Ahad, 21 Februari 2021 | 11:01am
Hasan Nawai (kiri) ketika di Puncak Sabang Pulau Sabang, Acheh, Indonesia - Gambar Ihsan Hasan Nawawi
Hasan Nawai (kiri) ketika di Puncak Sabang Pulau Sabang, Acheh, Indonesia - Gambar Ihsan Hasan Nawawi

Puas berbasikal keliling dunia

Nama bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman menjadi rakyat pertama berbasikal mengelilingi dunia sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) sudah tidak asing lagi.

Pada 27 Januari lalu, genap 20 tahun beliau dan adiknya, Ahmad Ridhwan, 58, memegang rekod MBOR itu.

Sehingga kini rekod berbasikal sejauh 26,565 kilometer (km) merentasi 18 negara selama 389 hari itu kekal menjadi milik dua beradik itu.

Kejayaan dua beradik kelahiran Manong, Perak itu, nyata memberi kesan besar di dalam aktiviti berbasikal di negara ini.

Ia menjadi pencetus minat, memberi motivasi dan ikon kepada anak muda untuk berjinak di dalam aktiviti itu.

Atas kejayaan itu, Hasan Nawawi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menggelarnya sebagai Wira Daratan.

Bersama pengayuh basikal rakan dari luar negara.- Foto Ihsan Hasan Nawawi
Bersama pengayuh basikal rakan dari luar negara.- Foto Ihsan Hasan Nawawi

Beliau masih aktif berbasikal sejak menamatkan ekspedisi berkenaan, manakala Ahmad Ridhwan memenuhi hobinya di sekitar Perak.

Terus aktif berbasikal

Mengenai perkembangan terkini, Hasan Nawawi, berkata minat mengayuh basikal sudah sebati dalam dirinya dan dijadikan rutin.

Katanya, setiap hari beliau akan berkayuh sejauh 80 hingga 100 kilometer, namun dihentikan sehari sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada 18 Mac tahun lalu.

"Saya berkayuh sekitar Kajang, Semenyih dan Beranang untuk menjaga kesihatan. Aktiviti berbasikal luar negara dihentikan disebabkan PKP," katanya.

Minat berbasikal tidak pernah luntur dan akan berkayuh selagi ada kurdat.- Foto Ihsan Hasan Nawawi
Minat berbasikal tidak pernah luntur dan akan berkayuh selagi ada kurdat.- Foto Ihsan Hasan Nawawi

Lihat sejarah dunia

Mengimbas ekspedisi itu, beliau aktif berbasikal di beberapa negara ASEAN seperti Kalimantan dan Sumatera di Indonesia, Phuket dan Pattaya di Thailand.

"Pada 2015, saya bersama rakan, Azman Toha (juruteknik Majlis Bandaraya Ipoh) mengayuh sejauh 7,000 kilometer dari Sabang, Acheh hingga ke Marauke, Papua New Guinea dalam tempoh 60 hari.

"Dua tahun kemudian berkayuh secara solo di lapan negara Balkan sejauh 5,000 km dalam tempoh 70 hari. Di Bosnia, saya tersedar berkayuh melalui laluan Kerajaan Uthmaniah iaitu Iran , Turki, Bulgaria, Serbia, Bosnia, Croatia di dalam menyebarkan agama Islam.

"Pada 2019, saya berkayuh solo babitkan Laluan Sutera sejauh 3,500 km meredah Gurun Gobi dari Xi'an di China dan berakhir di Almaty di Kazakhstan dalam tempoh 40 hari," katanya

Kayuhan berkenaan bagi menyahut seruan kerajaan yang mahukan rakyat hidup sihat melalui aktiviti bersukan, disamping slogan "Malaysia Boleh".

"Ini sekali gus membakar semangat saya ketika itu sebagai Pegawai Daerah Port Dickson untuk melakukan sesuatu menerusi minat.

"Saya mahu membuktikan kepada dunia, negara kecil tapi Malaysia memiliki rakyat berjiwa besar.

"Saya bekerja keras mengumpul dana dan penaja menjayakan misi walaupun terima kritikan pedas," katanya.

Lantas memulakan kayuhan bersama Ahmad Ridhwan dari Putrajaya pada 4 Januari 2001 menuju ke Thailand dan menamatkannya di Dataran Merdeka pada 27 Januari 2002.

Malaysia boleh

Dalam usia sudah menjangkau 66 tahun Disember lalu, bekas Datuk Bandar Ipoh itu turut mencabar golongan muda untuk menceburi aktiviti lasak seiring dengan slogan 'Malaysia Boleh' sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Janganlah Malaysia Boleh itu sekadar slogan sahaja, ayoh kita harumkan nama Malaysia menerusi aktiviti berfaedah ini. Saya juga berharap rekod ekspedisi kami dua beradik ini dipecahkan anak muda Malaysia.

"Mereka harus bekerja keras dan bersedia bagi menempuh cabaran dengan bawa kelengkapan sesuai dan dana mencukupi," katanya.

Hasan Nawawi merakan kenangan di Huntly New Zealand pada Oktober 2018.
Hasan Nawawi merakan kenangan di Huntly New Zealand pada Oktober 2018.

Beliau juga pernah berkayuh di Balkan dan melihat banyak masjid musnah akibat perbuatan tentera Salib di Bulgaria, Serbia dan Bosnia.

"Saya juga difahamkan perkara sama di Cordoba iaitu masjid dimusnahkan, malah dijadikan gereja dan muzium.

"Hanya Istana Al Hamra sahaja dikekalkan kerana dikatakan tentera Salib sudah keletihan akibat terlampau banyak bangunan kerajaan Islam dimusnahkan hingga mereka tidak larat meneruskannya.

"Kehadiran saya di Cordoba nanti ingin melihat bangunan yang menjadi kebanggaan Islam suatu ketika dulu," katanya.

INFO

Rekod berbasikal Hasan Nawawi

* Pemegang rekod MBOR rakyat Malaysia pertama berbasikal keliling dunia

* Aktiviti berbasikal

2001 – 2002 berbasikal bersama Ahmad Ridhwan mengelilingi dunia

* 2015 - berkayuh 7,000 km dari Sabang, Acheh hingga ke Marauke, Papua New Guinea.

2016 – Kayuhan solo Sulawesi – Ambon 1,600 km.

2017 – Berkayuh solo di lapan negara Balkan 5,000 km dalam tempoh 70 hari.

2019 - Berkayu solo di Laluan Sutera 3,500 km redahi Gurun Gobi dari Xi'an di China dan berakhir di Almaty di Kazakhstan.

Berita Harian X