Ulu Cheka, Jerantut.- Foto Roselan Abdul Malek

"Bunga ini sangat unik kerana terdapat bahagian bunga sahaja dan mempunyai jasad 'vegetatif' iaitu seni berbentuk seperti hifa kulat, hidup dalam tisu perumah.

"Jasad vegetatif tidak mempunyai batang, akar dan daun hijau berklorofil. Tempoh tumbesaran bunga daripada tunas hingga berkembang mengambil masa lebih kurang sembilan hingga 12 bulan berdasarkan spesies yang berbeza.

"Ia berkembang enam hingga lapan hari sahaja. Sekiranya pendebungaan berjaya, bunga betina itu akan membentuk buah yang mempunyai berjuta-juta biji benih, akan disebarkan oleh haiwan dan serangga ke perumah untuk mengekalkan populasi bunga terbabit," katanya.

Katanya, hanya boleh ditemui di Asia Tenggara, iaitu di kawasan hutan hujan tropika Filipina, Indonesia, Thailand, Malaysia dan Brunei.

Di negara ini, selain di Sabah dan Sarawak, ia ditemui di hutan hujan tropika di beberapa lokasi antaranya, Hulu Perak (Perak), Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan serta Raub, Pahang.

Penemuan terbaharu di kawasan hutan berhampiran kaki Gunung Benom, Kampung Koi, Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Menurut Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, spesies Rafflesia Cantleyi ditemui di situ mempunyai kelopak bunga dan bintil putih halus.

Ia dijumpai secara berkelompok, iaitu hidup di batang akar perumahnya iaitu tetrastigma tuberculatum.

Penghulu Mukin Ulu Cheka, Khairul Akhma Yusof, berkata penemuan bunga pakma itu sebagai khazanah alam yang unik dan perlu dijaga.

"Lokasi penemuan bunga Rafflesia sebagai tarikan agropelancongan di kampung Koi, Ulu Cheka dan peminat biodiversiti serta menarik kedatangan pelancong," katanya.

Katanya, terdapat beberapa kawasan bunga pakma itu tumbuh di kampung Koi, khususnya di kawasan berbukit dan sejuk.

Kitaran habitat bunga Rafflesia dan sepatutnya spesies flora itu dipulihara elak terancam dan pupus.- Foto Ihsan Mohd Afiq.
Kitaran habitat bunga Rafflesia dan sepatutnya spesies flora itu dipulihara elak terancam dan pupus.- Foto Ihsan Mohd Afiq.

Katanya, bagi memulihara habitat dan populasi bunga itu pihaknya membantu melakukan pemantauan dan penyelenggaraan terhadap kawasan ini secara berkala.

"Bunga pakma jenis Rafflesia Cantleyi ini hidup subur dan mekar tanpa sebarang gangguan dan lebar kelopaknya boleh membesar sehingga 0.3 meter (satu kaki).

"Walaupun Rafflesia di sini tidak sebesar seperti di Sabah, namun bagi yang tidak pernah melihat bunga ini secara lebih dekat, mereka boleh datang ke sini," katanya.

"Kita menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri dari penduduk kampung khusus belia untuk mengkaji pertumbuhan bunga Pakma bagi memastikan kadar percambahan kuntum baru.

Bagi memastikan bunga Pakma tidak terganggu oleh gangguan persekitaran seperti kehadiran pengunjung yang ramai, kami terpaksa mengehadkan kehadiran pengunjung pada satu satu masa.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kawasan ini

boleh dijadikan salah produk eko-pelancongan di daerah Jerantut, selain Taman Negara, iaitu mana pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat lagi bunga Pakma.

Ahmad Nazlan (kiri) melihat Refflesia Cantleyi di kaki Gunung Benom berhampiran Kampung Koi.- Foto Ihsan Roselan Abdul Malek.
Ahmad Nazlan (kiri) melihat Refflesia Cantleyi di kaki Gunung Benom berhampiran Kampung Koi.- Foto Ihsan Roselan Abdul Malek.

Katanya, sebagai langkah konservasi kawasan tumbuhnya tunas dan putik Rafflesia yang rupanya seakan kubis merah ini, ia perlu dipagar supaya pengunjung tidak mengancam bunga unik berkenaan.

Katanya, beliau mencadangkan penduduk membina pelantar supaya pengunjung tidak terpijak akar hingga merosakkan tempat bunga ini menumpang, selain memudahkan mereka bergambar dengan lebih dekat.

Info

* Sebanyak 40 spesies di dunia.

* 11 spesies di Malaysia

* 7 spesies di Semenanjung

* Pulau Tioman, satu-satunya pulau ada Rafflesia

* Bunga Pakma pertama direkodkan oleh Stamford Raffles dan Dr Joseph Arnold pada 1816.

Berita Harian X