Ahad, 28 Februari 2021 | 11:27am
Rafflesia menjadi ikon dan daya tarikan pelancongan, selain mempunyai nilai komersial dari sudut perubatan.
Rafflesia menjadi ikon dan daya tarikan pelancongan, selain mempunyai nilai komersial dari sudut perubatan.
Prof Madya Dr Nazlina.
Prof Madya Dr Nazlina.

Rafflesia untuk awet muda

BANYAK khasiat diperkatakan mengenai Rafflesia terutama untuk kesihatan dalaman wanita, selain menyerikan wajah.

Hinggakan bunga itu dijejaki dan 'diburu' serta diekstrak untuk rawatan ibu berpantang, mencantikkan bentuk perut, awet muda, mudahkan kelahiran dan 1,001 khasiat lagi.

Rafflesia menjadi ikon dan daya tarikan pelancongan, biarpun berbau busuk seperti bangkai, sering menjadi perhatian, lantaran dipercayai mempunyai nilai komersial dari sudut perubatan bagi merawat pelbagai penyakit.

Sejauh mana kebenarannya? Adakah ia sekadar bunga berbentuk luar biasa atau dakwaan itu sememangnya benar.

Rafflesia sebagai bahan perubatan dalam kalangan masyarakat luar bandar dan komuniti Orang Asli.
Rafflesia sebagai bahan perubatan dalam kalangan masyarakat luar bandar dan komuniti Orang Asli.

Pensyarah Mikrobiologi (Virologi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim, berkata berdasarkan penyelidikan yang pernah dibuatnya, bunga Rafflesia memang popular dan dipercayai digunakan sebagai bahan perubatan dalam kalangan masyarakat luar bandar dan komuniti Orang Asli.

"Apa yang saya tahu, ubat-ubatan berasaskan Rafflesia ini boleh dibeli di sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan banyak dipasarkan di laman e-dagang," katanya.

Namun, tiada kepastian ekstrak bunga itu benar-benar berkhasiat seperti yang didakwa itu.

Mengandungi bahan antioksidan

Mengulas lanjut, Dr Nazlina berkata, biarpun terdapat nilai kesihatan, bunga berkenaan tetap mempunyai kesan sampingan berikutan mengandungi pelbagai fitokimia.

Putik bunga Rafflesia sebelum berkembang menjadi bunga terbesar di dunia.
Putik bunga Rafflesia sebelum berkembang menjadi bunga terbesar di dunia.

"Antaranya, ia mengandungi sebatian fenolik dan sebatian antioksida. Dengan kehadiran sebatian itu, ia boleh memberikan kesan toksik melalui kehadiran bahan fenolik.

"Bagaimanapun, bunga Rafflesia juga mengandungi bahan antioksidan yang dapat memberikan tenaga. Ia dibuktikan menerusi kajian kesan afrodisiak terhadap tikus jantan," katanya.

Katanya, Rafflesia yang juga dikenali dengan bunga pakma itu juga boleh memudaratkan jika digunakan secara berlebihan atau tanpa sukatan yang betul.

Berdasarkan kajian pernah dijalankan, Dr Nazlina menjelaskan, memang terdapat pengurangan berat organ haiwan yang diberikan ekstrak kudup Rafflesia (250 miligram (mg)/kilogram (kg) (berat badan tikus) secara berterusan selama 28 hari.

Katanya, organ itu membabitkan buah pinggang, hati, testis dan rahim, iaitu apa yang diperoleh menerusi kajian terhadap tikus jantan dan betina yang dilakukan sekitar 2012 hingga 2016.

"Berat 250mg per kilogram adalah setara dengan pengambilan sekitar 4.5 gram ekstrak oleh individu dewasa yang mempunyai berat sekitar 60 kg.

"Selain pengurangan berat, beberapa parameter lain seperti kandungan urea didapati sedikit meningkat dan terdapat sedikit kesan toksik kepada buah pinggang.

"Namun, untuk dos diuji ini boleh dianggap tidak memberikan kesan buruk yang teruk," katanya.

Habitat semakin terancam

Beliau berkata, biarpun jika ada kebenaran mengenai khasiat bunga itu, namun dalam kalangan saintis dan pencinta alam sekitar, mereka tidak menggemari terutama apabila pihak yang mengambil bagi tujuan perubatan sekali gus akan berlaku kerosakan habitatnya.

"Habitat Rafflesia semakin terancam dan ia dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan. Ia tidak boleh diambil sewenang-wenangnya bagi memelihara warisan alam dan negara ini," katanya.

Sehingga kini tiada usaha mengkomersialkan, tetapi yang dilakukan sekarang lebih kepada kajian bagi tujuan pemuliharaan.

"Kaedah membiak dan menjaganya supaya tidak pupus.

Pensyarah Mikrobiologi (Virologi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim.
Pensyarah Mikrobiologi (Virologi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim.

Kajian masih dijalankan UKM

Katanya, UKM masih menjalankan kajian berkaitan pemuliharaan Rafflesia. Sekitar 2012 hingga 2016, penyelidikan ke atas tikus dilakukan.

"Kajian itu bagi melihat kesan Rafflesia terhadap aktiviti pembiakan tikus jantan dan betina selain kesan terhadap tikus betina selepas melahirkan anak.

"Namun begitu tidak dinafikan, ada pihak yang mengkomersialkan dan menggunakan dalam perubatan tradisional," katanya.

INFO:

Mengenai bunga Rafflesia

* Juga dikenali bunga pakma

* Tumbuh di Hutan Hujan Tropika

* Spesies Rafflesia Kerrii yang kedua terbesar di dunia ditemui di Lojing, Kelantan.

* Spesies Rafflesia Arlnoldi terbesar di dunia ditemui di Indonesia.

* Diameter flora mencapai 48 hingga 90 sentimeter (sm)

* Berat hampir 0.5 kilogram (kg).

Berita Harian X